Translate

Saturday, January 28, 2017

Lelaki terjun sungai elak ditahan polis lemas

BESUT – Gara-gara mahu mengelak daripada diberkas, seorang lelaki yang menjadi buruan polis kerana disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah mati lemas selepas terjun ke dalam Sungai Besut berhampiran Kampung Belok, Hulu Besut dekat sini kelmarin.

Mayat suspek ditemui sepasukan anggota bomba yang melakukan operasi mencari dan menyelamat lebih empat jam selepas dia terjun ke dalam sungai itu pada pukul 5.20 petang.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd. Zamri Mohd. Rowi berkata, kejadian berlaku apabila sepasukan anggota polis yang sedang membuat rondaan di Kampung Belok terserempak dengan suspek yang memandu kereta Perodua Axia.

Menurutnya, polis mengarahkan suspek memberhentikan kereta namun lelaki terbabit enggan dan memecut laju sejauh kira-kira 500 meter sebelum berhenti di tepi jalan.

“Dia kemudian melarikan diri ke kawasan semak di tebing sungai dan ketika pihak polis menghampiri, suspek terjun ke dalam sungai dan berenang ke tengah. Dia berpatah balik selepas diminta oleh anggota polis berbuat demikian kerana sungai itu dalam.

“Bagaimanapun, kira-kira 50 meter sebelum sampai ke tebing, suspek terus tenggelam dan hilang,” katanya kepada Kosmo! Ahad semalam.

Mayat suspek ditemui pada pukul 9.50 malam dan dibawa ke Hospital Besut untuk bedah siasat.

Pemeriksaan di dalam kereta mangsa menemui 1,200 biji pil kuda dan sembilan peket dadah jenis syabu bernilai RM13,080.

No comments:

Post a Comment