Translate

Friday, January 20, 2017

PBSNT sasar satu piala musim ini

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

PERSATUAN Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) mahu pasukan Terengganu dan T-Team masing-masing menjulang satu piala pada saingan Liga Malaysia (Liga M) 2017 yang akan membuka tirainya, Sabtu depan.

Presiden PBSNT, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, selain itu, Terengganu yang kini dibimbing pengendali berpengalaman, Irfan Bakti Abu Salim juga disasar agar dapat kembali ke saingan Liga Super pada musim hadapan.

“Itu misi yang telah kita berikan kepada Irfan Bakti untuk skuad Terengganu dan T-Team yang dikendalikan oleh Rahmad Darmawan pada musim ini.

“Kita telah memberi kepercayaan penuh dan kebebasan kepada kedua-dua jurulatih tersebut untuk membentuk pasukan mantap,” kata Ahmad Razif selepas melancarkan jersi baharu dan memperkenalkan pemain-pemain Terengganu dan T-Team di Kompleks Sukan Terengganu, Gong Badak, Kuala Terengganu semalam.

Turut diperkenalkan di hadapan para peminat dua pasukan berkenaan ialah Pasukan Hoki Terengganu (THT) yang bersaing dalam Divisyen Premier Liga Hoki Malaysia dan baru merangkul kejuaraan Piala Tan Sri P. Alagendra pada Selasa lalu.

Hadir sama Timbalan Presiden PBSNT, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu.
Ahmad Razif yang juga Menteri Besar Terengganu berkata, Terengganu yang lebih dikenali sebagai skuad Penyu telah melakukan rombakan pemain sebanyak hampir 40 peratus dalam usaha untuk mengungguli saingan Liga Premier pada musim ini.

Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu PBSNT menjangkakan kos untuk membiayai skuad Terengganu dan T-Team bagi mengharungi saingan Liga M pada musim ini dianggarkan mencecah lebih RM30 juta.

“Dana bagi kos operasi dan pengurusan kedua-dua pasukan itu tidak akan menggunakan satu sen pun kantung kerajaan negeri sebaliknya ditaja sepenuhnya oleh pihak swasta dan syarikat milik kerajaan.

“Begitupun sumbangan daripada penaja-penaja terbabit diuruskan oleh kerajaan negeri bagi memastikan ketelusan dan dapat dioptimumkan sebaik mungkin demi kemajuan pasukan Terengganu dan T-Team,” katanya.

No comments:

Post a Comment