Translate

Thursday, January 19, 2017

Suspek kes samun Kuala Terengganu diberkas di Batu Pahat

KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki berusia 45 tahun yang disyaki terlibat dalam dua kes samun di bandar raya ini pada akhir bulan lalu berjaya ditahan di Batu Pahat, Johor pada Isnin lalu.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Rosli Ab. Rahman berkata, suspek dipercayai melarikan diri selepas menyamun seorang pengurus taska melibatkan kerugian RM11,000 di Chendering di sini pada 31 Disember lalu.
"Siasatan awal, suspek turut terlibat dalam cubaan samun bersenjatakan pistol di sebuah stesen minyak di Jalan Sultan Mahmud di sini pada pukul 3 pagi, 20 Disember lalu.
"Pistol yang dipercayai digunakan untuk kedua-dua kes samun itu kemudiannya dijumpai di campak di kawasan semak di Jalan Cherung Lanjut di sini berikutan penahanan dua rakannya di sekitar bandar raya ini pada hari sama, " katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontijen Terengganu di sini hari ini.
Rosli berkata, kesemua suspek ditahan reman sehingga lusa bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 392 dan 397 Kanun Keseksaan, Seksyen 3 Akta Senjata Api 1971 dan Seksyen 8 Akta Senjata 1960. - K! ONLINE

No comments:

Post a Comment