Translate

Wednesday, January 11, 2017

Mat gian buat kecoh 
di stesen minyak

BESUT – Sebuah stesen mi­nyak di Seberang Jerteh dekat sini semalam kecoh apabila ‘diserang’ seorang mat gian yang dipercayai berada dalam kea­daan khayal.

Dalam kejadian pada pukul 5 pagi itu, suspek lelaki berusia 33 tahun bukan sahaja membuat bising dan melakukan vandalisme dengan memecahkan pintu cermin kedai serbaneka di stesen minyak tersebut, malah mencuri makanan serta bertengkar dengan pelanggan.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd. Zamri Mohd. Rowi berkata, keadaan hanya reda selepas sepasukan anggota dari Balai Polis Jertih memberkas lelaki terbabit.

“Sebelum kejadian, suspek dari Kampung Tembila dekat sini tiba-tiba datang ke stesen minyak itu seorang diri sebelum membuat bising.

“Dia bertindak ganas dengan memecahkan pintu cermin hadapan kedai serbaneka sebelum masuk dan mengambil beberapa makanan,” katanya kepada Kos­mo! di sini semalam.

Mohd. Zamri memberitahu, suspek yang keluar dari kedai serbaneka kemudian bertengkar pula dengan seorang pelanggan yang sedang mengisi petrol di stesen minyak itu.

Menurutnya, lelaki tersebut turut menendang dinding aluminium stesen minyak berkenaan sebelum melarikan diri.

“Bagaimanapun, dia dapat diberkas tidak jauh dari stesen minyak oleh sepasukan anggota polis yang sedang membuat rondaan.

“Hasil pemeriksaan kesihatan ke atas suspek di Hospital Besut, lelaki terbabit didapati tidak mengalami gangguan mental tetapi berkemungkinan besar terlibat dalam penyalahgunaan dadah,” ujarnya.

Suspek kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Besut untuk menjalani ujian air kencing.

No comments:

Post a Comment