Translate

Wednesday, January 25, 2017

Ustazah maut cuba redah banjir

BESUT – Hasrat seorang suami untuk menyelamatkan isterinya yang terperangkap di dalam kereta dihanyut arus deras banjir tidak kesampaian apabila wanita itu ditemui lemas di Kampung Paya Rawa, Kampung Raja dekat sini semalam.

Tambah menyayat hati, sebelum ditemui lemas di dalam kereta Perodua Myvi yang tenggelam di dalam parit berhampiran sebuah kebun kelapa sawit pada pukul 1.50 petang, Masni Ngah @ Mohd. Jaiz, 44, sempat menghubungi suaminya, Ahmad Ruzaizi Mahmud, 46, untuk meminta pertolongan.

Sewaktu kejadian Masni yang merupakan ustazah di Kolej Vokasional Besut dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Gong Kepas Dalam, Kampung Raja dekat sini.

Ahmad Ruzaizi yang merupakan guru berkata, dia bergegas dari Sekolah Kebangsaan Benting Lintang, Kuala Besut ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 14 kilometer.

“Sewaktu tiba di lokasi kejadian kira-kira 10 minit kemudian, luluh hati saya apabila mendapati kereta Perodua Myvi yang dipandu isteri sudah tenggelam sehingga paras bumbung di dalam parit.

“Saya nekad mengharung banjir dan memecahkan cermin pintu pemandu bagi mengeluarkan isteri saya yang sudah tidak sedarkan diri,” katanya kepada Kosmo! ketika ditemui di perkarangan Rumah Mayat Hospital Besut di sini semalam.

Ahmad Ruzaizi berkata, beberapa anggota bomba yang tiba tidak lama kemudian telah membantunya mengangkat isterinya ke kawasan tinggi yang tidak ditenggelami air banjir sebelum menghantarnya ke Hospital Besut dengan sebuah ambulans.
Menurutnya, isterinya disahkan meninggal dunia oleh pengawai perubatan sebaik tiba di Unit Kecemasan hospital berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd. Zamri Mohd. Rowi berkata, siasatan awal mendapati sewaktu kejadian, kereta Perodua Myvi yang dipandu Masni sedang mengharungi air bah di belakang sebuah kenderaan pacuan empat roda.

Beliau berkata, tidak lama selepas itu, enjin kenderaan pacuan empat roda itu terhenti tiba-tiba menyebabkan kereta Perodua Myvi yang dipandu mangsa di belakang hilang kawalan lalu terbabas ke tepi jalan.

“Kereta Perodua Myvi kemudian dibawa arus sejauh beberapa meter sebelum terbenam ke dalam parit berhampiran sebuah kebun kelapa sawit,” katanya.

No comments:

Post a Comment