Translate

Monday, January 9, 2017

Harimau lari banjir ‘lepak’ di LPT2

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

DUNGUN – Gara-gara banjir yang melanda Terengganu, seekor harimau keluar dari habitatnya sehingga menggemparkan pengguna Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) selepas dijumpai berehat di kawasan semak di KM354.3, LPT2 berhampiran Bukit Besi dekat sini kelmarin.

Pengarah Jabatan Perlindungan Haiwan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan) Terengganu, Mohd. Hasdi Husin berkata, pemeriksaan anggotanya mengesahkan kehadiran harimau terbabit selepas menjumpai kesan tapak kaki haiwan liar terbabit di lokasi kejadian.

“Perhilitan Terengganu menerima laporan berhubung penemuan seekor harimau dewasa oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia pada pukul 7 malam semalam (kelmarin).

“Berdasarkan kesan tapak kaki terbabit, haiwan itu disahkan sebagai harimau dewasa, namun jantinanya masih belum dikenal pasti,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Mohd. Hasdi berkata, pencarian di sekitar Hutan Simpan Jerangau dekat sini sejak malam kelmarin masih gagal untuk menjejaki spesies haiwan terancam berkenaan.

Menurut beliau, pihak­nya telah memasang beberapa perangkap di dalam hutan simpan itu sebagai usaha untuk mengesan haiwan terbabit.

“Kemungkinan haiwan­ tersebut keluar dari habitatnya selepas Hutan Simpan Jerangau dilanda banjir.

“Kita risau harimau itu menyeberangi LPT2 sehingga menimbulkan risiko keselamatan terhadap pengguna lebuh raya dan mengancam haiwan terbabit,” katanya.

Imej seekor harimau sedang berehat di kawasan semak di KM354.3, LPT2 berhampiran Bukit Besi menjadi viral di media sosial sejak kelmarin.

Kosmo! pada 7 Februari 2016 melaporkan seekor harimau betina mati selepas dilanggar sebuah kenderaan pelbagai guna, Hyundai Starex di Kilo­meter 321.2, LPT2 berhampiran susur keluar Plaza Tol Kerteh, Kemaman.

No comments:

Post a Comment