Translate

Wednesday, February 8, 2017

TLHT mudah jinakkan Blue Warriors

PASUKAN Hoki Wanita Terengganu (TLHT) membuktikan status sebagai pasukan pilihan dalam saingan Liga Hoki Wanita Malaysia 2017 selepas mudah menundukkan Blue Warriors 3-0 di Stadium Hoki Batu Burok, Kuala Terengganu semalam.

TLHT yang dibarisi 10 pemain kebangsaan mendahului seawal minit kelapan menerusi pukulan sudut penalti yang disudahkan oleh Nuraini Abdul Rashid.

Blue Warriors yang merupakan naib juara musim lalu bolos buat kali kedua menerusi jaringan padang Fazillah Sylvester Silin pada minit ke-23.

Penjaga gawang pasukan itu yang dikawal penjaga gol kebangsaan, Mas Huzaimah Md. Azizi tewas buat kali ketiga selepas gagal menyelamatkan pukulan sudut penalti Hanis Nadiah Onn pada minit ke-25.

Tersentak ketinggalan dengan tiga gol, Blue Warriors yang dibarisi lima pemain kebangsaan telah mengemaskan semula rentak permainan mereka namun setiap serangan yang cuba dilancarkan mudah dipatahkan barisan pertahanan TLHT sehingga tamat permainan.

Jurulatih TLHT, Mohd. Asari Abd. Aziz berkata, kemenangan dengan Blue Warriors yang merupakan pesaing terkuat dalam liga telah meningkatkan motovasi mereka untuk merampas kejuaraan pada kemunculan kali pertama pasukan itu dalam Liga Hoki Wanita Malaysia.

"Sebelum perlawanan, kami telah melakukan 'kerja rumah' dengan mengkaji corak pemainan pasukan lawan dan anak  buah saya berjaya menerapkan taktik yang di susun pada aksi hari ini (semalam)," katanya ketika ditemui Kosmo! selepas tamat perlawanan.

No comments:

Post a Comment