Translate

Friday, February 24, 2017

Hajat T-Team raih tiga mata tak kesampaian

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

PASUKAN T-Team terlepas peluang mencatat tiga kemenangan berturut-turut selepas diikat seri 2-2 oleh PKNS FC pada aksi kelima Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam kelmarin.

Pengendali T-Team, Rahmad Darmawan berkata keputusan itu sedikit mengecewakan kerana skuadnya yang lebih dikenali sebagai The Titans pada mulanya selesa mendahului 2-0 pada separuh masa pertama.

“Pemain-pemain saya telah bermain dengan baik sehinggalah dua pertahanan, Muhammad Aqil Irfanuddin Mohd. Sabri dan Mohamad Kamal Azizi Mohd. Zabri terpaksa dikeluarkan kerana kecederaan pada minit ke-66 dan ke-70.

“PKNS mengambil peluang terhadap kekurangan pada benteng pertahanan kami untuk mengubah taktikal permainan mereka dengan bermain secara hantaran jauh, sekali gus berjaya memperoleh dua gol,” kata Rahmad ketika ditemui selepas perlawanan tersebut.

Rahmad berkata anak-anak buahnya agak lambat menyerap perubahan taktikal pasukan lawan walau pun beliau telah mengarahkan sebahagian pemain tengahnya untuk kerap turun ke bawah membantu benteng pertahanan.

Menurut jurulatih berpengalaman dari Indonesia tersebut, kemasukan Mohd. Khairul Ramadhan Zauwawi dan Mohd. Safee Sali juga telah mengubah rentak permainan PKNS, sekali gus menjadi duri dalam daging kepada pasukannya.

“Memang saya agak kecewa kerana terpaksa berkongsi mata walaupun sudah mendahului dua gol. Apa pun satu mata yang diperoleh tetap berharga.
“Saya juga gembira kerana barisan pemain T-Team telah menunjukkan peningkatan ketara terutama dua penyerang, Farhod Tadjiev dan Mahamadou Samassa yang semakin serasi,” katanya.

T-Team mendahului dua gol pada babak pertama menerusi jaringan Tadjiev pada minit kesembilan dan 45.

Begitu pun PKNS tidak berputus asa dan berjaya merapatkan kedudukan pada minit ke-78 menerusi Mohd. Khairul Ramadhan yang baru empat minit beraksi sebagai pemain gantian.

Pintu gol pasukan tuan rumah bocor lagi selepas Samassa tertolak bola ke gawang sendiri berikutan keadaan kelam-kabut di dalam kotak penalti T-Team selepas penjaga golnya, Muhammad Izzudin Muhamad Hussin melakukan kesilapan gagal menangkap kemas lontaran ke dalam Matias Nicolas Hadwa pada minit ke-89.

No comments:

Post a Comment