Translate

Friday, March 10, 2017

Dijel 54 tahun, 30 sebatan rogol anak tiri

KUALA TERENGGANU – Perbuatan keji seorang kontraktor memperkosa anak tirinya berusia 10 tahun sebanyak tiga kali pada empat tahun lalu berbalas selepas dia dijatuhi hukuman penjara 54 tahun dan 30 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam.

Hakim Azman Mustapha memerintahkan hukuman itu terhadap lelaki berusia 42 tahun terbabit selepas mendapati pihak pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Syairah Mohamad Razali berjaya membuktikan kes prima facie.

Tertuduh yang kini sudah berpisah dengan ibu mangsa diwakili peguam bela, Wan Zainuddin Wan Musa.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa merogol anak tirinya yang sewaktu kejadian berusia 10 tahun di dalam sebuah pondok di Kuala Berang, Hulu Terengganu pada pukul 4.30 petang, 12 Disember 2013.

Bagi pertuduhan kedua pula, lelaki itu didakwa melakukan perbuatan sama terhadap mangsa di lokasi sama pada pukul 5 petang, 17 Januari 2014.

Pertuduhan ketiga pula mendakwa dia sekali lagi merogol anak tirinya di dalam sebuah kereta Perodua Kancil di daerah Hulu Terengganu pada pukul 3 petang, 28 Februari 2014.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan tidak kurang 10 sebatan jika sabit kesalahan.

Azman memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara 18 tahun dan 10 sebatan bagi setiap pertuduhan dan dilaksanakan secara berasingan.

No comments:

Post a Comment