Translate

Sunday, February 26, 2017

Buat tuntutan palsu pasang karpet

KUALA TERENGGANU – Seorang bekas Penolong Jurutera Pembangunan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu berhubung pemasangan karpet di Surau Al-Hijrah, Tok Adis di sini pada dua tahun lalu.

Tertuduh, Syed Ahmad Izzuddin Syed Abdullah, 34, yang kini bertugas sebagai Penolong Jurutera Jabatan Kerja Raya Terengganu bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Shahida Muslimah Roslan manakala tertuduh diwakili peguam bela, Nik Rahdia Nik Ya.

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa telah memperdaya Akauntan Unit Kewangan Mai­dam, Norhana Yaakub dengan mengemukakan tuntutan palsu berjumlah RM6,400 bagi projek pemasangan karpet di Surau Al-Hijrah, Tok Adis di sini yang kononnya telah sempurna disiapkan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh di pejabat Maidam yang terletak di Kompleks Seri Iman di sini pada 29 Disember 2015.

Syed Ahmad Izzuddin didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda atau RM10,000 mana le­bih tinggi jika sabit kesalahan.

Shahida mencadangkan agar tertuduh dikenakan jaminan sebanyak RM10,000 dan seorang penjamin namun Nik Rahdia merayu agar ia dikurangkan kerana anak guamnya berpendapatan RM2,200 sebulan dan  kini sedang menunggu kelahiran anak ketiga.

Mohamad Haldar membenarkan tertuduh yang turut mempunyai dua anak masing-masing berusia dua dan lima tahun dijamin sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan sebutan semula kes pada 20 Mac depan.

Kosmo! 28 Oktober lalu melaporkan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Terengganu dalam peringkat akhir siasatan terhadap 35 fail kes yang dibuka berkaitan penyelewengan pembekalan pemasangan karpet di beberapa masjid dan surau di seluruh negeri ini.

Pengarahnya, P. Ganason berkata, seramai 30 orang merangkumi 20 kakitangan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu, enam orang kontraktor dan selebihnya saksi awam telah dipanggil untuk memberi keterangan.

No comments:

Post a Comment