Translate

Sunday, February 12, 2017

Bekas askar ada rekod sakit mental

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Polis Terengganu mengesahkan bekas tentera yang mengamuk sehingga mencederakan seorang anggota Regimen Askar Melayu Diraja (RAMD) di Kem Seri Pantai, Seberang Takir, Kuala Nerus kelmarin mempunyai rekod penyakit mental.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Wan Abd. Aziz Wan Hamzah berkata, penyakit yang dihidapi itu juga menjadi punca dia diberhentikan daripada perkhidmatan tentera pada tahun 2007.

Ini sekali gus menolak punca kejadian itu ada kaitan dengan kumpulan militan Daesh.

“Suspek memulakan perkhidmatan sebagai tentera pada tahun 1993 dan sebelum ditamatkan perkhidmatan, bertugas di kem tentera di Seberang Takir, Kuala Nerus terbabit.

“Sebelum diberhentikan, dia pernah dirujuk ke Hospital Angkatan Tentera Terendak, Sungai Udang, Melaka bagi mendapatkan rawatan psikologi,”  katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu di sini semalam.
Menurut Wan Abd. Aziz lagi, motif suspek mengamuk dan mahu berjumpa dengan penolong pegawai memerintah kem tersebut yang menempatkan Batalion ke-18 RAMD bagaimanapun masih dalam siasatan.

Katanya, lelaki yang berasal dari Kampung Pak Kancil, Permaisuri, Setiu itu telah ditahan reman selama empat hari sehingga lusa dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

“Siasatan awal mendapati suspek kini bertugas sebagai kakitangan Pejabatan Kesihatan Setiu dan pernah mengalami kegagalan dalam tiga kali perkahwinan sebelum menikah baharu dengan isterinya sekarang yang juga janda anak empat beberapa tahun lalu,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Wan Abd. Aziz berkata, keadaan anggota tentera berusia 29 tahun yang cedera selepas lehernya ditoreh suspek kini dilaporkan stabil dan menerima tiga jahitan.

Beliau memberitahu, pisau yang dipercayai digunakan dalam sera­ngan itu turut dirampas sewaktu suspek diserahkan kepada polis pada pukul 3.30 petang kelmarin.

Kosmo! semalam melaporkan seorang bekas askar tiba-tiba mengamuk di hadapan Kem Sari Pantai, Seberang Takir hingga menyebabkan anggota tentera yang melakukan tugas-tugas mengawal di kem tersebut cedera terkena torehan pisau suspek.

No comments:

Post a Comment