Translate

Saturday, January 21, 2017

Besut, Setiu kembali dilanda banjir

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Hujan lebat yang berlarutan selama hampir 10 jam sejak pukul 10 pagi tadi menyebabkan daerah Besut dan Setiu kembali dilanda banjir hari ini.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Terengganu, Che Adam A. Rahman berkata, setakat ini, sebanyak enam pusat pemindahan telah dibuka di daerah Besut yang menempatkan 63 mangsa.
"Pusat-pusat pemindahan yang telah dibuka sehingga pukul 9 malam ini ialah Masjid Kampung Oh, Balai Raya Perumahan Laklok, Surau Kampung Gong Bukit Kenak, Balai Raya Kampung Beris Pak Abu dan Balai Raya Kampung Renek.
"Setakat ini, seramai 21 keluarga telah ditempatkan di semua pusat pemindahan terbabit," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Dalam perkembangan sama, Che Adam memberitahu tiga laluan di Setiu terpaksa ditutup untuk kenderaan ringan kerana ditenggelami bah dengan kedalaman sehingga 1.2 meter.
Beliau berkata, laluan yang terlibat ialah Jalan Permaisuri-Hulu Seladang, Jalan Caluk-Bukit Putera dan Jalan Pengkalan Merbau-Pelong.
"Hujan lebat masih turun di Besut, Setiu, Hulu Terengganu, Marang dan Kuala Terengganu.
"Bilik Gerakan Bencana Banjir Terengganu diaktifkan 24 jam semula berikutan gelombang keempat banjir yang melanda negeri ini," katanya. - K! ONLINE

No comments:

Post a Comment