Translate

Tuesday, February 28, 2017

Dua mayat warga asing dijumpai terdampar di Pantai Kuala Nerus

KUALA NERUS – Dua mayat lelaki dewasa dipercayai warga asing ditemui terdampar di dua lokasi berasingan di Pantai Teluk Ketapang dan Pantai Tok Jembal di sini.

Mayat pertama ditemui orang awam di Pantai Teluk Ketapang pada pukul 11.30 malam kelmarin manakala mayat kedua dijumpai terdampar di Pantai Tok Jembal berhampiran Universiti Malaysia Terengganu pada pukul 8 pagi semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Suffian Sulaiman berkata, sewaktu ditemui, kedua-dua mayat lelaki dewasa dalam keadaan tidak berbaju dan hanya memakai seluar pendek.

“Kedua-dua mayat itu juga telah kembung dan sebahagian anggota badan mereka juga telah mereput.

“Mayat dua lelaki itu telah dihantar ke Unit Forensik, Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini untuk bedah siasat,” katanya kepada Kosmo! di Pantai Tok Jembal di sini semalam.

Suffian berkata, beliau tidak menolak kemungkinan kedua-dua mayat itu merupakan nelayan warga Vietnam memandangkan salah seorangnya mempunyai tatu berbentuk buaya pada badannya.

“Siasatan lanjut akan dilakukan memandangkan sebelum ini polis tidak pernah menerima sebarang maklumat kapal atau bot karam di perairan Terengganu,” katanya.

Sindiket dadah tumpas, dadah jenis heroin, syabu dan pil kuda dirampas


KUALA TERENGGANU - Sebuah sindiket yang dipercayai aktif mengedar dadah jenis heroin, syabu dan pil kuda di sekitar bandar raya ini sejak lima bulan lalu berjaya ditumpaskan polis dengan penahanan tiga anggotanya dalam dua serbuan berasingan pada Khamis lalu.
Ibu kepada salah seorang suspek turut ditahan dalam serbuan ketiga di rumahnya di Jalan Jerangau, Ajil, Hulu Terengganu pada hari sama bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Terengganu, Superintendan Roslan Tahir berkata, kesemua serbuan berkenaan berjaya merampas dadah disyaki jenis heroin seberat 111.93 gram, syabu (15.2 gram) dan pil kuda (3.11 gram), Erimin 5 (tiga gram) yang dianggarkan bernilai RM17,120.
"Serbuan pertama berjaya menahan dua suspek masing-masing berusia 55 dan 35 tahun dipercayai sedang menunggu pelanggan di sebuah premis agensi kerajaan negeri di Jalan Sultan Zainal Abidin di sini pada pukul 12.45 tengah malam, 23 Februari lalu.
"Pemeriksaan pada poket seluar salah seorang suspek telah menjumpai empat botol berisi serbuk disyaki dadah jenis heroin dan 25 biji pil merah disyaki pil kuda," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontijen Terengganu di sini hari ini. - K! ONLINE

Monday, February 27, 2017

Mayat tukang rumah lemas di Kuala Sungai Tersat ditemui

HULU TERENGGANU - Mayat tukang rumah yang terjatuh ke dalam sungai ketika sedang menangkap ikan di Kuala Sungai Tersat berhampiran Kampung Sungai Buloh, Kuala Berang semalam dijumpai hari ini.
Pasukan mencari dan menyelamat telah menemui mayat Syed Nasiruddin Said Muhamad, 26, yang terapung di permukaan sungai itu pada pukul 5 petang.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang, Penolong Penguasa Bomba Mohd. Zamri Omar berkata, mayat Syed Nasiruddin dijumpai terapung kira-kira 100 meter dari lokasi dia dipercayai terjatuh.
"Mayat mangsa telah dibawa ke tebing sungai dengan menaiki sebuah bot sebelum dihantar ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu untuk dibedah siasat," katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.
Kosmo! Online semalam melaporkan Syed Nasiruddin terjatuh ke dalam sungai itu ketika sedang menyeberangi sungai untuk memeriksa taut yang telah dipasang dia dan seorang rakannya, Abdul Rahim Deraman, 43, untuk menangkap ikan pada pukul 1.30 pagi. - K! ONLINE

Sunday, February 26, 2017

Dua mayat warga asing terdampar di pantai Kuala Nerus

KUALA NERUS - Dua mayat lelaki dewasa dipercayai warga asing ditemui terdampar di dua lokasi berasingan di Pantai Teluk Ketapang dan Pantai Tok Jembal di sini.
Mayat pertama ditemui orang awam di Pantai Teluk Ketapang pada pukul 11.30 malam semalam manakala mayat kedua pula dijumpai terdampar di Pantai Tok Jembal berhampiran Universiti Malaysia Terengganu pada pukul 8 pagi hari ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Suffian Sulaiman berkata, sewaktu ditemui, kedua-dua mayat lelaki dewasa dalam keadaan tidak berbaju dan hanya memakai seluar pendek.
"Kedua-dua mayat itu juga telah kembung dan sebahagiannya anggota badan mereka juga telah mereput.
"Mayat dua lelaki itu telah dihantar ke Unit Forensik, Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini untuk dibedah siasat,"katanya ketika ditemui Kosmo! di Pantai Tok Jembal di sini hari ini. - K! ONLINE

Tukang rumah dikhuatiri lemas ketika menangkap ikan

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

HULU TERENGGANU - Seorang tukang rumah dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam sungai ketika menangkap ikan di Kuala Sungai Tersat berhampiran Kampung Sungai Buloh, Kuala Berang dekat sini hari ini.
Dala kejadian kira-kira pukul 1.30 pagi, Syed Nasiruddin Said Muhamad, 26, dan seorang rakannya dikenali sebagai Rahim, 30-an sedang menyeberangi sungai untuk memeriksa taut yang telah di pasang mereka.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang, Penolong Penguasa Bomba Mohd. Zamri Omar berkata, ketika Syed Nasiruddin dan rakannya sedang berenang, paras air sungai tiba-tiba naik mendadak.
"Mangsa yang hanya memakai seluar pendek tanpa baju telah hanyut di bawa arus deras. Dia dikatakan sempat menjerit meminta pertolongan sebelum tenggelam.
"Rakannya juga hampir lemas kerana mengalami kekejangan otot kaki sewaktu cuba untuk menyelamatkan mangsa," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian di sini hari ini. - K! ONLINE

Buat tuntutan palsu pasang karpet

KUALA TERENGGANU – Seorang bekas Penolong Jurutera Pembangunan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu berhubung pemasangan karpet di Surau Al-Hijrah, Tok Adis di sini pada dua tahun lalu.

Tertuduh, Syed Ahmad Izzuddin Syed Abdullah, 34, yang kini bertugas sebagai Penolong Jurutera Jabatan Kerja Raya Terengganu bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Shahida Muslimah Roslan manakala tertuduh diwakili peguam bela, Nik Rahdia Nik Ya.

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa telah memperdaya Akauntan Unit Kewangan Mai­dam, Norhana Yaakub dengan mengemukakan tuntutan palsu berjumlah RM6,400 bagi projek pemasangan karpet di Surau Al-Hijrah, Tok Adis di sini yang kononnya telah sempurna disiapkan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh di pejabat Maidam yang terletak di Kompleks Seri Iman di sini pada 29 Disember 2015.

Syed Ahmad Izzuddin didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda atau RM10,000 mana le­bih tinggi jika sabit kesalahan.

Shahida mencadangkan agar tertuduh dikenakan jaminan sebanyak RM10,000 dan seorang penjamin namun Nik Rahdia merayu agar ia dikurangkan kerana anak guamnya berpendapatan RM2,200 sebulan dan  kini sedang menunggu kelahiran anak ketiga.

Mohamad Haldar membenarkan tertuduh yang turut mempunyai dua anak masing-masing berusia dua dan lima tahun dijamin sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan sebutan semula kes pada 20 Mac depan.

Kosmo! 28 Oktober lalu melaporkan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Terengganu dalam peringkat akhir siasatan terhadap 35 fail kes yang dibuka berkaitan penyelewengan pembekalan pemasangan karpet di beberapa masjid dan surau di seluruh negeri ini.

Pengarahnya, P. Ganason berkata, seramai 30 orang merangkumi 20 kakitangan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu, enam orang kontraktor dan selebihnya saksi awam telah dipanggil untuk memberi keterangan.

Saturday, February 25, 2017

TLHT belasah SSTMI 6-0

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Pasukan Hoki Wanita Terengganu (TLHT) mengukuhkan kedudukan di persada Liga Hoki Wanita Malaysia dengan membelasah Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) 6-0 di Stadium Hoki Batu Burok, Kuala Terengganu hari ini.
Pakar flick Malaysian Tigress, Nuraini Abdul Rashid muncul wirawati selepas meledak lima gol berturut-turut pada minit ke-21, 25, 26, 28 dan 52.
Terdahulu, tuan rumah mendahului menerusi gol padang Wan Norfaiezah Md. Saiuti pada minit ke-14.
SSTMI berpeluang untuk mendapat sekurang-kurang satu gol saguhati selepas memperolehi dua pukulan sudut penalti pada minit ke-33 dan 42 tetapi disia-siakan. - K! ONLINE

Kanak-kanak tiada sijil kelahiran kembali ke sekolah

HULU TERENGGANU – Keresahan seorang ibu apabila anaknya yang berusia 11 tahun tidak dapat meneruskan persekolahan selama lebih setahun kerana masalah dokumen kelahiran berakhir selepas pelajar itu dibenarkan bersekolah semula di Sekolah Kebangsaan (SK) Ajil di sini semalam.

Muhamad Malikie Shamsul Rizal yang dilahirkan di Pekanbaru, Riau, Sumatera, Indonesia ketika ibu bapanya bekerja di negara jiran itu pada 2006 kembali menyambung pelajaran dalam tahun lima di sekolah tersebut.

Ibunya, Hasiah Ismail, 41, berkata, sebelum ini anak kelima daripada enam beradik itu tidak dibenarkan memasuki tahun empat di SK Ajil pada 2016 kerana ketiadaan sijil kelahiran.

“Dia dilahirkan sewaktu saya mengikut bekas suami, Shamsul Rizal Ismail yang bekerja dalam sektor pembalakan di Pekanbaru, Riau pada 5 Disember 2006.

“Saya akui telah melakukan kesilapan kerana tidak memaklumkan kelahirannya kepada pihak Konsulat Malaysia di sana yang menyebabkan dia tidak mempunyai sijil kelahiran,” katanya kepada pemberita selepas menemani Muhamad Malikie kembali ke sekolah di SK Ajil di sini semalam.

Turut mengiringi murid tersebut ialah Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan Tugas-Tugas Khas negeri, Ghazali Taib.

Hasiah yang menetap di Projek Perumahan Rakyat Termiskin Bukit Ara, Ajil di sini memberitahu, dia serta bekas suaminya yang telah meninggal dunia sejak sembilan tahun lalu merupakan warganegara ini dan masalah dokumentasi itu hanya melibatkan Muhamad Malikie.

Sementara itu, Ghazali berkata, beliau telah meminta jasa baik Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) agar membenarkan Muhamad Malikie kembali ke sekolah.

Katanya, beliau sendiri dan pegawai JPNT akan pergi ke Pekanbaru, Riau dalam masa terdekat bagi menyelesaikan isu dokumentasi dan pengesahan warganegara Muhamad Malikie.

“Sebelum ini, JPNT menggunakan budi bicara dengan membenarkan kanak-kanak itu bersekolah sehingga tahun tiga tanpa sijil kelahiran dan pemberhentian murid itu pada tahun lalu terpaksa dilakukan selepas isu dokumentasi gagal diselesaikan dalam tempoh sewajarnya.

“Kami akan berusaha membantu Muhamad Malikie memperoleh sijil kelahirannya agar dia boleh mendapat semula haknya sebagai seorang warganegara Malaysia,” ujarnya.

Friday, February 24, 2017

Hajat T-Team raih tiga mata tak kesampaian

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

PASUKAN T-Team terlepas peluang mencatat tiga kemenangan berturut-turut selepas diikat seri 2-2 oleh PKNS FC pada aksi kelima Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam kelmarin.

Pengendali T-Team, Rahmad Darmawan berkata keputusan itu sedikit mengecewakan kerana skuadnya yang lebih dikenali sebagai The Titans pada mulanya selesa mendahului 2-0 pada separuh masa pertama.

“Pemain-pemain saya telah bermain dengan baik sehinggalah dua pertahanan, Muhammad Aqil Irfanuddin Mohd. Sabri dan Mohamad Kamal Azizi Mohd. Zabri terpaksa dikeluarkan kerana kecederaan pada minit ke-66 dan ke-70.

“PKNS mengambil peluang terhadap kekurangan pada benteng pertahanan kami untuk mengubah taktikal permainan mereka dengan bermain secara hantaran jauh, sekali gus berjaya memperoleh dua gol,” kata Rahmad ketika ditemui selepas perlawanan tersebut.

Rahmad berkata anak-anak buahnya agak lambat menyerap perubahan taktikal pasukan lawan walau pun beliau telah mengarahkan sebahagian pemain tengahnya untuk kerap turun ke bawah membantu benteng pertahanan.

Menurut jurulatih berpengalaman dari Indonesia tersebut, kemasukan Mohd. Khairul Ramadhan Zauwawi dan Mohd. Safee Sali juga telah mengubah rentak permainan PKNS, sekali gus menjadi duri dalam daging kepada pasukannya.

“Memang saya agak kecewa kerana terpaksa berkongsi mata walaupun sudah mendahului dua gol. Apa pun satu mata yang diperoleh tetap berharga.
“Saya juga gembira kerana barisan pemain T-Team telah menunjukkan peningkatan ketara terutama dua penyerang, Farhod Tadjiev dan Mahamadou Samassa yang semakin serasi,” katanya.

T-Team mendahului dua gol pada babak pertama menerusi jaringan Tadjiev pada minit kesembilan dan 45.

Begitu pun PKNS tidak berputus asa dan berjaya merapatkan kedudukan pada minit ke-78 menerusi Mohd. Khairul Ramadhan yang baru empat minit beraksi sebagai pemain gantian.

Pintu gol pasukan tuan rumah bocor lagi selepas Samassa tertolak bola ke gawang sendiri berikutan keadaan kelam-kabut di dalam kotak penalti T-Team selepas penjaga golnya, Muhammad Izzudin Muhamad Hussin melakukan kesilapan gagal menangkap kemas lontaran ke dalam Matias Nicolas Hadwa pada minit ke-89.

PKNS bangkit curi satu mata

PENGENDALI skuad PKNS FC, E. Elavarasan memuji kebangkitan mengagumkan anak-anak buahnya yang berjaya mengikat T-Team seri 2-2 pada aksi kelima Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam kelmarin.

Beliau berkata biar pun ketinggalan dua gol pada babak pertama, mental pemain-pemainnya tidak terjejas dan mereka tetap fokus memburu jaringan penyamaan pada baki 45 minit perlawanan.

“Saya puas hati kerana kita berjaya mencuri satu mata di gelanggang pasukan lawan. Apatah lagi kita berjaya bangkit semula selepas ketinggalan 0-2 dengan menyamakan kedudukan dalam tempoh 12 minit terakhir.

“Memang kita telah melepaskan dua gol yang mudah pada separuh masa pertama tetapi ia berjaya diperbaiki pada separuh masa kedua,” kata Elavarasan ketika ditemui selepas perlawanan tersebut.

Dia turut memuji peranan cemerlang yang dimainkan penyerang berpengalaman, Mohd. Safee Sali dalam mengubah corak permainan skuadnya sebaik dimasukkan sebagai pemain gantian pada minit ke-55.

Menurut beliau, kemasukan Mohd. Safee berjaya menggerakkan jentera serangan PKNS, sekali gus memberi tekanan kepada benteng pertahanan T-Team yang seterusnya membolehkan skuadnya memperoleh gol pertama menerusi jaringan pemain tengah kelahiran Terengganu, Mohd. Khairul Ramadhan Zauwawi pada minit ke-74.

“Serangan bertali-arus terus membuatkan benteng pertahanan pasukan berada dalam keadaan tertekan sehingga mereka melakukan kesilapan menjaringkan gol sendiri pada minit-minit terakhir perlawanan,” katanya.

Terdahulu T-Team mendahului 2-0 menerusi jaringan penyerang importnya, Farhod Tadjiev pada minit kesembilan dan 45.

Thursday, February 23, 2017

Kakitangan UniSZA hilang di laut

KUALA NERUS – Seorang pembantu am Jabatan Pe­ngurusan Pembangunan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dikhuatiri hilang selepas turun ke laut untuk menangkap ikan di Pantai Seberang Takir di sini kelmarin.

Ketua Cawangan Pengurusan dan Ope­rasi Jabatan Bom­ba dan Penyelamat Terengganu, Mohd. Zulkhairul Mohd. Razilah berkata, pihaknya mene­rima laporan tentang kehilangan Wan Abd. Manan Wan Ahmad (gambar kecil), 49, pada pukul 11.55 malam.

“Berdasarkan maklumat awal, mangsa dikatakan turun ke laut bersendirian dengan menaiki sebuah bot fiber dari Jeti Seberang Takir, Kuala Nerus pada pukul 6.30 petang.

“Dia tidak pulang sehingga lewat malam dan usaha untuk menghubunginya juga turut gagal sehingga menimbulkan kegusaran ahli keluarga,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Mohd. Zulkhairul berkata, sepasukan anggota bomba telah melancarkan operasi mencari dan menyelamat mangsa telah digerakkan pada pukul 8 pagi semalam.

Beliau berkata, tumpuan diberikan kepada kawasan pesisir pantai dari Seberang Takir di sini hingga Kelulut, Marang.

“Setakat ini, sebuah bot fiber dipercayai milik mangsa dijumpai terdampar di Pantai Teluk Ketapang di sini pada pukul 8.15 pagi. Ia ditemui kira-kira 7.5 kilometer dari lokasi mangsa turun ke laut di Jeti Seberang Takir di sini,” katanya.

PSIT lancar program cari pelajar cemerlang

PENCARIAN. Seramai 17 pelajar cemerlang Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu bersaing dalam Program Saintis Islam Terengganu (PSIT) yang dilancarkan di Universiti Malaysia Terengganu, Kuala Nerus, Terengganu baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi negeri, A. Latiff Awang berkata, program tersebut bertujuan mencari seorang pelajar cemerlang yang bakal menerima tajaan Yayasan Terengganu untuk mengikuti pengajian kursus perubatan di luar negara dari peringkat ijazah sarjana muda hingga doktor falsafah.

“Kesemua calon tersebut akan menjalani pelbagai peringkat saringan sehingga- lah seorang daripada mereka terpilih sebagai penerima tajaan berjumlah RM1.2 juta,” katanya.

Wednesday, February 22, 2017

Muzium Dungun terbiar tidak terjaga

DUNGUN – Walaupun telah beroperasi sembilan tahun, Muzium Dungun di Jalan Yahya Ahmad, Kuala Dungun di sini berada dalam keadaan terbiar seolah-olah tidak terjaga.

Seorang pengunjung, Shamsiah Abdul Ghani, 33, mendakwa, beliau terkejut melihat keadaan tersebut sewaktu melawat ke sana baru-baru ini.

Katanya, tiada seorang pun kakitangan muzium bertugas di kaunter pe­nyambut tetamu walaupun ketika itu baru pukul 10 pagi.

“Lantai dewan pameran di tingkat bawah pula di­biarkan dilimpahi dengan air hujan dipercayai dari bumbung premis yang bocor.

“Dewan pameran di tingkat atas pula berdebu dan berbau hapak seperti sudah lama tidak dibersihkan,” dakwanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Seorang lagi pengunjung, Mazlan Salleh, 41, berkata, perkara tersebut tidak sepatutnya berlaku khususnya pada Tahun Melawat Terengganu 2017.
“Sayang dibiarkan begitu sahaja kerana pameran yang terdapat di muzium ini sa­ngat bermaklumat,” katanya.

Muzium Dungun yang dibuka pada 19 Ogos 2008 di bawah pengurusan Lembaga Muzium Negeri Terengganu.

Premis dua tingkat tersebut merupakan bangunan kolonial berusia 76 tahun yang pernah menjadi kediaman rasmi pegawai British.

Tuesday, February 21, 2017

OKU tubuh Konsortium Koperasi Penyayang

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Tiga buah koperasi golongan orang kelainan upaya (OKU) baru-baru ini bergabung membentuk Konsortium Koperasi Penyayang Terengganu Bhd. (Konsortium Koperasi Penyayang).

Pengerusi Penaja Konsortium Koperasi Penyayang, Ismail Muda berkata, tiga koperasi terbabit adalah Koperasi Peka Malaysia Bhd. yang dianggotai individu cacat pendengaran, Koperasi Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia Terengganu Bhd. (cacat penglihatan) dan Koperasi Gerak Wawasan (cacat anggota).

“Konsortium Koperasi Penyayang yang dianggotai 300 individu OKU ditubuh secara rasminya dengan modal berbayar sebanyak RM1,500.

“Kita berharap dapat menarik kesemua 30 koperasi OKU di seluruh negara agar bergabung di bawah konsortium ini suatu hari nanti,” katanya pada majlis penutup Seminar Pembangunan Konsortium Koperasi Penyayang di sini kelmarin.

Turut hadir ialah Naib Presiden Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd. (Angkasa), Mohamad Azmi Omaruddin.

Ismail berkata, Konsortium Koperasi Penyayang berhasrat untuk menceburi segmen perniagaan urutan refleksologi, kraf tangan, makanan ringan dan pemasaran bagi menjana pendapatan.

Beliau berkata, sebagai permulaan, konsortium terbabit menyasar untuk membuka 100 gerai jualan yang akan diuruskan ahli koperasi yang terdiri golongan OKU di seluruh Terengganu dan negeri sekitar pada tahun ini.

“Setiap gerai jualan yang memasarkan perkhidmatan dan barangan buatan OKU itu diunjur untuk menjana perolehan antara RM10,000 dan RM15,000 sebulan,” katanya.

Monday, February 20, 2017

Bekas jurutera Maidam didakwa buat tuntutan palsu pasang karpet surau

KUALA TERENGGANU - Seorang bekas Penolong Jurutera Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu berhubung pemasangan karpet di Surau Al-Hijrah, Tok Adis di sini pada dua tahun lalu.
Syed Ahmad Izzuddin Syef Abdullah, 34, membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz.
Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa telah mempedaya Akauntan Unit Kewangan Maidam dengan mengemukakan tuntutan palsu berjumlah RM6,400 bagi projek pemasangan karpet di Surau Al-Hijrah, Tok Adis di sini yang sebenarnya tidak mengikut spesifikasi pada 29 Disember 2015.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda atau RM10,000 mana lebih tinggi jika sabit kesalahan. - K! ONLINE

Pemuda ragut warga emas ditangkap

BESUT - Perbuatan jahat seorang pemuda meragut seorang wanita warga emas berbalas selepas dia berjaya di tangkap penduduk di Kampung Gong Bayor, Kampung Raja dekat sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 11.04 pagi itu, suspek berusia 27 tahun yang menunggang motosikal jenis SYM di kejar beberapa penduduk kampung selepas mendengar jeritan mangsa yang berusia 63 tahun meminta pertolongan.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd. Zamri Mohd. Rowi berkata, sewaktu kejadian, mangsa yang juga merupakan suri rumah baru keluar dari Sekolah Kebangsaan Gong Bayor, Kampung Raja dekat sini untuk pulang ke rumahnya di Kampung Kubang Ikan, Kampung Raja dekat sini dengan mengayuh basikal.
Beliau berkata, pada mulanya, suspek yang menunggang motosikal bersendirian bertindak menegur mangsa tetapi wanita itu tidak menghiraukan dan meneruskan kayuhan basikalnya.
"Sebaik tiba di persimpangan jalan berhampiran Tanah Perkuburan Islam Kampung Gong Bayor di sini, lelaki itu tiba-tiba bertindak meragut beg mangsa yang diletakkan di dalam raga basikal berkenaan.
"Mangsa telah menjerit meminta pertolongan yang didengari beberapa penduduk kampung berhampiran," katanya kepada Kosmo! di sini hari ini. - K! ONLINE

Sunday, February 19, 2017

PKNS berjaya ikat T-Team

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Hasrat T-Team untuk melakar kemenangan ketiga berturut-turut terbantut selepas diikat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) 2-2 pada aksi kelima Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini malam ini.
Biarpun ketinggalan dua gol pada separuh masa pertama, PKNS berjaya bangkit menyamakan kedudukan dalam tempoh 12 minit terakhir perlawanan.
Terdahulu, T-Team seakan mudah meraih tiga mata selepas penyerang importnya, Farhod Tadjiev meledak dua gol awal pada minit kesembilan dan 45.
Begitu pun, kemasukan bekas penyerang kebangsaan, Mohd. Safee Mohd. Sali pada minit ke-55 berjaya mengubah rentak permainan PKNS.
Barisan serangan PKNS semakin tersusun dan hasilnya gol pertama diperolehi menerusi jaringan pemain gantian, Mohd. Khairul Ramadhan M. Zauwawi yang baru empat minit beraksi di atas padang pada minit ke-78.
Gol penyamaan yang dicari-cari PKNS selepas penyerang tuan rumah, Mahamadou Samassa tertolak masuk gol sendiri pada minit ke-89.
Sebelum itu, jaringan Patrick Ronaldinho Wleh pada minit ke-68 dibatalkan pengadil, Muhammad Zamzaidi Katimin kerana penyerang import PKNS itu berada dalam kedudukan offside. - K! ONLINE

Nelayan dikhuatiri hilang di Pantai Seberang Takir

MOHD. AZLI ADLAN


KUALA TERENGGANU - Seorang nelayan yang turun ke laut untuk menangkap ikan dikhuatiri hilang di Pantai Seberang Takir, Kuala Nerus malam tadi.
Kehilangan Wan Abdul Manan Wan Ahmad, 49, dilaporkan selepas dia tidak pulang dan gagal dihubungi pada pukul 11.55 malam.
Ketua Cawangan Pengurusan dan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Mohd. Zulkhairul Mohd. Razilah berkata, nelayan itu dikatakan turun ke laut dengan menaiki sebuah bot fiber berseorangan dari Jeti Seberang Takir, Kuala Nerus pada pukul 6.30 petang.
"Dia tidak pulang dan gagal dihubungi sehingga lewat malam sebelum ia dimaklumkan kepada pihak berkuasa.
"Operasi mencari dan menyelamat dimulakan pada pagi dengan tumpuan di kawasan pantai dari Seberang Takir hingga Kelulut, Marang," katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.
Mohd. Zulkhairul berkata, setakat ini, bot fiber dipercayai milik mangsa telah dijumpai di Pantai Teluk Ketapang, Seberang Takir pada pukul 8.15 pagi.- K! ONLINE

Maut ketika hendak solat Jumaat

Oleh MOHD. AZLI ADLAN dan EZZUAN AHMAD

DUNGUN – Hasrat murni seorang lelaki untuk me­nunaikan solat Jumaat tidak kesampaian apabila dia maut selepas kereta jenis Proton Wira yang dipandunya bertembung dengan sebuah treler semalam.

Kejadian pada pukul 1.30 petang di Kilo­meter 73.9, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan berhampiran Kampung Tanjung Pagar di sini itu mengakibatkan Mohd. Yashim Ali, (gambar kecil) 48, maut di tempat kejadian akibat tersepit dalam kereta dinaikinya.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Ahmad Zailani Yaakub berkata, Mohd. Yashim yang bekerja sendiri dalam perjalanan ke masjid berhampiran untuk menunaikan solat Jumaat dari rumahnya di Kampung Sungai Buaya di sini.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, kereta dipandu mangsa terbabas ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah treler tanpa muatan yang dalam perjalanan ke Kawasan Perindustrian Kerteh, Kemaman dari Marang.
“Rempuhan itu menyebabkan kereta mangsa berpusing beberapa kali sebelum merempuh pula sebuah kereta Perodua Myvi yang datang dari arah Dungun,” katanya ketika dihubungi semalam.

Tambahnya, treler itu turut terjunam ke dalam gaung sedalam satu meter sebelum merempuh pagar sebuah kilang memproses kayu. Pemandu kenderaan itu hanya cedera ringan manakala pemandu Myvi tidak mengalami sebarang kecederaan.

Saturday, February 18, 2017

THT sebelah kaki untuk mempertahankan kejuaraan

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

PASUKAN Hoki Terengganu (THT) hampir mengesahkan kejuaraan liga buat kali keempat berturut-turut selepas menumbangkan Maybank 5-2 di Stadium Hoki Batu Burok, Kuala Terengganu semalam.

Pakar pukul sudut penalti dari Korea Selatan, Jang Jonghyun meledak dua gol buat tuan rumah pada minit ke-12 dan 17.

Terdahulu THT yang mendahului liga Divisyen Premier Liga Hoki Malaysia dengan 33 mata membuka jaringan menerusi Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abd. Jalil pada minit ke-10.

Penyerang berpengalaman itu menyudahkan percubaan pukulan sudut penalti Jonghyun yang berjaya ditampan penjaga gol Maybank dari Kanada, David Charles Micheal.

Juara bertahan itu terus melebarkan jurang gol menerusi gol padang Muhammad Firhan Ashaari pada minit ke-31.

Gol terakhir THT pula disumbangkan Ameer Aiman Mohammad Saberi yang bijak menolak masuk hantaran Valentin Verga sekali gus memperdaya Charles Micheal buat kali kelima pada minit ke-56.

Maybank yang kini berada di kedudukan kelima liga memperoleh dua gol saguhati menerusi dua pemain import iaitu Jang Soon Chan dan Jeremy Edwards masing-masing pada minit ke-32 dan 47.

Sementara itu, jurulatih THT, Sarjit Singh berkata, beliau lega anak buahnya berjaya menepati ramalan menjinakkan Maybank dan mereka kini memberi tumpuan penuh pada pertembungan terakhir dengan Pasukan Hoki Kuala Lumpur (KLHC) pada Ahad ini.

“Saya sudah duga daripada awal lagi bukan mudah untuk mengekalkan kejuaraan musim ini dan ia akan ditentukan dengan menentang musuh tradisi (KLHC) pada aksi terakhir di gelanggang lawan.

“Ia merupakan misi hidup mati dan saya tidak menolak kemungkinan untuk menurunkan Faizal Saari pada perlawanan itu,” katanya.

Ahmad Razif tarik diri tanding jawatan Timbalan Presiden FAM


Oleh MOHD. AZLI ADLAN

MENTERI Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman membuat keputusan untuk tidak bertanding merebut jawatan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Biarpun mendapat pencalonan bagi jawatan No. 2 FAM itu sebelum ini, beliau yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) memilih untuk tidak melibatkan diri dalam kepimpinan pe­ngurusan bola sepak pada pe­ringkat nasional buat masa ini.

“Biarlah saya beri tumpuan kepada PBSNT, lagipun saya baru menerajuinya pada penghujung tahun lalu.

“Saya juga menolak pencalonan sebagai Timbalan Presiden FAM kerana komitmen terhadap rakyat Terengganu selaku Menteri Besar,” kata Ahmad Razif kepada pemberita di Kuala Nerus, Terengganu semalam.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Razif berpendapat penarikan diri Khairy Jamaluddin Abu Bakar daripada bertan­ding merebut kerusi Presiden FAM bagi memberi laluan kepada Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebagai hak peribadi Menteri Belia dan Sukan tersebut.

Tanpa memihak kepada mana-mana calon, beliau berpendapat kepimpinan baharu yang bakal di pilih kelak perlu menjalankan tugas dengan baik untuk memartabatkan semula sukan No. 1 negara itu sebaiknya bagi memenuhi harapan rakyat.

Kelmarin merupakan hari terakhir buat semua calon mengesahkan status mereka untuk bertanding pada pemilihan yang akan diadakan sempena Kongres FAM ke-53,  25 Mac depan.

Sebelum ini, Ahmad Razif merupakan salah seorang daripada lapan nama yang dicalonkan untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden FAM.

Kerusi panas Presiden FAM pula bakal menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Tunku Ismail yang juga pemilik kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim dengan bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan, Tan Sri Annuar Musa.

Lelaki maut dirempuh treler

DUNGUN - Perjalanan seorang lelaki untuk menunaikan solat Jumaat di sebuah masjid di bandar ini berakhir dengan tragedi selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 73.9, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan berhampiran Kampung Tanjung Pagar di sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 1.30 petang itu, Mohd. Yashim Ali, 48, maut akibat kecederaan parah di beberapa anggota badan akibat tersepit di dalam kereta Proton Wira dipandunya yang terbabas ke laluan bertentangan sebelum dirempuh sebuah lori treler tidak bermuatan.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superitenden Ahmad Zailani Yaakub berkata, sewaktu kejadian, Mohd. Yashim yang bekerja sendiri dalam perjalanan ke masjid berhampiran untuk menunaikan solat Jumaat dari rumahnya di Kampung Sungai Buaya di sini.
"Kereta Proton Wira yang dipandu mangsa terbabas lalu memasuki laluan bertentangan sebelum dirempuh sebuah lori treler yang dalam perjalanan ke Kawasan Perindustrian Kerteh, Kemaman dari Marang.
"Rempuhan itu menyebabkan kereta mangsa berpusing beberapa kali sebelum merempuh pula sebuah kereta Perodua Myvi yang datang dari arah Dungun," katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini. - K! ONLINE

Friday, February 17, 2017

THT sebelah kaki pertahan kejuaraan buat kali keempat

KUALA TERENGGANU - Pasukan Hoki Terengganu (THT) hampir mengesahkan kejuaraan liga buat kali keempat berturut-turut selepas menumbangkan Maybank 5-2 di Stadium Hoki Batu Burok, Kuala Terengganu hari ini.
Pakar pukul sudut penalti dari Korea Selatan, Jang Jonghyun meledak dua gol buat tuan rumah pada minit ke-12 dan 17.
Terdahulu, THT membuka jaringan menerusi Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abd. Jalil pada minit ke-10.
Juara bertahan itu terus melebarkan jurang gol menerusi gol padang Muhammad Firhan Ashaari pada minit ke-31.
Gol terakhir THT pula di sumbang Ameer Aiman Mohammad Saberi pada minit ke-56.
Maybank pula memperolehi dua gol saguhati menerusi dua pemain import iaitu Jang Soon Chan dan Jeremy Edwards masing-masing pada minit ke-32 dan 47. - K! ONLINE

Bekas tentera didakwa cederakan askar RAMD

KUALA TERENGGANU – Seorang bekas tentera dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam atas pertuduhan mencederakan seorang anggota Regimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Jumaat lalu.

Aminudin Mohamad (gambar), 41, yang kini merupakan kakitangan Pejabat Kesihatan Daerah Setiu bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim.

Dia yang berasal dari Kampung Pak Kancil, Setiu dan tidak diwakili peguam mendakwa melakukan perbuatan tersebut dalam kea­daan tidak waras.

“Saya pernah mendapatkan rawatan penyakit mental di Hospital Sungai Petani, Kedah dan Hospital Angkatan Tentera Terendak, Sungai Udang, Melaka dari tahun 1999 hingga 2009.

“Sepanjang tempoh tersebut saya telah mengambil pil yang disarankan doktor tetapi saya tidak lagi mendapatkan rawatan lagi dan mengambil ubat berkenaan selepas itu,” katanya kepada mahkamah di sini semalam.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa secara sengaja menyebabkan kecederaan Prebet Zaimi Mohd. Jailani dengan menggunakan pisau di pos pintu utama Kem Seri Pantai, Seberang Takir, Kuala Nerus yang menempatkan Batalion ke-18 RAMD pada pukul 1.55 petang, 10 Februari lalu.

Dia di dakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau dengan mana-mana dua daripadanya jika sabit kesalahan.

Abdul Hayyi kemudiannya memerintahkan tertuduh menjalani pemeriksaan mental di Hospital Permai, Tampoi, Johor Bahru, Johor dalam tempoh sebulan dan menetapkan sebutan semula kes pada 29 Mac depan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Asyraf Minhad.

Kosmo! 11 Februari lalu melaporkan, bekas askar tersebut secara tiba-tiba mengamuk sehingga mencederakan seorang askar yang sedang berkawal di pintu masuk Kem Seri Pantai.

Suspek diberhentikan da­ripada perkhidmatan tentera pada 2007.

UMT lancar program 2u2i Sarjana Muda Perakaunan

KUALA NERUS - Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dengan kerjasama firma perakaunan Bumiputera antara terbesar di negara ini, Salihin Chartered Accountant melancarkan program Dua Universiti Dua Industri (2u2i) bagi Sarjana Muda Perakaunan.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, program yang bertujuan untuk meningkatkan pembelajaran graduan melalui pengalaman kerja itu merupakan yang pertama di dalam negara ini dan dunia melibatkan kursus Perakaunan.
"Program ini membolehkan pelajar belajar selama dua tahun di universiti dan dua tahun berikutnya pengalaman bekerja di dalam industri. UMT telah memperkenalkan lima subjek baru untuk jurusan Sarjana Muda Perakaunan bagi menyokong program 2u2i tersebut.
"Pelajar jurusan Sarjana Muda Perakaunan bakal ditempatkan di Firma Pengajaran Perakaunan kendalian Salihin Chartered Accountant seawal tahun kedua pengajian mereka," katanya selepas melancarkan program tersebut di Pusat Pengajian Perniagaan dan Maritim, UMT di sini hari ini. - K! ONLINE

Thursday, February 16, 2017

KPT sasar 30 peratus pensyarah ada pengalaman industri

KUALA NERUS - Kementerian Pendidikan Tinggi menyasar sekurang-kurangnya 30 peratus tenaga pengajar di institusi pengajian tinggi tempatan (IPTA) terdiri daripada golongan profesional yang mempunyai pengalaman di industri menjelang tahun 2023.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, dasar terbaharu kementeriannya itu bertujuan memperkasa sistem pendidikan tinggi negara sekali memastikan silibus pengajaran IPTA seiring dengan kehendak industri.
"Kita mahu sekurang-kurangnya 30 peratus pensyarah IPTA mempunyai pengalaman di lapangan industri sesuai dengan kepakaran masing-masing.
"Mereka boleh terdiri daripada golongan profesional masih berkhidmat di sektor swasta yang mengajar secara sambilan di IPTA atau pun pensyarah yang menyumbang kepakaran kepada pihak industri," katanya selepas melancarkan program Dua Universiti, Dua Industri (2u2i) di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di sini hari ini. - K! ONLINE

Wednesday, February 15, 2017

Tahap kesihatan mental bekas tentera mengamuk diperiksa

KUALA TERENGGANU – Polis Terengganu akan memeriksa tahap kesihatan mental bekas tentera yang mengamuk sehingga mencederakan seorang anggota Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) di Kem Seri Pantai, Seberang Takir, Kuala Nerus pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rosli Ab. Rahman berkata, siasatan lanjut sedang dilakukan sama ada kejadian itu berpunca daripada masalah mental yang dihidapi suspek sejak 10 tahun lalu.

“Kita akan mendapatkan rekod penyakit mental suspek yang turut menjadi punca perkhidmatannya sebagai askar ditamatkan pada tahun 2007 daripada Kementerian Pertahanan dalam masa terdekat.

“Kepastian perlu dilakukan sama ada suspek telah bebas daripada penyakit mental yang dihidapinya atau berada dalam keadaan tidak waras sewaktu melakukan serangan itu,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Rosli memberitahu, beberapa ahli keluarga suspek juga akan dipanggil untuk memberi ke­terangan berhubung tahap ke­sihatan mental terkini lelaki itu.

Menurutnya, sebelum ini, tiga anggota RAMD yang terlibat dalam serangan itu termasuk mangsa telah memberi keterangan berhubung insiden tersebut.

Kosmo! kelmarin melaporkan seorang bekas askar tiba-tiba mengamuk di hadapan Kem Seri Pantai, Seberang Takir hingga menyebabkan anggota tentera yang melakukan tugas-tugas me­ngawal di kem tersebut cedera akibat ter­kena torehan pisau suspek.

Siasatan polis mendapati suspek mempunyai rekod penyakit mental sekali gus menolak kaitan kejadian itu dengan kumpulan militan Daesh.

Tuesday, February 14, 2017

Ahmad Razif tolak jadi Timbalan Presiden FAM

KUALA NERUS - Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman memutuskan tidak akan bertanding merebut jawatan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Biarpun mendapat pencalonan bagi jawatan nombor dua FAM itu sebelum ini, beliau yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) memilih untuk tidak melibatkan diri dalam kepimpinan pengurusan bola sepak di peringkat nasional buat masa ini.
"Biarlah saya beri tumpuan kepada PBSNT, lagi pun saya baru menerajuinya pada penghujung tahun lalu.
"Saya juga menolak pencalonan sebagai Timbalan Presiden FAM kerana komitmen terhadap rakyat Terengganu selaku Menteri Besar," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Semalam merupakan hari terakhir buat semua calon mengesahkan status mereka untuk bertanding dalam pemilihan yang akan dilakukab pada Kongres ke-53 FAM pada 25 Mac depan.
Sebelum ini, Ahmad Razif merupakan salah seorang daripada lapan nama yang dicalonkan sebagai Timbalan Presiden FAM. - K! ONLINE

Bekas tentera dituduh mencederakan askar RAMD

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Seorang bekas tentera dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mencederakan seorang anggota Regimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Jumaat lalu.
Aminudin Mohamad, 41, membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim.
Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa mencederakan Prebet Zaimi Mohd. Jalani, 29, secara sengaja dengan menggunakan pisau pada pukul 1.55 petang, 10 Februari lalu.
Dia di dakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun, denda atau sebat atau dengan mana-mana dua daripadanya jika sabit kesalahan.
Abdul Hayyi kemudiannya memerintah Aminudin menjalani pemeriksaan mental di Hospital Permai, Tampoi, Johor Bahru dalam tempoh sebulan selepas tertuduh mendakwa melakukan perbuatan itu dalam keadaan tidak waras.
Kosmo! 11 Februari lalu melaporkan bekas askar tersebut secara tiba-tiba mengamuk sehingga mencederakan seorang askar yang sedang berkawal di pintu masuk Kem Seri Pantai, Seberang Takir, Kuala Nerus. - K! ONLINE

Pelajar tercicir dalam pelajaran ditawar kursus kimpalan

KURSUS. Pusat Pembangunan Kemahiran Negeri Terengganu (Tesdec) dengan kerjasama syarikat kejuruteraan industri minyak dan gas, Syeds Offshore Engineering Sdn. Bhd. (Syeds Offshore Engineering) menganjurkan kursus Kimpalan 6G.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi negeri, A. Latiff Awang berkata, kursus selama 16 bulan yang disasar kepada pelajar tercicir berusia 17 hingga 25 tahun itu.

“Kursus ini bertujuan memberi peluang kedua kepada pelajar yang keciciran pelajaran sama ada di peringkat sekolah rendah, menengah mahu pun pengajian tinggi dalam bidang vokasional dan teknikal,” katanya selepas menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Perjanjian antara Tesdec dengan Syeds Offshore Engineering di Tesdec, Bukit Khor di Maran, Terengganu baru-baru ini.

Tesdec diwakili Ahli Lembaga Pengarahnya, Zainal Abidin Mohamed manakala Syeds Offshore Engineering oleh Penasihat Ahli Lembaga Pengarahnya, Azniza Abdul Wahab.

Monday, February 13, 2017

Terengganu semakin menyengat

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

TERENGGANU semakin mempamerkan taringnya selepas mengekalkan rekod bersih dalam tiga perlawanan awal kempen Liga Primier 2917 dengan yang terbaharu me­numbangkan Kuantan FA 2-0 di Stadium Sultan Ismail Nasirruddin Shah, Kuala Terengganu malam kelmarin.

Kemenangan bergaya itu membolehkan skuad Penyu menduduki tangga kedua liga dan hanya dipisahkan oleh perbezaan gol dengan pendahulu, Negeri Sembilan yang turut mengutip sembilan mata.

Pengendali Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim berkata, beliau berpuas hati dengan peningkatan anak-anak buahnya yang semakin ampuh bermain sebagai satu pasukan.

“Sokongan padu daripada para penyokong juga memberi dorongan kepada barisan pemain untuk tampil cemerlang.

“Begitu pun, kita tidak boleh leka, sebaliknya perlu mengekalkan momentum cemerlang ini kerana perjalanan liga masih panjang,” kata Irfan ketika ditemui selepas perlawanan malam kelmarin.

Irfan berkata, ujian sebenar Terengganu adalah pada aksi menentang Negeri Sembilan, Jumaat depan.

Menurut bekas pengendali Felda United itu, selain menentang pasukan yang kini menghuni tangga teratas liga, ia merupakan aksi pertama skuad Penyu di gelanggang lawan pada musim ini.

Sebelum ini, Terengganu mengharungi empat perlawanan di laman sendiri termasuk aksi menentang Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) yang terpaksa ditunda disebabkan faktor cuaca pada 26 Januari lalu.

Pada aksi malam kelmarin, Terengganu memperoleh gol pertama hasil sepakan lambung, Issey Farran Nakajima yang melepasi jangkauan penjaga gol Kuantan FA, Mohd. Sheril Anuar Saini pada minit ke-47.

Pemain tengah, Abdul La­tiff Suhaimi yang pertama kali tampil sebagai kapten pasukan menggantikan Mohd. Sharbinee Allawee Ramli yang mengalami masalah kesihatan juga beraksi cemerlang dengan merobek gawang pasukan pelawat buat kali kedua pada minit ke-61.

Masalah radang paru-paru yang dihadapi Mohd. Sharbinee menyebabkan dia terpaksa direhatkan pada perlawanan tersebut dan posisinya digantikan oleh penjaga gol skuad Bawah 22 Tahun kebangsaan, Amierul Hakimi Awang.

Penyerang utama skuad Penyu, Federico Falcone pula terpaksa dikeluarkan akibat kece­deraan hamstring dan digantikan dengan Mohd. Faiz Mohd. Nasir pada minit ke-18.

Terengganu kini terus menghimpit Negeri Sembilan dan mereka berkongsi 9 mata menerusi tiga kemenangan.

Tiga stesen minyak akan dibuka di LPT2

KUALA TERENGGANU – Masalah pengguna Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) yang berdepan kesukaran mengisi petrol untuk kenderaan masing-masing sejak pembukaan lebuh raya itu lebih dua tahun lalu bakal berakhir dengan pembukaan tiga stesen minyak selewat-lewatnya hujung tahun ini.

 Pengerusi Jawatankuasa Insfrastruktur, Kemudahan Awam, Tenaga dan Teknologi Hijau Terengganu, Rosli Othman berkata, tiga stesen minyak tersebut bakal dibina di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Perasing, Kemaman dan Hentian Paka, Dungun arah utara serta selatan.

“Permohonan tanah bagi pembinaan stesen minyak berkenaan oleh sebuah syarikat petroleum telah diluluskan kerajaan negeri pada mesyuarat Exco mingguan pada minggu lalu.

“Kerajaan negeri dimaklumkan kesemua stesen minyak terbabit bakal siap dibina dalam tempoh setahun,” katanya di sini semalam.

Rosli berkata, setakat ini, LPT2 hanya mempunyai sebuah mini stesen minyak yang beroperasi di Hentian Kijal arah utara sejak Mei tahun lalu.

LPT2 merupakan sebuah lebuh raya sepanjang 184km yang bermula dari Jabor, Pahang ke Kampung Gemuroh, Terengganu.

Sunday, February 12, 2017

Bekas askar ada rekod sakit mental

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Polis Terengganu mengesahkan bekas tentera yang mengamuk sehingga mencederakan seorang anggota Regimen Askar Melayu Diraja (RAMD) di Kem Seri Pantai, Seberang Takir, Kuala Nerus kelmarin mempunyai rekod penyakit mental.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Wan Abd. Aziz Wan Hamzah berkata, penyakit yang dihidapi itu juga menjadi punca dia diberhentikan daripada perkhidmatan tentera pada tahun 2007.

Ini sekali gus menolak punca kejadian itu ada kaitan dengan kumpulan militan Daesh.

“Suspek memulakan perkhidmatan sebagai tentera pada tahun 1993 dan sebelum ditamatkan perkhidmatan, bertugas di kem tentera di Seberang Takir, Kuala Nerus terbabit.

“Sebelum diberhentikan, dia pernah dirujuk ke Hospital Angkatan Tentera Terendak, Sungai Udang, Melaka bagi mendapatkan rawatan psikologi,”  katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu di sini semalam.
Menurut Wan Abd. Aziz lagi, motif suspek mengamuk dan mahu berjumpa dengan penolong pegawai memerintah kem tersebut yang menempatkan Batalion ke-18 RAMD bagaimanapun masih dalam siasatan.

Katanya, lelaki yang berasal dari Kampung Pak Kancil, Permaisuri, Setiu itu telah ditahan reman selama empat hari sehingga lusa dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

“Siasatan awal mendapati suspek kini bertugas sebagai kakitangan Pejabatan Kesihatan Setiu dan pernah mengalami kegagalan dalam tiga kali perkahwinan sebelum menikah baharu dengan isterinya sekarang yang juga janda anak empat beberapa tahun lalu,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Wan Abd. Aziz berkata, keadaan anggota tentera berusia 29 tahun yang cedera selepas lehernya ditoreh suspek kini dilaporkan stabil dan menerima tiga jahitan.

Beliau memberitahu, pisau yang dipercayai digunakan dalam sera­ngan itu turut dirampas sewaktu suspek diserahkan kepada polis pada pukul 3.30 petang kelmarin.

Kosmo! semalam melaporkan seorang bekas askar tiba-tiba mengamuk di hadapan Kem Sari Pantai, Seberang Takir hingga menyebabkan anggota tentera yang melakukan tugas-tugas mengawal di kem tersebut cedera terkena torehan pisau suspek.

47 pelajar Terengganu terlibat kes buli, gaduh tahun lalu

Oleh MOHD. AZLI ADLAN


KUALA TERENGGANU - Seramai 47 pelajar sekolah di seluruh Terengganu terlibat dalam kes buli dan bergaduh yang diklasifikasikan sebagai merusuh sepanjang tahun lalu.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Rosli Ab. Rahman berkata, ia merupakan kenaikan 80.8 peratus berbanding 26 kes sama yang telah dicatatkan pada tahun 2015.
Beliau berkata, kesemua pelajar sekolah yang ditahan kerana merusuh terbabit merupakan sebahagian daripada 135 juvana didapati terlibat dalam jenayah kekerasan dan kecurian harta benda sepanjang tahun 2016.
"Sembilan remaja di tahan atas siasatan kes rogol, cabul kehormatan (dua), bunuh (dua), mencederakan (12) dan ugutan jenayah (satu) dalam tempoh sama.
"Kes mencuri motosikal pula mencatatkan penahanan 30 suspek juvana, mencuri (20), pecah rumah (10) dan curi motokar (satu)," katanya selepas menghadiri program Hadiah Kasih Sayang di Sekolah Menengah Kebangsaan Belara, Manir dekat sini hari ini. - K! ONLINE

T-Team tampil dengan semangat baharu

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

SKUAD T-Team bakal bertandang ke Stadium Hang Jebat, Melaka malam ini bagi menghadapi Melaka United dengan motivasi tinggi selepas meraih kemenangan sulung minggu lalu.

Pengendali T-Team, Rahmad Darmawan berkata, kejayaan menewaskan Pulau Pinang di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu pada Sabtu lalu telah membangkitkan moral pemain-pemainnya.

“Saya telah mengkaji corak permainan Melaka United pada dua perlawanan sebelum ini bagi mendapat input berguna merangka taktikal dan strategi yang bakal digunakan pada perlawanan itu nanti.

“Kita yakin dapat memerangkap skuad Melaka United dan pulang dengan sekurang-kurangnya satu mata,” kata Rahmad kepada Kosmo! di Kuala Terengganu semalam.

Begitu pun, Rahmad sedar cabaran yang perlu dihadapi skuad T-Team yang juga dikenali sebagai The Titans agak berat memandangkan Melaka United memiliki barisan pemain yang berkualiti pada musim ini.

Pengendali kelahiran Indonesia itu berkata, skuad Sang Kancil itu juga sudah pasti memiliki semangat tunggi untuk melakar kemenangan pertama mereka di hadapan penyokong sendiri.

“Kita perlu ingat, ini aksi sulung Melaka United di laman sendiri pada musim ini dan sudah pastinya semangatnya sangat membara. Oleh itu, pemain T-Team perlu sentiasa fokus di atas padang dan mengikut taktikal yang telah direncana bagi mencapai sasaran memperoleh mata pada aksi malam esok (malam ini),” katanya.

Dalam perkembangan sama, The Titans mendapat ‘tonik’ tambahan apabila menerima tajaan RM100,000 daripada GLE Centre Sdn. Bhd. yang merupakan pengeluar produk minuman Kopi Super Jantan.

Pengarah Urusan GLE Centre berkata, ia merupakan tahun kelima syarikatnya yang berpangkalan di Bukit Payung, Marang, Terengganu menaja kelab T-Team sejak 2013.

“Kita menaruh kepercayaan penuh kepada kemampuan T-Team untuk bersaing dalam Liga Super musim ini. Tajaan tahun ini juga telah ditingkatkan kepada RM100,000 berbanding RM75,000 pada tahun lalu,” katanya.

Saturday, February 11, 2017

Terengganu kalahkan Kuantan FA 2-0

Oleh MOHD. AZLI ADLAN


KUALA TERENGGANU - Terengganu mengekalkan rekod bersih kemenangan ketiga berturut-turut menewaskan Kuantan FA 2-0 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam ini.
Kejayaan memperolehi tiga mata itu cukup berharga membolehkan skuad Penyu meraih sembilan mata maksimum sekali gus melonjak ke tangga kedua Liga Premier di belakang Negeri Sembilan dengan perbezaan jaringan.
Penyerang sensasi tuan rumah, Issey Farran Nakajima memecah kebuntuan selepas sepakan lambungnya melepasi penjaga gol Kuantan FA, Mohd. Sheril Anuar Saini pada minit ke-47.
Pemain tengah, K. Partiban hampir menambah gol Terengganu pada minit ke-54
namun penjuru kiri gawang Kuantan FA pula menjadi penghalang biar pun pun Mohd. Sheril Anuar sudah pun tertewas.
Gol kedua skuad Penyu muncul pada tujuh minit kemudian selepas kapten pasukan, Abdul Latiff Suhaimi bijak menyambut sepakan percuma pemain import, Lutfulla Turaev pada minit ke-61.
Terdahulu penyerang utama tuan rumah, Federico Falcone yang tercedera terpaksa dikeluarkan dan digantikan dengan Mohd. Faiz Mohd. Nasir pada minit ke-18. - K! ONLINE

Suspek mengamuk cederakan anggota tentera direman empat hari

KUALA TERENGGANU - Seorang bekas tentera mengamuk sehingga mencederakan seorang anggota askar di sebuah kem di Seberang Takir, Kuala Nerus semalam di tahan reman selama empat hari sehingga Selasa ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Wan Abd. Aziz Wan Hamzah berkata, siasatan awal mendapati suspek melakukan perbuatan itu secara bersendirian dan tidak mempunyai kaitan dengan aktiviti militan Daesh.
"Suspek yang berusia 41 tahun didapati mempunyai rekod penyakit mental yang juga menjadi punca dia diberhentikan daripada perkhidmatan tentera pada tahun 2007.
"Sebelum ditamatkan perkhidmatan, dia bertugas di kem tentera di Seberang Takir, Kuala Nerus terbabit," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontijen Terengganu di sini hari ini.
Kosmo! hari ini melaporkan suspek yang memakai topi keledar dan menutup mukanya dengan kain berwarna hitam telah menghentikan motosikal di hadapan pintu utama kem tentera berkenaan sebelum memberitahu mahu berjumpa dengan penolong pegawai memerintah kem itu kepada salah seorang anggota bertugas.
Begitu pun, dia tiba-tiba bertindak agresif dengan mengacu pisau ke leher mangsa dan cuba merampas selaras senapang jenis HK-MP5 yang dipegang lelaki itu sebelum berjaya ditumpaskan dengan bantuan seorang anggota tentera lain. - K! ONLINE

Bekas tentera mengamuk cederakan anggota RAMD

KUALA NERUS –  Kem Seri Pantai, Seberang Takir di sini yang menempatkan Batalion ke-18 Regimen Askar Melayu Diraja (RAMD) gempar dengan tindakan seorang bekas askar yang tiba-tiba mengamuk.

Dalam kejadian pukul 1.50 petang, seorang anggota tentera yang sedang menjalankan tugas-tugas mengawal di kem itu cedera ringan di leher terkena torehan pisau suspek yang berusia 41 tahun.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Wan Abd. Aziz Wan Hamzah berkata, suspek yang memakai topi ke­ledar dan menutup mukanya dengan kain telah menghentikan motosikalnya di hadapan pintu utama sebelum menghampiri salah seorang anggota tentera yang sedang berkawal.

“Suspek beritahu dia mahu berjumpa dengan penolong pegawai memerintah (Kem Seri Pantai) sebelum menerkam dan mengacu pisau ke leher anggota RAMD berkenaan dengan sebilah pisau.

“Suspek juga cuba menarik senjata api yang sedang dipegang anggota tentera itu menyebabkan berlaku pergelutan,” kata beliau di sini semalam.

Menurut beliau, pergelutan tersebut menyebabkan leher anggota tentera yang berusia 29 tahun me­ngalami luka ringan terkena torehan pisau.
Katanya, suspek itu kemudian ditahan oleh seorang rakan mangsa di kem itu sebelum lelaki itu diserahkan kepada polis.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek yang berasal dari Permaisuri, Setiu merupakan bekas tentera yang sudah ditamatkan perkhidmatan kerana masalah mental pada tahun 2007.

Jabatan Kesihatan Terengganu sita 1,151 produk makanan tamat tempoh, tidak selamat


Oleh MOHD. AZLI ADLAN


KUALA NERUS - Jabatan Kesihatan Terengganu mengesan segelintir peniaga di negeri ini mengambil kesempatan menggunakan promosi jualan murah sepanjang musim perayaan Tahun Baru Cina baru-baru ini untuk menjual produk makanan yang tamat tempoh dan tidak selamat.
Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Mohamad Omar berkata, pemeriksaan di 34 premis perniagaan merangkumi pasar raya besar, pasar mini, kedai runcit dan pemborong di seluruh Terengganu sejak 9 Januari lalu telah menyita 1,151 jenis produk makanan yang didapati telah melanggar Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985.
"Ia merangkumi 923 jenis produk makanan yang telah tamat tempoh, tin kemek (207), pembungkusan rosak (15) dan pelabelan tidak betul (enam) melibatkan rampasan bernilai RM6,951.35.
"Pemeriksaan mendapati kebanyakan produk makanan tidak selamat itu diletakkan bersama-sama dengan produk yang masih dalam keadaan baik di dalam rak terlibat promosi jualan murah sempena TBC,"katanya selepas mengetuai operasi pemeriksaan keselamatan dan kualiti makanan di sebuah pasar raya besar di sini hari ini. - K! ONLINE

Friday, February 10, 2017

OKU tubuh Konsortium Koperasi

KUALA NERUS - Seramai 300 orang kelainan upaya (OKU) daripada tiga koperasi di negeri ini menubuhkan Konsortium Koperasi Penyayang Terengganu Berhad (Konsortium Koperasi Penyayang) yang merupakan gabungan koperasi melibatkan golongan berkenaan yang pertama di negara ini.
Pengerusi Penaja Konsortium Koperasi Penyayang, Ismail Muda berkata, tiga koperasi yang terlibat dalam pembentukan konsortium itu ialah Koperasi Peka Malaysia Berhad yang dianggotai individu cacat pendengaran, Koperasi Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia Terengganu Berhad (cacat penglihatan) dan Koperasi Gerak Wawasan (cacat anggota).
"Sebelum ini kami menubuhkan koperasi sebagai platform golongan OKU untuk berdikari dan saling membantu bagi mendapatkan peluang mencari rezeki.
"Pembentukan konsortium tersebut adalah inisiatif Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) untuk menambah daya saing koperasi digerakkan golongan OKU ini," katanya selepas menghadiri majlis penutup Seminar Pembangunan Konsortium Koperasi Penyayang yang disempurnakan Naib Presiden Angkasa, Mohamad Azmi Omaruddin di sini hari ini. - K! ONLINE

Kecederaan paha kanan Faizal disahkan tidak serius

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

PENYERANG sensasi skuad hoki kebangsaan, Faizal Saari menerima berita gembira apabila kecederaan paha kanan yang dialaminya disahkan tidak serius.

Faizal, 26, mengalami kecederaan itu sewaktu membantu Pasukan Hoki Terengganu (THT) membelasah Tenaga Nasional Berhad (TNB) 6-1 pada aksi Divisyen Premier Liga Hoki Malaysia (MHL) 2017 di Stadium Hoki Batu Burok, Kuala Terengganu, Jumaat lepas.

Menurut Faizal, pakar perubatan yang merawatnya mengesahkan ligamen otot paha kanannya tidak putus tetapi sekadar terkoyak, sekali gus kembali membuka harapan untuk dia menyertai skuad kebangsaan semula bagi kelayakan Piala Dunia 2018 bulan depan.

“Alhamdulillah, ligamen otot paha kanan saya tidak putus tetapi terkoyak sepanjang tiga sentimeter dan saya telah dinasihatkan agar berehat dalam tempoh sekurang-kurangnya tiga minggu.

“Begitupun, ia tetap kecederaan paling teruk pernah saya alami sepanjang karier dan saya harap proses pemulihan ini akan berjalan lancar,” katanya kepada Kosmo! di Kuala Terengganu kelmarin.

‘Mesin gol’ skuad negara dan THT itu akan menjalani sesi pemulihan di Pusat Pemulihan Institut Sains Negara (ISN), Bukit Jalil, Kuala Lumpur bermula semalam.

Sementara itu, Faizal berharap dia akan pulih secepat mungkin sekali gus membantu skuad negara beraksi pada Separuh Akhir Liga Hoki Dunia (WHL), Jun depan kerana ia merupakan kelayakan terakhir dalam merebut tempat beraksi pada Piala Dunia 2018.

Faizal berpeluang beraksi pada kejohanan itu sekiranya skuad negara berjaya meraih tiket automatik daripada dua slot yang ditawarkan pada Pusingan Kedua (WHL) di Dhaka, Bangladesh yang akan bermula 4 Mac depan.

Thursday, February 9, 2017

Manfaat takaful lebih besar

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyasar pembukaan 100,000 akaun baharu Skim Simpanan Pendidikan Nasional Plus (SSPN-i Plus) melibatkan deposit kira-kira RM550 juta pada tahun ini.

Pengerusi PTPTN, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata, skim tabungan berserta perlin­dungan takaful itu telah menarik 52,615 akaun dengan jumlah deposit terkumpul RM15.8 juta dan manfaat takaful sebanyak RM2.3 bilion sejak dilancarkan pada 8 Jun 2015.

“Kita mahu menerapkan budaya menabung dan tidak bergantung semata-mata kepada pinjaman bagi membiayai pendidikan masa depan dalam kalangan masyarakat negara ini.

“Jika orang menyimpan dalam Tabung Haji sebagai tabungan mengerjakan ibadah haji, simpanan hari tua dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, SSPN-i pula sebagai perancangan pendidikan anak-anak,” katanya di Paya Bunga Square di sini semalam.

Terdahulu beliau menyampaikan manfaat perlindungan takaful dan khairat kematian SSPN-i Plus dan SSPN-i sebanyak RM527,850.71 kepada Mohammad Ilyas Nasir, 30, iaitu waris Nasir Ali, 55, yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 22 Ogos tahun lalu.

Sebelum meninggal dunia, Nasir telah membuka akaun SSPN-i dan SSPN-i Plus di bawah Pakej Berlian masing-masing pada Disember 2013  dan Jun 2015 untuk tabungan pendidikan anak bongsunya, Muhammad Suhail, 17.

Shamsul Anuar berkata, sasaran penambahan pendeposit baharu SSPN-i Plus itu mampu dicapai memandangkan sambutan hangat yang diterima sejak pelancarannya setahun setengah lalu dan peningkatan kesedaran menabung dalam kalangan rak­yat negara ini.

T-Team mula mengorak langkah

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

T-TEAM mula mengorak langkah apabila mencatat kemenangan sulung pada kempen Liga Super musim ini.

Kelmarin, skuad kendalian Rahmad Darmawan itu me­ngutip tiga mata penuh selepas menewaskan Pulau Pinang 1-0 pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Ismail Nasirud­din Shah, Kuala Terengganu.

Ia kemenangan yang sangat bermakna buat Rahmad selepas gagal meraih tiga mata penuh pada dua perlawanan sebelum ini dan dia melihat kebangkitan tersebut sebagai pencetus motivasi buat anak-anak didiknya.

Begitupun, dia mengakui bahawa nasib ternyata memihak kepada mereka kerana memenangi perlawanan tersebut.

“Saya perlu jujur, kita bernasib baik memenangi perlawanan ini kerana Pulau Pinang tampil de­ngan aksi yang lebih baik.

“Mereka menguasai perlawanan dengan hantaran-hantaran tepat terutamanya pada separuh masa pertama,” kata Rahmad ketika ditemui selepas perlawanan tersebut.

Rahmad memberitahu, beliau telah mengarahkan anak-anak buahnya agar tidak terlalu terikut-ikut dengan rentak permainan Pulau Pinang sewaktu berada di bilik persalinan dan mereka telah mengikut arahan tersebut sebaik mungkin untuk me­lakar kemenangan.

Menurut pengendali kelahiran Indonesia itu, peringatannya telah membuahkan hasil selepas corak permainan kembali terbuka sehingga membolehkan penye­rang baharu mereka, Mahadou Samassa meledak gol kemenangan pada minit ke-76.

“Saya akui kami perlu be­kerja keras lagi untuk memantapkan lagi pasukan ­T-Team. Kami perlu berfikiran positif dalam misi untuk mencabar pasu­kan lain dalam liga.

“Gandingan Samassa dan (Farhod) Tadjoev pada jentera sera­ngan juga masih longgar, namun saya percaya mereka memerlukan sedikit lagi masa untuk membentuk ke­serasian,” katanya.