Translate

Monday, February 13, 2017

Terengganu semakin menyengat

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

TERENGGANU semakin mempamerkan taringnya selepas mengekalkan rekod bersih dalam tiga perlawanan awal kempen Liga Primier 2917 dengan yang terbaharu me­numbangkan Kuantan FA 2-0 di Stadium Sultan Ismail Nasirruddin Shah, Kuala Terengganu malam kelmarin.

Kemenangan bergaya itu membolehkan skuad Penyu menduduki tangga kedua liga dan hanya dipisahkan oleh perbezaan gol dengan pendahulu, Negeri Sembilan yang turut mengutip sembilan mata.

Pengendali Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim berkata, beliau berpuas hati dengan peningkatan anak-anak buahnya yang semakin ampuh bermain sebagai satu pasukan.

“Sokongan padu daripada para penyokong juga memberi dorongan kepada barisan pemain untuk tampil cemerlang.

“Begitu pun, kita tidak boleh leka, sebaliknya perlu mengekalkan momentum cemerlang ini kerana perjalanan liga masih panjang,” kata Irfan ketika ditemui selepas perlawanan malam kelmarin.

Irfan berkata, ujian sebenar Terengganu adalah pada aksi menentang Negeri Sembilan, Jumaat depan.

Menurut bekas pengendali Felda United itu, selain menentang pasukan yang kini menghuni tangga teratas liga, ia merupakan aksi pertama skuad Penyu di gelanggang lawan pada musim ini.

Sebelum ini, Terengganu mengharungi empat perlawanan di laman sendiri termasuk aksi menentang Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) yang terpaksa ditunda disebabkan faktor cuaca pada 26 Januari lalu.

Pada aksi malam kelmarin, Terengganu memperoleh gol pertama hasil sepakan lambung, Issey Farran Nakajima yang melepasi jangkauan penjaga gol Kuantan FA, Mohd. Sheril Anuar Saini pada minit ke-47.

Pemain tengah, Abdul La­tiff Suhaimi yang pertama kali tampil sebagai kapten pasukan menggantikan Mohd. Sharbinee Allawee Ramli yang mengalami masalah kesihatan juga beraksi cemerlang dengan merobek gawang pasukan pelawat buat kali kedua pada minit ke-61.

Masalah radang paru-paru yang dihadapi Mohd. Sharbinee menyebabkan dia terpaksa direhatkan pada perlawanan tersebut dan posisinya digantikan oleh penjaga gol skuad Bawah 22 Tahun kebangsaan, Amierul Hakimi Awang.

Penyerang utama skuad Penyu, Federico Falcone pula terpaksa dikeluarkan akibat kece­deraan hamstring dan digantikan dengan Mohd. Faiz Mohd. Nasir pada minit ke-18.

Terengganu kini terus menghimpit Negeri Sembilan dan mereka berkongsi 9 mata menerusi tiga kemenangan.

No comments:

Post a Comment