Translate

Sunday, February 19, 2017

PKNS berjaya ikat T-Team

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Hasrat T-Team untuk melakar kemenangan ketiga berturut-turut terbantut selepas diikat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) 2-2 pada aksi kelima Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini malam ini.
Biarpun ketinggalan dua gol pada separuh masa pertama, PKNS berjaya bangkit menyamakan kedudukan dalam tempoh 12 minit terakhir perlawanan.
Terdahulu, T-Team seakan mudah meraih tiga mata selepas penyerang importnya, Farhod Tadjiev meledak dua gol awal pada minit kesembilan dan 45.
Begitu pun, kemasukan bekas penyerang kebangsaan, Mohd. Safee Mohd. Sali pada minit ke-55 berjaya mengubah rentak permainan PKNS.
Barisan serangan PKNS semakin tersusun dan hasilnya gol pertama diperolehi menerusi jaringan pemain gantian, Mohd. Khairul Ramadhan M. Zauwawi yang baru empat minit beraksi di atas padang pada minit ke-78.
Gol penyamaan yang dicari-cari PKNS selepas penyerang tuan rumah, Mahamadou Samassa tertolak masuk gol sendiri pada minit ke-89.
Sebelum itu, jaringan Patrick Ronaldinho Wleh pada minit ke-68 dibatalkan pengadil, Muhammad Zamzaidi Katimin kerana penyerang import PKNS itu berada dalam kedudukan offside. - K! ONLINE

No comments:

Post a Comment