Translate

Thursday, February 9, 2017

T-Team mula mengorak langkah

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

T-TEAM mula mengorak langkah apabila mencatat kemenangan sulung pada kempen Liga Super musim ini.

Kelmarin, skuad kendalian Rahmad Darmawan itu me­ngutip tiga mata penuh selepas menewaskan Pulau Pinang 1-0 pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Ismail Nasirud­din Shah, Kuala Terengganu.

Ia kemenangan yang sangat bermakna buat Rahmad selepas gagal meraih tiga mata penuh pada dua perlawanan sebelum ini dan dia melihat kebangkitan tersebut sebagai pencetus motivasi buat anak-anak didiknya.

Begitupun, dia mengakui bahawa nasib ternyata memihak kepada mereka kerana memenangi perlawanan tersebut.

“Saya perlu jujur, kita bernasib baik memenangi perlawanan ini kerana Pulau Pinang tampil de­ngan aksi yang lebih baik.

“Mereka menguasai perlawanan dengan hantaran-hantaran tepat terutamanya pada separuh masa pertama,” kata Rahmad ketika ditemui selepas perlawanan tersebut.

Rahmad memberitahu, beliau telah mengarahkan anak-anak buahnya agar tidak terlalu terikut-ikut dengan rentak permainan Pulau Pinang sewaktu berada di bilik persalinan dan mereka telah mengikut arahan tersebut sebaik mungkin untuk me­lakar kemenangan.

Menurut pengendali kelahiran Indonesia itu, peringatannya telah membuahkan hasil selepas corak permainan kembali terbuka sehingga membolehkan penye­rang baharu mereka, Mahadou Samassa meledak gol kemenangan pada minit ke-76.

“Saya akui kami perlu be­kerja keras lagi untuk memantapkan lagi pasukan ­T-Team. Kami perlu berfikiran positif dalam misi untuk mencabar pasu­kan lain dalam liga.

“Gandingan Samassa dan (Farhod) Tadjoev pada jentera sera­ngan juga masih longgar, namun saya percaya mereka memerlukan sedikit lagi masa untuk membentuk ke­serasian,” katanya.

No comments:

Post a Comment