Translate

Sunday, January 8, 2017

Banjir: Mangsa di Kelantan turun, Terengganu meningkat

KOTA BHARU - Jumlah mangsa banjir di Kelantan turun sedikit kepada 4,695 orang setakat 8 pagi ini berbanding 4,770 malam tadi.
Menurut Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menerusi aplikasi Infobanjir, 14 pusat pemindahan masih dibuka bagi menempatkan mangsa banjir di jajahan Tumpat dan Pasir Mas.
Jumlah mangsa paling ramai ialah di Tumpat dengan 2,794 orang daripada 943 keluarga di tujuh pusat pemindahan, manakala Pasir Mas menempatkan 1,901 mangsa daripada 639 keluarga di tujuh pusat pemindahan.
Menurut laman sesawang kerajaan negeri di http://ebanjir.kelantan.gov.my paras air di Sungai Golok di Rantau Panjang kini di bawah paras bahaya 9.0 meter dengan trend penurunan iaitu 8.87 meter berbanding 9.15 meter malam tadi.
Bacaan paras air Sungai Kelantan di Jambatan Guillemard, Tanah Merah pula turun kepada 12.53 meter berbanding 12.83 meter malam tadi tetapi masih di bawah paras bahaya 16 meter, manakala paras air sungai utama yang lain telah kembali ke paras normal.
Sementara itu, jumlah mangsa banjir Terengganu yang masih ditempatkan di pusat pemindahan meningkat sedikit kepada 1,527 orang pada pagi ini.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Terengganu, Che Adam A. Rahman berkata, peningkatan berbanding 1,268 mangsa pada malam semalam disebabkan pembukaan sebuah pusat pemindahan baharu di Pulau Redang di sini pada awal pagi tadi.
"Setakat ini hanya tujuh pusat pemindahan masih di buka di empat daerah di negeri ini.
"Kuala Nerus kekal daerah paling ramai mangsa banjir iaitu 971 orang diikuti Kuala Terengganu (457), Dungun (78) dan Marang (21)," katanya kepada Kosmo! di sini hari ini. - K! ONLINE

No comments:

Post a Comment