Translate

Sunday, February 19, 2017

Maut ketika hendak solat Jumaat

Oleh MOHD. AZLI ADLAN dan EZZUAN AHMAD

DUNGUN – Hasrat murni seorang lelaki untuk me­nunaikan solat Jumaat tidak kesampaian apabila dia maut selepas kereta jenis Proton Wira yang dipandunya bertembung dengan sebuah treler semalam.

Kejadian pada pukul 1.30 petang di Kilo­meter 73.9, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan berhampiran Kampung Tanjung Pagar di sini itu mengakibatkan Mohd. Yashim Ali, (gambar kecil) 48, maut di tempat kejadian akibat tersepit dalam kereta dinaikinya.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Ahmad Zailani Yaakub berkata, Mohd. Yashim yang bekerja sendiri dalam perjalanan ke masjid berhampiran untuk menunaikan solat Jumaat dari rumahnya di Kampung Sungai Buaya di sini.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, kereta dipandu mangsa terbabas ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah treler tanpa muatan yang dalam perjalanan ke Kawasan Perindustrian Kerteh, Kemaman dari Marang.
“Rempuhan itu menyebabkan kereta mangsa berpusing beberapa kali sebelum merempuh pula sebuah kereta Perodua Myvi yang datang dari arah Dungun,” katanya ketika dihubungi semalam.

Tambahnya, treler itu turut terjunam ke dalam gaung sedalam satu meter sebelum merempuh pagar sebuah kilang memproses kayu. Pemandu kenderaan itu hanya cedera ringan manakala pemandu Myvi tidak mengalami sebarang kecederaan.

No comments:

Post a Comment