Translate

Saturday, February 11, 2017

Suspek mengamuk cederakan anggota tentera direman empat hari

KUALA TERENGGANU - Seorang bekas tentera mengamuk sehingga mencederakan seorang anggota askar di sebuah kem di Seberang Takir, Kuala Nerus semalam di tahan reman selama empat hari sehingga Selasa ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Wan Abd. Aziz Wan Hamzah berkata, siasatan awal mendapati suspek melakukan perbuatan itu secara bersendirian dan tidak mempunyai kaitan dengan aktiviti militan Daesh.
"Suspek yang berusia 41 tahun didapati mempunyai rekod penyakit mental yang juga menjadi punca dia diberhentikan daripada perkhidmatan tentera pada tahun 2007.
"Sebelum ditamatkan perkhidmatan, dia bertugas di kem tentera di Seberang Takir, Kuala Nerus terbabit," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontijen Terengganu di sini hari ini.
Kosmo! hari ini melaporkan suspek yang memakai topi keledar dan menutup mukanya dengan kain berwarna hitam telah menghentikan motosikal di hadapan pintu utama kem tentera berkenaan sebelum memberitahu mahu berjumpa dengan penolong pegawai memerintah kem itu kepada salah seorang anggota bertugas.
Begitu pun, dia tiba-tiba bertindak agresif dengan mengacu pisau ke leher mangsa dan cuba merampas selaras senapang jenis HK-MP5 yang dipegang lelaki itu sebelum berjaya ditumpaskan dengan bantuan seorang anggota tentera lain. - K! ONLINE

No comments:

Post a Comment