Translate

Monday, January 23, 2017

13 sekolah di Terengganu ditutup libatkan lebih 2,600 pelajar

SETIU – Sebanyak 13 sekolah di Terengganu terpaksa ditutup hari ini me­libatkan 2,679 murid dan 307 guru selepas banjir kembali melanda empat daerah di negeri itu sejak kelmarin.

Pengarah Pendidikan Terengganu, Shafruddin Ali Hussin berkata, ia me­libatkan lapan sekolah di Setiu dan masing-masing dua di Hulu Terengganu serta Besut dan Kemaman (satu).

“Kesemua sekolah itu diputuskan untuk tidak beroperasi pada esok (hari ini) berikutan ditakungi air bah, jalan perhubungan terputus dan dijadikan pusat pemindahan banjir.

“Kesemua sekolah ter­babit merupakan sekolah rendah di empat daerah yang terjejas banjir iaitu Besut, Setiu, Hulu Terengganu dan Kemaman,” katanya kepada Kosmo! Ahad semalam.

Shafruddin berkata, sekolah-sekolah di Setiu yang terlibat ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Besut, SK Chalok, SK Langkap, SK Kampung Buloh, SK Sungai Las, SK Kampung Bukit, SK Alur Lek Kasar dan SK Merbau Menyusut.

Menurut beliau, dua sekolah yang ditutup di Hulu Terengganu pula ialah SK Tengkawang dan SK Matang manakala daerah Kemaman hanya melibatkan SK Padang Kubu.

“SK Kampung Nangka dan SK Tembila pula terpaksa ditutup bagi daerah Besut," katanya.

Sementara itu, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Terengganu, Che Adam A. Rahman berkata, gelombang kedua banjir mula me­landa negeri ini berikutan hujan lebat pada pukul 10 pagi kelmarin.

Beliau berkata, seramai 2,680 mangsa daripada 724 keluarga telah dipindahkan ke 66 pusat pemindahan di empat daerah.

“Sebanyak 32 pusat pemindahan telah dibuka di Besut, Setiu (21), Hulu Terengganu (lapan) dan Kemaman (lima),” katanya.

Sementara itu tinjauan Kosmo! mendapati pekan Permaisuri di sini hampir lumpuh selepas kebanyakan kawasannya ditenggelami air lebih semeter.

Dalam pada itu di Kelantan, sebanyak 51 sekolah terpaksa ditutup membabitkan kira-kira 19,807 pelajar akibat banjir.

No comments:

Post a Comment