Translate

Wednesday, January 25, 2017

Kerajaan Terengganu kecewa

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

GARA-gara kecewa selepas laluan peringkat pertama kejohanan berbasikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2017 yang bakal bermula 22 Februari depan digugurkan, kerajaan negeri Terengganu mengancam untuk tidak meneruskan komitmen terhadap sukan berbasikal negara termasuk menghentikan penajaan kepada Pasukan Berbasikal Terengganu (TSG).

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, beliau amat terkilan depan keputusan penganjur perlumbaan berbasikal terunggul di Asia itu yang disifatkannya sebagai terlalu drastik membuat keputusan tanpa me­ngadakan perundingan dengan kerajaan negeri terlebih dulu.

“Selama ini, kita (kerajaan negeri Terengganu) sentiasa menyokong dan membantu (LTdL) termasuk memberi tajaan tetapi dalam keadaan kerajaan negeri terpaksa melakukan penjimatan kerana sumber kewangan terbatas, begitu drastik tindakan yang diambil (penganjur).

“Sepatutnya perlu ada situasi menang-menang (antara kerajaan negeri dan penganjur) dan berunding dengan kerajaan negeri terlebih dulu,” kata Ahmad Razif kepada pemberita di Kuala Terengganu semalam.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan pe­nganjur LTdL 2017 yang menggugurkan laluan peringkat pertama dari Kuala Berang ke Kuala Terengganu sejauh 130 kilometer (km) dan peringkat kedua dari Jerteh ke Gerik (208.1km) kerana masalah penajaan.

Ahmad Razif berkata, untuk memburukkan lagi keadaan, ia berlaku sewaktu penganjuran Tahun Melawat Terengganu 2017, sekali gus memberi gambaran penganjur LTdL enggan memberi sokongan mempromosikannya walaupun kerajaan negeri Terengganu pernah menjadi penaja utama perlumbaan berbasikal terulung Asia itu beberapa edisi terdahulu.

Menurut beliau, kerajaan ne­geri Terengganu telah berkira-kira untuk menarik diri dalam pembangunan sukan berbasikal negara termasuk menghentikan penajaan kepada pasukan TSG yang merupakan antara kelab berbasikal terbaik negara.

“Kerajaan negeri Terengganu menubuhkan TSG untuk membantu pembangunan sukan berbasikal negara tetapi nampak­nya hanya kami yang bersungguh-sungguh tetapi tidak mendapat sokongan pihak terlibat.

“Oleh itu, kerajaan negeri Terengganu tidak perlu buang masa dan duit lagi, kita sedang memikirkan untuk menyerahkan TSG kepada pihak lain,” katanya.

Keputusan kerajaan negeri Terengganu itu bakal menjejaskan TSG yang dibarisi ramai pelumba basikal profesional negara dan mereka sedang dalam persiapan menghadapi Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur pada Ogos depan.

Kosmo! semalam melaporkan, Ketua Pegawai Eksekutif LTdL, Emir Abdul Jalal berkata, laluan peringkat pertama di Terengganu sah digugurkan termasuk perlumbaan peringkat kedua (Kelantan) juga berdepan risiko untuk disingkirkan kerana tidak mendapat tajaan selain berdepan dengan keadaan cuaca tidak menentu seperti hujan dan banjir.

Kerajaan negeri Terengganu merupakan antara penaja utama LTdL sejak tahun 2012, namun terpaksa menghentikan penajaan untuk edisi 2017 berikutan kekangan bajet.

Begitupun difahamkan kerajaan negeri masih menawarkan penginapan percuma kepada atlet dan penganjur sepanjang perlumbaan laluan pertama LTdL 2017 yang dijadualkan bermula 22 Februari depan.

No comments:

Post a Comment