Translate

Sunday, December 31, 2017

UniSZA kampus tanpa tunai pertama Pantai Timur

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) muncul kampus tanpa tunai pertama di wilayah Pantai Timur merangkumi Kelantan, Terengganu dan Pahang menerusi pelancaran aplikasi dompet elektronik (e-dompet), Boost hari ini.

Pengerusi Lembaga Pengarah UniSZA, Prof. Emeritus Datuk Dr. Kamarudin Hussin berkata, aplikasi dibangunkan Axiata Digital eCode Sdn. Bhd. itu membolehkan pelajar universiti tersebut menggunakan e-dompet sebagai kaedah pembayaran tunggal bagi semua urus niaga di dalam kampus.

"Ia melibatkan lebih 12,000 pelajar, tenaga pengajar dan kakitangan sokongan UniSZA di tiga kampus iaitu Gong Badak, Tembila (Besut) dan Perubatan (Kuala Terengganu).

"Pembayaran tanpa penggunaan wang tunai, kad debit mahu pun kad kredit menerusi Boost boleh dilakukan di mana-mana kedai yang mempunyai kod QR," katanya selepas melancarkan program UniSZA tanpa tunai di sini hari ini.

Turut hadir Naib Canselor UniSZA, Prof. Datuk Dr. Ahmad Zubaidi Abdul Latif dan Ketua Tanggungjawab Korporat dan Perhubungan Kerajaan Celcom Axiata Berhad, Saiful Bahrin Abdul Ghaffar. - K! ONLINE

Pertemuan mesra bekas pelajar MDF

ERAT. Seramai 74 bekas pelajar Madrasah Darul Falah (MDF) sesi 1984-1995 mengadakan majlis pertemuan semula di Kuala Sungai Baru, Masjid Tanah, Melaka baru-baru ini.

Penyelaras program, Redzuan Ibrahim berkata, pertemuan itu bertujuan mengeratkan silaturahim dalam kalangan bekas pelajar dan guru.

“Kami juga membina sebuah galeri pengasas MDF, Hassan Abu Bakar yang juga mufti kedua Melaka bagi memperingati jasa besar beliau kepada sekolah kami,” katanya.

Bekas MPP UMT terima anugerah Nadi Negara

PENGIKTIRAFAN. Bekas Setiausaha II Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Nurul Farhana Ismail menerima anugerah Nadi Negara sempena Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) baru-baru ini.

Naib Canselor UMT, Prof. Dr. Nor Aieni Mokhtar berkata, Nurul Farhana menerima trofi, sijil penghargaan dan sejumlah wang tunai yang disampaikan Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.

Mesin lupus sampah di Pulau Redang

KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri akan menggunakan mesin pelupusan sampah mesra alam pada tahun depan bagi menyelesaikan masalah pengurusan bahan buangan dan sisa pepejal lebih 2,000 penduduk Pulau Redang dekat sini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesejahteraan Bandar Terengganu, Datuk Mohd. Jidin Shafie berkata, mesin itu berfungsi membakar sampah tanpa mengeluarkan asap.

“Mesin menggunakan teknologi China itu juga boleh menghasilkan baja dan gas metana serta pembekalan tenaga elektrik daripada sisa pembakaran sampah.

“Ia juga dapat menjimatkan ruang dan memanjangkan jangka hayat pusat pelupusan sampah. Sebelum ini, sampah dari Pulau Redang dihantar ke Kuala Terengganu menggunakan bot,” katanya selepas merasmikan program Hias Bandar anjuran Majlis Bandaraya Kuala Terengganu di Dataran Bangau, Batu Burok di sini semalam.

Saturday, December 30, 2017

Padah curi telefon Nokia dalam masjid

KUALA TERENGGANU - Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara setahun oleh Mahkamah Majistret di sini semalam atas kesalahan mencuri sebuah telefon bimbit milik seorang jemaah Masjid Abidin di sini pada Khamis lalu.

Tertuduh, Shahrul Fadlisman Nawi, 26, turut diperintah menjalani hukuman penjara tiga bulan kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri, Mykad sewaktu diperiksa seorang anggota polis pada hari kejadian.

Majistret Abdul Hayyi Salim memerintahkan demikian selepas tertuduh mengaku bersalah atas kedua-dua pertuduhan tersebut.

Beliau memerintahkan Shahril Fadlisman menjalani hukuman penjara tersebut secara serentak bermula pada tarikh tangkapan iaitu 14 Disember lalu.

Pendakwaan dikendalikan pegawai pendakwa, Inspektor Miky Dunstan Muda manakala  tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Berdasarkan pertuduhan pertama, Shahril Fadlisman didakwa mencuri sebuah telefon bimbit jenama Nokia milik seorang lelaki warga asing pada 14 Disember lalu.

Sewaktu kejadian, mangsa sedang menunaikan solat Subuh antara pukul 5.30 hingga 6 pagi di Masjid Abidin di sini.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua pula, Shahril Fadlisman didakwa gagal mempamerkan kad pengenalan sewaktu diperiksa pihak polis pada pukul 6.58 lagi, hari sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 25 (1) ?? Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun dan denda sehingga RM20,000 jika sabit kesalahan.

Beruang matahari maut dirempuh motosikal di LPT2

MOHD. AZLI ADLAN

DUNGUN - Seekor beruang matahari jantan dewasa yang dianggarkan seberat 100 kilogram maut dirempuh sebuah motosikal selepas haiwan terbabit dikatakan tiba-tiba memasuki Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran susur keluar Kuala Dungun di sini semalam.

Dalam kejadian yang berlaku pada pukul 6.50 petang di Kilometer 347.5 LPT2 tersebut turut menyebabkan penunggang motosikal berkenaan yang dikenali sebagai Ahmad Hafizuddin Zulkifli, 29, mengalami kecederaan ringan.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Ahmad Zailani Yaakob berkata, sewaktu kejadian, Ahmad Hafizuddin yang menunggang motosikal Yamaha Y15ZR dalam perjalanan ke Kuala Terengganu dari Kuantan, Pahang.

Beliau berkata, sewaktu tiba di lokasi kejadian, seekor beruang yang dikatakan berasal dari Hutan Simpan Rasau berhampiran tiba-tiba menyeberang LPT2.

“Pada masa sama, mangsa sedang menunggang motosikal di laluan kiri lebuh raya tersebut.


“Mangsa gagal mengelak lalu merempuh beruang terbabit sebelum motosikalnya tercampak ke tepi jalan,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini. - K! ONLINE

Friday, December 29, 2017

Ubi rebus nutrisi menyihatkan

PEMAKANAN ubi secara rebus oleh penduduk Pantai Timur termasuk Terengganu terutama pada musim tengkujuh patut digalakkan kerana ia  merupakan nutrisi yang sihat.

Timbalan Dekan (Bakat dan Penyelidik) Pusat Pengajian Sains dan Teknologi Makanan Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr. Hayati Mohd. Yusof berkata, pelbagai jenis ubi tersebut seperti ubi kayu, keledek, itik, badak dan keladi telur merupakan pengganti nasi yang ideal sebagai sumber karbohidrat.

Beliau berkata. ubi juga mengandungi karbohidrat yang menghasilkan kalori bagi memberi tenaga kepada badan selain rasa kenyang seperti nasi.

"Pemakanan ubi secara rebus juga lebih berkhasiat kerana masih mengandungi mineral dan vitamin yang memberi diperlukan kepada badan manusia.

"Sebaliknya, kebanyakan beras yang berada di pasaran sudah melalui pelbagai proses termasuk pelunturan warna yang dikhuatiri telah kehilangan mineral dan vitamin tersebut," jelas beliau ketika ditemui di pejabat di UMT, Kuala Nerus, Terengganu baru-baru ini.

Hayati berkata, berdasarkan kajian, ubi terutama ubi kayu mengandungi mineral potasium tinggi yang mampu membantu merendahkan tekanan darah dan mengurang risiko strok.

Ujar beliau, kandungan potasium yang tinggi dalam ubi kayu itu baik bagi penghidap penyakit tekanan darah tinggi jika diambil dengan kerap.

"Ubi kayu juga mengandungi vitamin C selain kandungan garam secara semulajadi yang rendah. Kajian yang dilakukan mendapati setengah cawan ubi kayu cuma mengandungi 2 miligram sodium.

"Saya boleh katakan ubi merupakan pilihan yang baik sebagai sumber karbohidrat kerana ia biasanya diambil (di makan) secara semulajadi tanpa diproses seperti beras dan tepung gandum," katanya.

Hayati berkata, pemakanan ubi secara semulajadi dengan cara direbus juga mampu mengurangkan risiko penyakit akibat pengambilan karbohidrat berlebihan seperti serangan jantung dan diabetes.

Enak makan ubi pada musim banjir

HUJAN lebat yang mencurah-curah sejak awal pagi sedikit sebanyak menggusarkan hati Surya Sabuwe, 55, yang menetap di Kampung Gaung, Hulu Terengganu, Terengganu.

Keadaan itu membuatkan dia sekeluarga bersiap sedia untuk menghadapi kemungkinan bencana banjir yang melanda setiap kali musim tengkujuh menjelma.

Itulah suasana sejak berpuluh tahun lalu, jarang sekali bumi Pantai Timur termasuk Terengganu kering tidak ditenggelami air bah setiap kali Monsun Timur Laut pada bulan November hingga Mac setiap tahun.

Begitupun, bagi beliau, bukan semua yang dibawa Monsun Timur Laut itu angin derita, ada juga rahmat gembira yang ditunggu-tunggu penduduk Pantai Timur.

“Permulaan musim hujan yang dibawa musim tengkujuh maka bermulalah pesta ubi.

“Pelbagai jenis ubi boleh didapati dengan mudah, bukan sahaja ubi kayu dan keledek, macam-macam ubi yang kita jarang jumpa boleh diperoleh hanya pada musim tengkujuh,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.
Antaranya, ubi itik, keling, keladi telur, badak, torok dan gajah.

Kebanyakan tempat di Terengganu termasuk di Kampung Gaung, ramai peniaga ubi akan membuka gerai di tepi jalan bak cendawan tumbuh selepas hujan.

Menjamah ubi rebus manis dan lembut itu bersama air kopi panas tatkala musim hujan satu nikmat yang sukar dilepaskan.

Seorang peniaga, Romainor Kasim, 43, yang berniaga ubi di Kampung Gaung, Kuala Berang berkata, jualan ubinya mula meningkat sejak musim hujan bermula pada awal Oktober lalu.

“Biasanya, permintaan terhadap ubi semakin meningkat sehingga 100 kilogram (kg) sehari sepanjang musim hujan ini sehinggalah banjir mula melanda.
“Kalau bukan musim hujan, jualan ubi tidak pernah melebihi 10kg sehari. Bulan-bulan lain saya bergantung kepada hasil tanaman lain seperti jagung, limau madu, kacang tanah dan pisang,” katanya.

Romainor mewarisi gerai jualan terbabit yang wujud sejak tahun 1960-an daripada ibunya berkata, walaupun pelbagai jenis ubi dijual, ubi kayu paling menjadi pilihan pembeli pada musim hujan.

Jualan

Menurutnya, jualan ubi kayu sahaja boleh mencecah 40kg sehari sepanjang musim hujan berkenaan.

“Gerai kami dibuka dari pukul 8 pagi hingga 6 petang biasanya akan dipenuhi pelanggan dari Hulu Terengganu dan daerah-daerah lain,” katanya yang menetap di Kampung Temir, Hulu Terengganu.

Selain Kampung Gaung, Kuala Berang, satu lagi kawasan yang meriah dengan gerai jualan pelbagai jenis ubi pada musim hujan ialah Kampung Kubang Jela, Manir, Kuala Terengganu.
Seorang peniaga, Siti Sahara Fazira Saimi, 22, berkata, kebanyakan bekalan ubi untuk jualan tersebut merupakan hasil tanaman penduduk sekitar Manir dan Hulu Terengganu.

“Ubi kayu dan stelo diperoleh daripada pekebun sekitar Manir dan Hulu Terengganu. Bekalan ubi itik dan badak dari Besut.

“Bagi ubi keling dan keladi telur pula biasanya mudah didapati dari Kelantan atau Thailand,” jelasnya.

Ujar Siti Sahara, ubi kayu dan keledek berwarna putih dan oren dijual pada harga RM4 sekilogram (kg) manakala keledek ungu berharga RM6kg.

Jelas beliau lagi, ubi itik, keladi telur, gajah dan keling pula berharga antara RM7 hingga RM10kg.

“Pelancong-pelancong termasuk dari Kuala Lumpur turut berkunjung ke gerai saya dan mereka lebih teruja apabila melihat ubi keling, itik, keladi telur, torok serta gajah yang dikatakan tidak pernah dilihat sebelum ini,” katanya.

Budaya

Seorang lagi penduduk, Puang Jusoh, 60, berkata, budaya memakan ubi pada musim hujan mungkin disebabkan kebanyakan barang mentah seperti sayur, ikan, daging dan ayam sukar didapati kerana kedai runcit banyak ditutup sebagai persediaan menghadapi banjir.

Tambahnya, ubi-ubi tersebut yang sedap dimakan ketika panas dalam cuaca sejuk turut menjadikan ia pilihan utama pada musim hujan.
“Setiap jenis ubi seperti kayu, keledek, itik, keling, keladi telur dan badak mempunyai struktur fizikal dan rasa yang berbeza-beza,” jelasnya.

Puang yang menetap di Kampung Temir, Hulu Terengganu tersebut memberi contoh, ubi keling atau dikenali sebagai ubi kemili yang bersaiz kecil seperti kacang tanah mempunyai rasa lemak dan sedikit pahit.

Menurut warga emas itu, ubi badak atau ubi besar pula mempunyai dua warna iaitu ungu dan kuning. Begitu juga ubi keledek yang dipanggil ubi stelo di Terengganu ada tiga jenis iaitu putih, oren dan ungu.

“Orang Terengganu biasanya hanya memakan semua ubi tersebut selepas direbus dan dicicah kelapa parut yang digaul garam,” katanya.

Jelas Puang, sebahagian ubi berkenaan terutama keledek dan ubi badak boleh dibuat kuih-kuih tradisional seperti pengat, belebat (lepat), cek mek molek, talam dan keria.

Mula ditanam

Seiring dengan permintaan, penanaman ubi terutama ubi kayu di kawasan Hulu Terengganu dan Manir telah dirancang awal agar ia boleh dituai pada hujung tahun.

Salah seorang pengusahanya, Mustapa Yahya, 70, berkata, hasil tanaman tersebut perlu dituai pada permulaan musim hujan.

“Biasanya kita akan mula menanam keratan pokok ubi pada bulan Mac selepas banjir mulai surut dan kering.

“Hasil ubinya akan diperoleh pada bulan Oktober kerana tanaman itu mengambil masa kira-kira lapan bulan untuk matang,” katanya.

Mustapa berkata, hasil ubi itu perlu dituai segera sebelum banjir melanda.

Menurut beliau, sekiranya lambat dituai, kebun akan dinaiki air banjir yang akan merosakkan kualiti ubi.

Beliau mempunyai kebun ubi kayu seluas 0.203 hektar di Kampung Tajin, Hulu Terengganu yang diusahakannya sejak puluhan tahun lalu dengan hampir setan hasil ubi kayu pada setiap musim.

“Biasanya saya jual secara borong kepada peniaga ubi di sekitar daerah Hulu Terengganu terutama di Kampung Gaung.

“Ada juga peniaga kuih mengambil bekalan ubi kayu daripada saya,” katanya.

Jejambat Bukit Tumbuh mula dibuka

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA NERUS –  Masalah kesesakan lalu lintas di Jamba­tan Sultan Mahmud di sini terutama pada waktu puncak pada masa ini bakal dikurangkan menerusi pembukaan persimpangan bertingkat Bukit Tumbuh di sini mulai semalam.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, persimpangan bertingkat sejauh 350 meter itu bertujuan untuk menyu­raikan trafik di Jambatan Sultan Mahmud yang merupakan laluan utama menghubungkan daerah ini dan Kuala Terengganu.

“Kajian mendapati kese­sakan trafik di Jambatan Sultan Mahmud sebelum ini disebabkan kapasiti kenderaan yang tinggi untuk ke Seberang Takir melalui Bukit Tumbuh di sini terutama pada waktu puncak dan perayaan.

“Persimpangan bertingkat yang menelan belanja RM25 juta itu diharap mampu menyediakan sistem penyuraian trafik le­bih efektif bagi kedua-dua hala bagi Kuala Terengganu dan Kuala Nerus,” katanya selepas melepaskan trafik di persimpa­ngan bertingkat Bukit Tumbuh di sini semalam.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Tenaga dan Teknologi Hijau negeri, Rosli Othman dan Pengarah Jabatan Kerja Raya negeri, Che Kamaruddin Bahar.

Menurut Ahmad Razif, persimpangan bertingkat yang mula dibina pada 2 November 2015 itu juga bakal melicinkan pergerakan ke susur Seberang Takir di sini sekali gus menawarkan laluan alternatif yang selesa untuk ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud di sini.

Tambah beliau, pembinaan persimpangan bertingkat tersebut merupakan persiapan bagi menghadapi kepesatan daerah ini yang dijangka bakal semakin rancak setelah Bandar Baru Kuala Nerus di Gong Badak di sini siap sepenuhnya dalam beberapa tahun lagi.

Wednesday, December 27, 2017

Pantai Batu Burok dihias indah

KUALA TERENGGANU – Kawasan Pantai Batu Burok yang merupakan antara lokasi utama tumpuan pelancong di bandar raya ini diperindahkan lagi menerusi program Hias Bandar oleh Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT).

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesejahteraan Bandar negeri, Datuk Mohd. Jidin Shafie berkata, premis-premis yang terdapat di kawasan itu termasuk Dataran Bangau, medan selera, Kelab Eksklusif dan tandas telah dicat semula dengan warna-warna ceria bagi menarik perhatian pengunjung.

“Aktiviti keceriaan di Pantai Batu Burok ini merupakan kesinambungan daripada program Hias Bandar yang pernah diadakan di bangunan tempat letak kereta Pasar Payang dan rumah kedai Jalan Banggol sebelum ini.

“Ia dijalankan secara gotong-royong melibatkan kakitangan MBKT dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu (JBPT). Cat yang digunakan pula ditaja syarikat pengeluar cat, Juton melibatkan kos kira-kira RM10,000,” katanya selepas melakukan tinjauan di Dataran Bangau, Batu Burok di sini kelmarin.

Turut hadir Datuk Bandar Kuala Terengganu, Mohd. Zulkifli Abu Bakar dan Pengarah JBPT, Azlimin Mat Noor.

Mohd. Jidin berkata, program Hias Bandar tersebut juga sebagai persediaan awal MBKT bagi menyambut kedatangan lebih ramai pelancong yang dijangka berkunjung di bandar raya ini sepanjang tahun hadapan sempena Tahun Melawat Terengganu 2018.

Menurut beliau, pihaknya juga bercadang untuk memperluaskan lagi program tersebut ke beberapa lokasi tarikan pelancong lain di sekitar bandar raya ini pada masa terdekat.

Tuesday, December 26, 2017

Beruang maut dirempuh motosikal

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

DUNGUN – Seekor beruang matahari jantan dewasa yang dianggarkan seberat 100 kilogram (kg) maut dirempuh sebuah motosikal kap­cai selepas haiwan itu tiba-tiba memasuki Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran susur keluar Kuala Dungun di sini kelmarin.

Dalam kejadian pukul 6.50 petang di Kilometer 347.5 LPT2 itu, penunggang motosikal Yamaha Y15ZR, Ahmad Hafizuddin Zulkifli, 29, bernasib baik apabila mangsa hanya ce­dera ringan.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Ahmad Zailani Yaakob berkata, sewaktu kejadian, Ahmad Hafizuddin sedang dalam perjalanan ke Kuala Terengganu dari Kuantan, Pahang.

Menurutnya, setiba di lokasi kejadian, seekor beruang yang dipercayai berasal dari Hutan Simpan Rasau berhampiran lebuh raya tersebut tiba-tiba menyeberang LPT2.

“Pada masa sama, mangsa sedang menunggang motosikal di laluan kiri lebuh raya tersebut.

“Pemuda itu gagal mengelak lalu merempuh beruang terbabit sebelum motosikalnya tercampak ke tepi jalan,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Ahmad Zailani memberitahu, Ahmad Hafizuddin yang cedera ringan pada dagu kemudiannya telah dihantar oleh pengguna lebuh raya ke Hospital Dungun untuk menerima rawatan sebagai pesakit luar.

Katanya, anggota peronda lebuh raya yang tiba di lokasi kejadian tidak lama kemudian mendapati beruang matahari terbabit telah mati akibat ce­dera parah pada leher dan beberapa anggota badan.

“Mereka kemudiannya memaklumkan kejadian itu kepada Perhilitan (Jabatan Perlindu­ngan Haiwan Liar dan Taman Negara) sebelum bangkainya diambil untuk tindakan lanjut,” ujarnya.

Setakat ini, sebanyak 12 haiwan liar mati dilanggar di LPT2 melibatkan lapan ekor tapir, dua ekor beruang, seekor kucing hutan dan seekor harimau.

LPT2 sepanjang 184 kilometer dari Jabor, Kemaman ke Kuala Lumpur dibuka secara rasmi pada 31 Januari 2015.

Monday, December 25, 2017

Polis akan saman remaja tunggang motosikal bermain air banjir

KUALA TERENGGANU – Polis akan mengambil tindakan menya­man terhadap remaja yang menunggang motosikal bermain air banjir sekiranya melakukan kesalahan lalu lintas.

Ketua Polis Daerah Terengganu, Asisten Komisioner Idris Abd. Rafar berkata, segelintir remaja dan kanak-kanak menjadikan banjir seperti pesta dengan mengharungi air sambil menunggang motosikal beramai-ramai.

Menurut beliau, perbuatan itu agak berbahaya kerana mereka berisiko untuk dihanyutkan arus deras dari parit dan tali air bersebelahan.

“Menerusi pemerhatian kami ramai dalam kalangan remaja ini tidak mengendahkan undang-undang lalu lintas, misalnya tidak memakai topi keledar, berlumba selain tidak memiliki lesen memandu.

“Kita tidak teragak-agak mengambil tindakan saman jika berlaku perlanggaran undang-undang,” katanya ketika ditemui Kos­mo! Ahad di sini semalam.

Idris berkata, tindakan undang-undang tersebut tetap diambil walaupun kesalahan itu dilakukan di jalan-jalan kampung.

Menurut beliau, ia bertujuan bagi menjamin keselamatan penduduk selain memastikan perkara tidak diingini berlaku terhadap remaja terbabit.

“Saya juga kesal sikap ibu bapa yang leka dan tidak acuh sehingga membiarkan anak di bawah umur menggunakan motosikal untuk bermain banjir,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Kosmo! Ahad di sekitar bandar raya ini dan Kuala Nerus mendapati, ramai remaja lelaki dan perempuan meredah banjir sambil bergurau-senda dengan rakan masing-masing tanpa menghiraukan keselamatan diri.

Kebanyakan sistem perparitan telah dipenuhi air banjir sehingga menyebabkan ia sama paras de­ngan jalan raya.

Sunday, December 24, 2017

Dua penagih dadah agresif diberkas

BESUT - Dua lelaki dipercayai penagih dadah yang bertindak ganas cuba mencederakan angota polis yang mahu menahannya dengan sebilah pisau berjaya ditahan di Kampung Kerandang dekat sini semalam.

Sebelum kejadian pada pukul 9 pagi itu, sepasukan anggota polis yang sedang mengadakan rondaan terserempak dengan kedua-dua suspek berusia 33 dan 49 tahun dalam keadaan mencurigakan di pekarangan sebuah rumah di lokasi tersebut.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd. Zamri Mohd. Rowi berkata, salah seorang anggota polis berkenaan kemudiannya telah memperkenalkan diri dan meminta dokumen pengenalan kedua-dua lelaki itu untuk diperiksa.

"Mereka bukan sahaja enggan malah bertindak untuk mencederakan anggota polis berkenaan sehingga berlaku pergelutan. Salah seorang suspek juga telah mengeluarkan senjata iaitu sebilah pisau dari pinggang seluarnya.

"Begitupun kedua-dua suspek itu telah berjaya ditewaskan tidak lama kemudian. Pemeriksaan pada sebuah kotak rokok milik salah seorang daripada mereka kemudiannya telah menemui satu straw mengandungi serbuk putih dipercayai dadah jenis heroin," katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.

Saturday, December 23, 2017

Persimpangan bertingkat Bukit Tumbuh mula dibuka

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA NERUS - Masalah kesesakan lalulintas di Jambatan Sultan Mahmud di sini terutama pada waktu puncak pada masa ini bakal dikurangkan menerusi pembukaan persimpangan bertingkat Bukit Tumbuh di sini mulai hari ini.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman berkata,  persimpangan bertingkat sejauh 350 meter itu bertujuan untuk menyuraikan trafik di Jambatan Sultan Mahmud yang merupakan laluan utama menghubungkan daerah ini dan Kuala Terengganu.

"Kajian mendapati kesesakan trafik di Jambatan Sultan Mahmud sebelum ini disebabkan kapasiti kenderaan yang tinggi untuk ke Seberang Takir melalui Bukit Tumbuh di sini terutama pada waktu puncak dan perayaan.

"Persimpangan bertingkat yang menelan belanja RM25 juta itu diharap mampu menyediakan sistem penyuraian trafik lebih efektif bagi kedua-dua hala bagi Kuala Terengganu dan Kuala Nerus," katanya selepas melepaskan trafik di persimpangan bertingkat Bukit Tumbuh di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Tenaga dan Teknologi Hijau Terengganu, Rosli Othman
dan Pengarah Jabatan Kerja Raya Terengganu, Che Kamaruddin Bahar. - K! ONLINE


Friday, December 22, 2017

Pulau Redang bakal terima mesin pelupusan sampah mesra alam

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Masalah pengurusan sampah dan sisa pepejal lebih 2,000 penduduk Pulau Redang dekat sini bakal selesai tidak lama lagi menerusi penggunaan mesin pelupusan mesra alam yang dijangka beroperasi sepenuhnya pada tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesejahteraan Bandar Terengganu, Datuk Mohd. Jidin Shafie berkata, mesin pelupusan sampah terbabit berfungsi membakar sampah tanpa mengeluarkan asap.

Beliau berkata, mesin yang menggunakan teknologi China itu juga mampu menghasilkan baja dan gas metana masing-masing bagi kegunaan pertanian dan pembekalan tenaga elektrik daripada sisa pembakaran sampah berkenaan.

"Mesin pelupusan sampah mesra alam ini bukan menjana pendapatan kerajaan negeri menerusi penghasilan baja dan gas metana malah menjimatkan ruang dan memanjangkan jangka hayat pusat pelupusan sampah.


"Sebelum ini, sampah dari Pulau Redang perlu di hantar ke tanah besar (Kuala Terengganu) untuk dilupuskan dengan menaiki pengangkutan air iaitu bot," katanya selepas merasmikan program Hias Bandar anjuran Majlis Bandaraya Kuala Terengganu di Dataran Bangau, Batu Burok di sini hari ini. - K! ONLINE 

Thursday, December 21, 2017

Pantai Batu Burok berwajah baharu

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Kawasan Pantai Batu Burok yang merupakan antara lokasi utama tumpuan pelancong di bandar raya ini diperindahkan lagi menerusi program Hias Bandar oleh Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT).

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesejahteraan Bandar negeri, Datuk Mohd. Jidin Shafie berkata, premis-premis yang terdapat di kawasan itu termasuk Dataran Bangau, medan selera, Kelab Eksklusif dan tandas telah dicat semula dengan warna-warna ceria bagi menarik perhatian pengunjung.

"Aktiviti keceriaan di Pantai Batu Burok ini merupakan kesinambungan daripada program Hias Bandar yang pernah diadakan di bangunan tempat letak kereta Pasar Payang dan rumah kedai Jalan Banggol sebelum ini.

"Ia dijalankan secara gotong-royong melibatkan kakitangan MBKT dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu (JBPT). Cat yang digunakan pula ditaja syarikat pengeluar cat, Juton melibatkan kos kira-kira RM10,000," katanya selepas melakukan tinjauan di Dataran Bangau, Batu Burok di sini hari ini.

Turut hadir Datuk Bandar Kuala Terengganu, Mohd. Zulkifli Abu Bakar dan Pengarah JBPT, Azlimin Mat Noor. - K! ONLINE

ISMAT sambut ulang tahun penubuhan ke-25

JUBLI PERAK. Kakitangan Jabatan Pengurusan dan Pembangunan Sumber Ikan Marin (MFRDMD) dan Pusat Pembangunan Perikanan Asia Tenggara (SEAFDEC) merayakan sambutan penubuhannya ke-25 di Taman Perikanan Chendering, Kuala Terengganu baru-baru ini.

Ketua MFRDMD/SEAFDEC, Raja Bidin Raja Hasan berkata, sambutan ulang tahun institut yang memainkan peranan dalam pengurusan sumber perikanan marin untuk rantau Asia Tenggara tersebut telah dirasmikan oleh Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Munir Mohd. Nawi.

"Sempena ulang tahun ke-25 MFRDMD/SEAFDEC, pusat ini juga telah dijenamakan semula sebagai Institut Marin Asia Terengganu (ISMAT) bagi mengukuhkan lagi institut ini," katanya.

Wednesday, December 20, 2017

PIBK bawa perubahan drastik kepada Sesiga

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

PELAKSANAAN Penglibatan Ibu Bapa dan Komuniti (PIBK) sejak setahun lalu telah membawa perubahan 360 darjah kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Gajah (Sesiga), Kemaman Terengganu.

Sekolah yang terletak pendalaman tersebut dan hanya mempunyai 202 murid dan 25 guru kini menjadi sebutan ramai sehingga di peringkat nasional.

Proses kemenjadian meliputi prestasi akademik, ko-korikulum murid menunjukkan peningkatan mendadak sejak PIBK dilaksanakan pengurusan sekolah diketuai Guru Besar Sesiga, Zabidah Sulaiman pada Mei 2016.

PIBK yang mengabungkan penglibatan secara aktif ibu bapa dan komuniti setempat tersebut memberi tonik tambahan kepada tenaga pengajar SK Pasir Gajah untuk berbakti kepada anak watan.

Zabidah berkata, beliau berazam untuk melaksanakan PIBK yang merupakan salah agenda Anjakan Kesembilan, Pelan Pembangunan Pendidikan Negara 2013-2025 sebaik diamanahkan untuk menjadi Guru Besar Sesiga mulai Januari tahun lalu.

Beliau yang pernah mengajar di Sesiga pada lewat tahun 1980-an berazam untuk meningkatkan prestasi sekolah dan  mengubah sigma Sesiga sebagai sekolah terpinggir kerana terletak jauh di pendalaman dan sering dilanda banjir setiap kali musim tengkujuh.

"Muridnya yang kebanyakannya terdiri daripada keluarga kurang berkemampuan juga sering dianggap tidak berkeyakinan diri dan lemah dalam segi akademik mahu pun ko-kurikulum.

"Saya merangka perancangan untuk mengembleng guru, ibu bapa, Jawatankusa Kemajuan dan Keselamatan Kampung dan komuniti setempat untuk merangsang potensi murid di samping membaiki fasiliti dan kemudahan sekolah ke arah menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih baik," katanya ketika ditemui Kosmo! di SK Pasir Gajah, Kemaman, Terengganu baru-baru ini.

Zabidah berkata, pelaksanaan awal PIBK di Sesiga bermula dengan beliau dan pengurusan sekolah lain dengan berdamping dengan ibu bapa murid yang kebanyakan terdiri daripada penoreh getah dan bekerja kampung bagi meraih keyakinan.

Menurut beliau, mereka mengambil pendekatan menziarahi rumah keluarga murid yang terletak di sekitar Kampung Pasir Gajah setiap kali berlaku kematian dan kenduri-kendara selain melawat ahli keluarga mereka yang sakit di Hospital Kemaman.

"Kami memupuk kemesraan dengan ibu bapa murid. Ia memberi impak positif kepada kehadiran mereka kepada tahap hampir 100 peratus dalam program-program anjuran sekolah kemudiannya.

"Mereka juga tidak lokek menghulurkan tenaga dan buah fikiran bersama bekas murid dalam persatuan alumni demi kemajuan sekolah," katanya.

Zabidah berkata, sokongan tidak berbelah bahagi Pejabat Pendidikan Daerah Kemaman terhadap pelaksanaan PIBK di Sesiga juga telah membuka mata pihak korporat untuk terlibat bersama-sama dalam program pembangunan sekolah.

Beliau berkata, antara pihak korporat dan agensi kerajaan yang aktif menyumbang ialah sebuah syarikat pembinaan, JSF Maju Enterprise, Institu Tadbiran Awam Negara Wilayah Timur, Bank Rakyat dan Bank Islam.

"Antara program yang dianjurkan menerusi PIBK ialah gotong-royong, menaiktaraf bangunan sekolah, kelas malam, solat sunat, ceramah motivasi, program pemuliharaan tuntung dan sesi bersama tokoh.

"Kesannya keceriaan dan kemudahan sekolah berjaya dipulihkan, prestasi akademik meningkat dengan menerima pengiktirafan antara sekolah terbaik bagi kategori minimum D peringkat daerah dan meraih keputusan memberangsangkan bagi acara sukan terutama catur," katanya.

Zabidah memberitahu, kemuncak kejayaan Sesiga ialah mencapai penarafan lima bintang dalam pelaksanaan PIBG di peringkat kebangsaan pada tahun lalu.

Ujar beliau, Sesiga juga telah terpilih mewakili Terengganu bagi kategori Amalan Baik dalam Pelaksanaan PIBK di peringkat kebangsaan yang akan diadakan pada 4 hingga 6 Disember depan di
Institut Aminuddin Baki Bandar Enstek, Labu, Negeri Sembilan.

"Sesiga juga mula meraih kepercayaan untuk berkongsi pengalaman melaksanakan PIBK dalam segi penganjuran bengkel dan gerai pameran anjuran Kementerian Pelajaran," katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan JSF Maju Enterprise, Jumali Mamat berkata, beliau tertarik untuk terlibat secara aktif dalam pelaksanaan PIBK di Sesiga setelah melihat kegigihan dan penyatuan Zabidah dan guru-gurunya mendidik murid.

"Setiap program yang Sesiga anjurkan dilakukan secara bersungguh-sungguh dan menunjukkan impak positif. Saya secara peribadi berpuas hati dengan perkembangan positif murid yang terdiri daripada anak kampung dan berharap mereka berjaya pada masa depan.

"Saya percaya sumbangan kepada pembangunan sekolah adalah sumbangan dan pelaburan terbaik untuk membela masa depan masyarakat," katanya.

Pegawai Pendidikan Daerah Kemaman, Idris Bidin pula berkata, pendekatan yang ditunjukkan Sesiga harus dicontohi pengurusan sekolah lain di seluruh negara.

"Komitmen dan kepimpinan Sesiga menyatukan ibu bapa dan komuniti bagi melaksanakan PIBK yang terbukti memberi impak positif kepada murid dan sekolah harus diteladani.

"Jika sekolah pendalaman seperti Sesiga berjaya membuktikan keberkesanan, sekolah-sekolah lain terutama di bandar besar patut mengambil manfaat daripada agenda PIBK ini," katanya.


Tuesday, December 19, 2017

UniSZA gagalkan cubaan sebar ajaran sesat Kristian terhadap pelajar

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA NERUS - Cubaan sebuah gerakan World Mission Society Church of God dipercayai ajaran sesat yang menyasarkan pelajar bukan beragama Islam Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini berjaya digagalkan baru-baru ini.

Gerakan yang berselindung disebalik nama Kristian dikenali Mother of God itu memasuki kampus UniSZA bagi mempengaruhi pelajar-pelajar bukan beragama Islam universiti tersebut yang berjumlah 568 orang pada pertengahan bulan lalu.

Naib Canselor UniSZA, Prof. Datuk Dr. Ahmad Zubaidi A. Latif berkata, siasatan mendapati dua wakil Mother of God yang berusia awal 20-an telah menemui beberapa pelajar tahun akhir di perpustakaan dan medan selera kampus tersebut pada 13 November lalu.

"Mereka cuba memperdaya pelajar-pelajar tahun akhir terbabit yang kesemuanya bukan beragama Islam kononnya mahu menemubual mereka bagi projek kajian tahun akhir sebuah institusi pengajian tinggi swasta tempatan.

"Bagaimanapun, responden itu sebenarnya cuba mempengaruhi pelajar-pelajar terbabit agar mengikut ajaran mereka yang didakwa kononnya mampu menjamin mereka ke syurga,"  katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.


Difahamkan, dalang gerakan tersebut cuba mempengaruhi pelajar terbabit untuk melakukan upacara memakan daging dan minum darah sebagai syarat untuk menganut ajaran Mother of God sekali gus dijamin memasuki syurga. - K! ONLINE

Monday, December 18, 2017

Ibu tunggal curi perabot rumah sewa dijel, denda RM5,000

KUALA TERENGGANU - Gara-gara mencuri barangan dan perabot di sebuah rumah sewa pada dua bulan lalu, seorang ibu tunggal dijatuhi hukuman penjara 10 bulan dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini semalam.

Majistret Abdul Hayyi Salim memerintahkan demikian selepas Aizam Abd. Aziz, 44, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan.
Beliau juga mengarahkan agar tertuduh menjalani hukuman penjara tambahan selama lima bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Aizam membayar denda itu.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh, Aizam didakwa menyalahguna harta milik Sharifah Salwa Syed Shafie, 43, secara curang di sebuah rumah sewa di Taman Semarak, Bukit Tunggal, Kuala Nerus pada pukul 11 pagi, 30 September lalu.

Dia didakwa melarikan harta milik mangsa iaitu lima unit penyaman udara, dua katil dan tilam, seunit mesin basuh, seunit peti sejuk, satu set meja makan dan seunit kabinet televisyen.

Dia juga didakwa melarikan sebuah televisyen, sebuah sofa, dua set meja, sebuah seterika bersama papan penggosok, seunit tong gas, 13 unit bantal dan pelbagai peralatan dapur dari rumah yang disewanya.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara dari enam bulan hingga lima tahun dan boleh dikenakan denda mengikut Seskyen 403 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan Inspektor Miky Dunstan Muda manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Kosmo! 4 Oktober lalu melaporkan seorang wanita yang disyaki terlibat dalam kegiatan mencuri perabot dan kelengkapan rumah sewa berjaya ditahan polis di Taman Perdana, Kubang Parit di sini.

Siasatan awal mendapati modus operandi suspek ialah menyewa rumah yang dilengkapi perabot sebelum menghilangkan diri bersama kesemua barangan tersebut beberapa bulan kemudian.

Sunday, December 17, 2017

Tiada lagi majlis khas raikan pelajar cemerlang peperiksaan

KUALA LUMPUR - Penyerahan slip keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2017 menyaksikan kelainan tahun ini apabila guru-guru hanya menyerahkan di dalam kelas dan bukannya pada majlis khas yang sering diadakan sebelum ini.

Tinjauan Kosmo! di Sekolah Kebangsaan (SK) Setiawangsa di sini semalam mendapati seramai 347 calon UPSR yang ditemani ibu bapa masing-masing mengambil slip keputusan UPSR di dalam 12 kelas pada pukul 11 pagi dalam suasana sederhana.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru sekolah itu, Shahpandi Abd. Manan berkata, keputusan itu selaras dengan arahan Kementerian Pendidikan supaya tiada lagi majlis khas diadakan bagi meraikan pelajar cemerlang bagi menghormati perasaan calon-calon UPSR yang kurang berjaya.

"Jadi buat pertama kalinya, kami tidak melakukan di dewan sekolah seperti pernah diadakan sebelum ini, ia adalah bagi meraikan suasana yang lebih harmoni," katanya di SK Setiawangsa di sini semalam.

Di Putrajaya, SK Putrajaya Presint 14 juga tidak mengumumkan secara terbuka calon UPSR 2017 yang memperoleh keputusan cemerlang.

Kesemua calon hanya menerima slip keputusan masing-masing di dalam kelas.

Di Kuala Terengganu, murid tahun enam SK Sultan Sulaiman 1 meraikan keputuan UPSR dalam suasana sederhana.

Seramai 24 calon UPSR sekolah itu termasuk pasangan kembar, Muhammad Farman Hakimi Mohd. Nawawi dan Muhammad Farman Hakim memperoleh semua A dalam enam mata pelajaran.

Ibu pasangan kembar itu, Suzila Ismail, 40, berkata, dia menyambut baik pendekatan baharu Kementerian Pendidikan yang tidak lagi memberi penekanan terhadap prestasi akademik semata-mata.

"UPSR hanyalah permulaan dan banyak lagi pembelajaran yang perlu dilalui mereka selepas ini," katanya.

Saturday, December 16, 2017

Nasib ibu alami penyakit buah pinggang dibela

BAGAI jatuh ditimpa tangga.

Itulah yang dirasai seorang suri rumah, Faidah A. Rashid, 59, apabila disahkan menghidap penyakit buah pinggang oleh pakar perubatan pada dua tahun lalu.

Ia kerana tidak lama sebelum itu, suaminya yang merupakan seorang nelayan telah terkena serangan strok yang menyebabkan mereka sekeluarga hilang mata pencarian.

Semenjak itu, kehidupan mereka sekeluarga termasuk tiga anak berusia dalam lingkungan 11 hingga 23 tahun yang masih bersekolah dan menuntut di institusi pengajian tinggi terpaksa ditanggung anak-anak lebih tua.

Faidah berkata, salah seorang anaknya itu sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang syariah di sebuah institusi pengajian tinggi di Mesir.

Menurut beliau, beliau bersyukur anak-anaknya lebih tua terutama empat yang sudah berkahwin banyak membantu biarpun mereka bukannya dalam kalangan golongan berkemampuan dan selain mempunyai komitmen tersendiri.

"Tambah menguji kami, penyakit buah pinggang saya semakin melarat sehingga memerlukan rawatan hemodialisis mulai bulan Mac 2016.

"Saya dimaklumkan doktor perlu menjalani rawatan hemodialisis tersebut sebanyak tiga kali seminggu," katanya ketika ditemui di sebuah pusat dialisis di Kuala Terengganu baru-baru ini.

Faidah berkata, kos bagi menjalani rawatan hemodialisis dalam tempoh seminggu dianggar hampir RM400 dan ia perlu dibiayai sendiri.

Menurut beliau, mereka sekeluarga sudah semestinya tidak mampu untuk membiayai kos rawatan hemodialisis berdasarkan kemampuan kewangan mereka.

Biarpun begitu, dia memberitahu mereka sekeluarga tidak pernah dan selalu berdoa kepada Allah agar jalan bagi penyelesaian bagi kesulitan ditemui,

"Kami cuba memohon bantuan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).

"Alhamdulillah, tidak berapa lama selepas borang dihantar, kami menerima khabar gembira permohonan kami diluluskan.

Faidah berkata, Maidam bersetuju untuk menanggung kos untuk saya menjalani rawatan hemodialisis di sebuah pusat dialisis swasta selepas mendapati saya salah seorang daripada asnaf yang layak menerima bantuan.

Dia memberitahu, Maidam juga bermurah hati membiayai kos pengangkutan untuk ke pusat dialisis swasta terbabit dari rumahnya di Kampung Duyong Besar, Kuala Terengganu.

"Biasanya saya akan menaiki teksi untuk ke pusat dialisis berkenaan dari rumah yang terletak kira-kira lima kilometer.

Menurut beliau, dia biasanya akan menghabiskan masa sekurang-kurangnya empat jam bagi setiap sessi rawatan hemodialisis tersebut.

"Saya bersyukur dan berterima kasih kepada Maidam atas bantuan ini yang amat bererti buat saya," katanya.

Friday, December 15, 2017

UMT raih tiga anugerah inovasi di Korea Selatan

CEMERLANG. Universiti Malaysia Terengganu (UMT) meraih tiga anugerah pada Pesta Inovasi Antarabangsa Seoul yang diadakan di Pusat Pameran Korea Selatan, Seoul, Korea Selatan baru-baru ini.

Naib Canselor UMT, Prof. Dr. Nor Aieni Mokhtar berkata, produk inovasi 'Rapid Biofloc' yang merupakan teknologi hijau bagi pengurusan udang dalam industri akuakultur oleh Dr. Azman Kasan yang merupakan penyelidik Institut Akuakultur Tropika UMT memenangi pingat emas.

“Produk 'Marine Nanoparticle Reducing Agent' memenangi pingat gangsa manakala produk 'Stingless Bee Pollination pula merasih anugerah khas,” katanya.

Mangsa banjir berkurangan

RANTAU PANJANG – Walaupun keadaan banjir di Kelantan masih belum berubah, namun jumlah mang­sa banjir berkurangan kepada 10,985 orang semalam berban­ding 12,493 sebelumnya.

Kesemua mangsa ditempatkan di 52 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di enam jajahan iaitu Kota Bharu, Pasir Mas, Tumpat, Tanah Merah, Pasir Puteh dan Gua Musang.

Menurut portal rasmi bencana negeri, sehingga pukul 6 petang, Pasir Mas masih merekodkan jumlah tertinggi dengan 6,987 mangsa daripada 2,919 keluarga yang ditempatkan di 31 PPS diikuti Tumpat dengan 3,611 (1,281 keluarga) di lapan PPS.

Selain itu, 133 mangsa (34 keluarga) di dua PPS di Kota Bharu, 121 mangsa (30 keluarga) di tiga PPS di Pasir Puteh, 77 mangsa (18 keluarga) di enam PPS di Gua Musang dan 56 mangsa (15 keluarga) di dua PPS di Tanah Merah.

Sehingga petang semalam, keadaan cuaca di negeri ini mendung dan kadangkala hujan.

Sungai Golok mencatat aras air melebihi paras bahaya iaitu 10.32 meter (m) di Rantau Panjang berbanding paras bahaya 9m.

Sementara itu, kerajaan Pusat menyediakan bantuan makanan tambahan kepada kesemua 5,422 keluarga yang terjejas akibat banjir yang melanda negeri ini sejak Ahad lalu termasuk mangsa yang tidak berpindah ke PPS.
Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, bantuan tersebut disalurkan di seluruh PPS dan para petugas juga akan mengunjungi ke setiap rumah penduduk yang terlibat bagi mengagihkan barangan keperluan itu.

“Bantuan makanan yang disediakan di dalam bakul itu merangkumi beras, gula, gandum dan minuman. Apa yang dilakukan ini selaras dengan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abd. Razak bagi membantu mangsa banjir di negeri ini.

“Bantuan yang diberikan ini adalah tambahan kepada bantuan sedia ada yang disediakan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan agensi-agensi kerajaan sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran agihan makanan kepada mangsa banjir di PPS Sekolah Kebangsaan Gual Tinggi di sini semalam.

Di Terengganu, keadaan banjir tidak berubah dengan 921 mangsa ditempatkan di 13 pusat pemindahan di seluruh negeri semalam.
Pengarah Pertahanan Awam Malaysia Terengganu, Che Adam A. Rahman berkata, ia peningkatan berbanding 600 penduduk yang dipindahkan kelmarin.

Beliau berkata, lima daerah terlibat dengan banjir iaitu Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Marang dan Dungun.

“Marang mencatatkan mang­sa banjir teramai dengan 473 orang diikuti  Kuala Nerus (261), Kuala Terengganu (77), Setiu (65) dan Dungun (45),” ujarnya.

Di Perak, jumlah mangsa banjir berkurangan kepada 568 orang daripada 134 keluarga berbanding 858 semalam.

Ketika ini hanya tujuh PPS masih dibuka iaitu enam di Manjung dan satu di Mualim.

Thursday, December 14, 2017

Gua Musang dilanda banjir

KOTA BHARU – Gua Musang menjadi jajahan terbaharu dilanda banjir dengan merekodkan keseluruhan mangsa di negeri ini seramai 13,162 orang melibatkan 5,227 keluarga dipindahkan ke 63 pusat pemindahan sementara (PPS).

Kawasan di Gua Musang yang terjejas ialah di Kampung Jeram Tekoh, Kampung Limau Kasturi, Bandar Lama, Kampung Kerin­ting, Kampung Lembaga, Kampung Kundur, Kampung Tiong, Tanah Putih, Kampung Kolam Mas, Batu Papan, Sungai Chindai, Kampung Batu 1 dan Kampung Batu 2.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Mohd. Taufik Maidin berkata, seramai 117 mang­sa terdiri daripada 27 keluarga telah dipindahkan ke tiga PPS di Sekolah Menengah Tengku Indra Petra 1, Sekolah Kebangsaan (SK) Kasturi 2 dan SK Limau Kasturi 2.

Menurut portal rasmi bencana negeri, sehingga pukul 6 petang, lima lagi jajahan iaitu Pasir Mas mencatatkan mangsa tertinggi dengan 9,325, diikuti Tumpat (2,589 orang); Pasir Puteh (828); Kota Bharu (185) dan Tanah Merah (118).

Sungai Golok di Rantau Panjang mencatat aras air melebihi paras bahaya iaitu 10.28 meter berban­ding paras bahaya 9 meter.
Sungai Galas di Dabong di sini pula mencatatkan paras amaran iaitu 35.31 meter dengan paras bahayanya ialah 38 meter.
Sementara itu di Terengganu, sebanyak empat daerah iaitu Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Marang dan Dungun kembali dilanda banjir semalam berikutan hujan lebat selama lebih 24 jam.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Terengganu, Che Adam A. Rahman berkata, sebanyak tujuh pusat pemindahan yang ditutup kelmarin kembali dibuka semalam iaitu empat di Marang dan ma­sing-masing satu di Dungun, Kuala Terengganu dan Kuala Nerus.

“Seramai 284 mangsa daripada 83 keluarga telah ditempatkan di lapan pusat pemindahan di dae­rah-daerah terbabit,” katanya.

Dalam pada itu, di Padang Besar, Perlis, mangsa banjir di ne­geri tersebut terus merekodkan peningkatan apabila 25 keluarga merangkumi 93 mangsa mendiami dua pusat pemindahan banjir di sini setakat pukul 4 petang semalam.

Menurut Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Perlis, jumlah mangsa yang menetap di MRSM Beseri meningkat empat mangsa berbanding 16 sebelum ini menjadikan jumlah keseluruhan 20 mangsa.

Di Taiping, Perak pula, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Perak dalam kenyataannya berkata, sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Tai­ping iaitu di Kampung Jawa Sungai Nyior, Trong yang me­nempatkan 21 mangsa.

Kata kenyataan itu, setakat pukul 1 tengah hari semalam, jumlah keseluruhan mangsa banjir di Perak adalah seramai 952 orang terdiri daripada 223 keluarga.

Daerah Manjung mencatat jumlah teramai iaitu 898 dengan 438 daripadanya ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Su­ngai Batu, Pantai Remis; SK Datok Ishak  (129); SK Nakhoda Segari (33); SK Muhammad Saman (22), manakala masing-masing 92 orang di Sekolah Agama Tebuk Yan, dewan orang ramai Batu 4 Segari dan dewan orang ramai Batu 8, Segari.

Dalam pada itu, banjir di daerah Manjung menyebabkan laluan hampir 17 kilometer di Batu 3 hingga Batu 10, Segari ditutup pada semua jenis kenderaan sejak kelmarin sehingga 21 Disember ini ekoran jalan itu mengalami kerosakan teruk akibat bencana itu.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Muhammad Hanif Othman berkata, susulan penutupan jalan tersebut, orang ramai boleh menggunakan laluan alternatif antaranya Jalan Simpang Batu Hampar ke Beruas dan Ayer Tawar atau sebaliknya.

Wednesday, December 13, 2017

Dua penagih dadah serang polis dengan pisau ditangkap

BESUT – Dua lelaki dipercayai penagih dadah yang bertindak ganas cuba mencederakan angota polis dengan sebilah pisau berjaya ditahan di Kampung Kerandang dekat sini kelmarin.

Sebelum kejadian pada pukul 9 pagi itu, kelibat kedua-dua suspek berusia 33 dan 49 tahun itu berada dalam keadaan mencurigakan dan dlihat oleh sepasukan anggota polis yang sedang mengadakan rondaan.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd. Zamri Mohd. Rowi (gambar) berkata, salah seorang anggota polis berkenaan kemudiannya telah memperkenalkan diri dan meminta dokumen pengenalan daripada kedua-dua lelaki itu untuk diperiksa.

“Mereka bukan sahaja enggan memberi kerjasama malah bertindak mahu mencederakan anggota polis dengan salah seorang suspek bertindak meng­hunus sebilah pisau dipercayai bagi menikam anggota kita sehingga mencetuskan pergelutan.

“Bagaimanapun, kedua-dua suspek berjaya ditewaskan dan pemeriksaan pada sebuah kotak rokok milik salah seorang daripada mereka menemui satu penyedut minuman mengan­dungi serbuk putih dipercayai dadah jenis heroin,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Menurut Mohd. Zamri, ujian air kencing mendapati mereka positif dadah jenis ganja.

“Siasatan lanjut mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod kesalahan lampau,” ujarnya.

Tuesday, December 12, 2017

Penjawat awam Terengganu terima bonus RM1,500

KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri Terengganu mengumumkan pemberian bonus sebanyak RM1,500 kepada 12,756 penjawat awam negeri melibatkan peruntukan sebanyak RM19.13 juta.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, pemberian bonus itu merangkumi semua kakitangan negeri termasuk berstatus sementara tanpa perjawatan, kontrak dan ad hoc.

“Sebanyak RM1,000 akan dibayar pada bulan Januari depan manakala bakinya dilunaskan menjelang perayaan Hari Raya Aidilfitri,” katanya ketika membentangkan Bajet 2018 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu di sini semalam.

Terdahulu, beliau membentangkan Bajet 2018 berjumlah RM1.996 bilion dengan defisit sebanyak RM181 juta berbanding anggaran kutipan hasil sebanyak RM1.815 bilion.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Razif berkata, kerajaan negeri juga telah bersetuju untuk membuat pembayaran khas dengan jumlah dan cara pembayaran sama iaitu RM1,500 kepada 1,326 imam dan bilal masjid serta 1,500 Guru Pintar al-Quran di seluruh Terengganu.

Beliau berkata, pembayaran khas secara sekali sahaja itu melibatkan peruntukan masing-masing RM1.99 juta dan RM2.55 juta itu sebagai tanda penghargaan kerajaan negeri.

Bekalan air percuma tahun depan

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seramai 1.22 juta penduduk Terengganu bakal menikmati bekalan air percuma sehingga 20 meter padu sebulan mulai awal tahun depan.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, pemberian bekalan air percuma itu hanya melibatkan pengguna domestik di negeri ini.

“Ia bakal memberi manfaat sebanyak 100,000 buah rumah di seluruh Terengganu dan melibatkan peruntukan kira-kira RM6.3 juta setahun.

“Kerajaan negeri komited untuk menjaga kebajikan rakyat khasnya yang melibatkan bekalan air bersih kepada rakyat,” katanya ketika membentangkan Bajet 2018 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu ke-13 di sini semalam.

Terdahulu, beliau membentangkan Bajet 2018 berjumlah RM1.996 bilion dengan defisit sebanyak RM181 juta berbanding anggaran kutipan hasil sebanyak RM1.815 bilion.

Ahmad Razif berkata, pengumuman rebat itu membuktikan keprihatinan kerajaan walaupun tarif air Terengganu merupakan kedua te­rendah di negara ini iaitu 42 sen bagi setiap satu meter padu bagi penggunaan 20 meter padu terawal untuk kategori pengguna domestik.

Menurut beliau, rasional di sebalik pemberian 20 meter padu bekalan air bersih percuma itu ialah untuk menggalakkan rakyat Terengganu ber­jimat-cermat dan berhemah dalam penggunaan air bersih.

“Golongan B40 dan M40 (isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana) akan terdorong untuk mengehadkan penggunaan bekalan air bersih di rumah masing-masing sehingga 20 meter padu sebulan sahaja bagi terus menikmatinya secara percuma bagi mengurangkan kos sara hidup mereka,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Razif berkata, kerajaan negeri juga akan memperuntukkan RM47.88 juta untuk pembangunan bekalan air dan program pengurangan Air Tidak Berhasil (NRW) di seluruh Terengganu sepanjang tahun depan.

Hasrat Norman tidak kesampaian

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

DUNGUN – Hasrat Norman yang merupakan vokalis kumpulan rock 90-an,  Panji untuk membuat kemunculan semula menerusi sebuah program realiti televisyen tidak kesampaian apabila dia meninggal dunia kelmarin.
Norman, 55, atau nama sebenarnya, Mohd. Nor Hussin yang popular dengan lagu Sayap Terluka menghembuskan nafas terakhir selepas muntah darah di rumahnya di Jalan Lembah, Kampung Sungai Buaya di sini pada pukul 7.45 malam.

Pemain bass Panji, Din atau nama sebenarnya Hishamuddin Hassan, 45, berkata, dia dan Norman ditawarkan untuk menyertai program hiburan bercorak realiti yang dijadualkan berlangsung pada masa terdekat oleh sebuah stesen televisyen tempatan pada beberapa bulan lalu.

“Mohd. Nor (Norman) bersemangat untuk membuat kemunculan semula walaupun keadaannya agak lemah dan tidak bermaya selepas diserang penyakit misteri sejak pertengahan tahun ini.

“Begitupun, saya berkira-kira untuk menarik diri (menyertai program realiti itu) selepas melihat keadaannya (Norman) semakin teruk sewaktu menziarahinya tiga minggu lalu. Tahu-tahu sahaja dia meninggal dunia malam tadi (kelmarin),” ceritanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Syed Yahya di sini semalam.

Biarpun dalam hujan renyai, seramai 250 orang termasuk empat anaknya iaitu Mohd. Faris Haikal, 15; Mohd. Fikri Farhan, 14; Mohd. Farith Firzan, 13 dan Nur Lisa Alani Huzma, 11, hadir menyaksikan upacara pengebumian Norman yang selesai pada pukul 12 tengah hari.
Din yang kini berkhidmat di Pusat Kesenian dan Warisan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) berkata, sewaktu pertemuan terakhirnya dengan Allahyarham Norman itu, beliau sempat menyerahkan sumbangan RM2,000 yang dikutip dari konsert amal sempena Pesta Konvokesyen UniSZA kesembilan baru-baru ini.

Menurutnya, Panji yang turut popular dengan lagu Semilir dan Kasih Tak Pasti pernah tercalon dalam senarai akhir anugerah Artis Baharu Terbaik (Berkumpulan) dalam Anugerah Industri Muzik pertama setelah muncul dengan album debut, Senang pada tahun 1993.

Sementara itu, adik Norman, Mohd. Shafie, 54, berkata, abangnya menghembuskan nafas terakhir di pangkuan dirinya dan anak sulung, Mohd. Faris Haikal setelah tiba-tiba mengadu sakit dada.

“Sewaktu dadanya diurut oleh Mohd. Faris Haikal, dia tiba-tiba muntah darah sebelum tidak sedarkan diri. Saya cuba mengajarnya dua kalimah syahadah, cuma mulutnya dilihat kumat-kamit seketika,” katanya.

Monday, December 11, 2017

Penjawat awam Terengganu terima bonus RM1,500

KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri Terengganu mengumumkan pemberian bonus RM1,500 kepada 12,756 penjawat awam negeri.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, pemberian bonus itu merangkumi semua kakitangan negeri termasuk berstatus sementara tanpa perjawatan, kontrak dan ad hoc.

"Sebanyak RM1,000 akan dibayar pada bulan Januari depan manakala bakinya dilunaskan menjelang perayaan Hari Raya Aidilfitri.

"Pembayaran bonus ini melibatkan peruntukan sebanyak RM19.13 juta," katanya ketika membentangkan Bajet 2018 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu di sini hari ini.

Terdahulu, beliau membentangkan Bajet 2018 berjumlah RM1.996 bilion dengan defisit sebanyak RM181 juta berbanding anggaran kutipan hasil sebanyak RM1.815 bilion. - K! ONLINE

Rakyat Terengganu nikmati 20 meter padu air percuma mulai tahun depan

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Seramai 1.22 juta penduduk di negeri ini bakal menikmati bekalan air percuma sehingga 20 meter padu sebulan mulai awal tahun depan.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, pemberian bekalan air percuma itu hanya melibatkan pengguna domestik di negeri ini.

"Ia bakal memberi manfaat sebanyak 100,000 buah rumah di seluruh Terengganu melibatkan peruntukan kira-kira RM6.3 juta setahun.

"Kerajaan negeri komited untuk menjaga kebajikan rakyat khasnya yang melibatkan bekalan air bersih kepada rakyat," katanya ketika membentangkan Bajet 2018 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu di sini hari ini.

Terdahulu, beliau membentangkan Bajet 2018 berjumlah RM1.996 bilion dengan defisit sebanyak RM181 juta berbanding anggaran kutipan hasil sebanyak RM1.815 bilion. - K! ONLINE

Banjir merebak ke Pahang

Oleh ZAID MOHD. NOOR, FIRDAUS HASSAN, MOHD. AZLI ADLAN dan GHAZALI ALIAS

KUANTAN – Selepas dua negeri di Pantai Timur, Kelantan dan Terengganu, Pahang pula mula dilanda banjir dengan 47 penduduk daripada 14 keluarga di dua buah kampung di Raub menjadi kumpulan mangsa pertama dipindahkan di negeri ini ekoran kediaman mereka dinaiki air malam tadi.

Sebanyak tiga pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka menempatkan 10 keluarga melibatkan 38 mangsa yang terjejas akibat banjir di daerah ini bermula malam kelmarin.

Tiga PPS yang dibuka ialah Surau Rancangan Rumah Murah (RRM) Cheroh 3, Balai Raya Kampung Ulu Sungai, Batu Malim dan Balai Raya Kuala Semantan di sini.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Pahang, Kolonel Zainal Yusoff berkata, banjir berlaku ekoran limpahan air Sungai Lipis dekat Batu Malim di sini.

“APM telah bersiap sedia untuk memindahkan mangsa ke PPS berhampiran sekiranya trend banjir meningkat,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Sementara itu, Zainal memberitahu, terdapat dua jalan di daerah ini yang ditutup ekoran terjejas banjir.

“Kita juga telah menutup jalan sepanjang 300 meter kepada kenderaan ringan di Jalan Sengkela ekoran dinaiki air setinggi 0.4 meter,” katanya.

Dalam pada itu katanya, sebanyak 71 penduduk daripada 21 buah keluarga di Kampung Orang Asli Sungai Kelit di sini terputus hubungan sejak pukul 3 pagi semalam ekoran kejadian tanah runtuh di jalan masuk menuju ke kampung mereka.

Sementara itu, di Terengganu, jumlah mangsa banjir di negeri itu terus meningkat kepada 1,479 orang setakat 8 pagi semalam berbanding 1,148 orang pada pukul 8 malam kelmarin.

Jumlah mangsa banjir paling ramai ialah di Kuala Nerus iaitu 824 orang di empat pusat pemindahan sementara berban­ding 478 orang malam semalam.
Mangsa paling ramai ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Kompleks Gong Badak iaitu 659 orang diikuti SK Tok Jiring (81), SK Bukit Gasing (59) dan SK Bukit Nenas (25).

Pengarah APM Terengganu, Leftenan Kolonel Che Adam A. Rahman berkata, peningkatan mendadak di Kuala Nerus itu disebabkan fenomena air pasang sehingga air tidak dapat mengalir ke laut dan banyak kawasan perumahan dinaiki air.

Sementara itu, di Kota Bharu, Kelantan, banjir yang me­landa negeri itu sejak sembilan hari lalu semakin pulih dengan jumlah mangsa di PPS menurun kepada 9,779 orang melibatkan 4,051 keluarga.

Setakat pukul 6 petang semalam, mangsa banjir di dua jajahan iaitu Tanah Merah dan Gua Musang sudah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing dengan PPS ditutup secara berperingkat.

Pasir Mas khususnya Rantau Panjang menunjukkan penurunan ketara kepada 6,145 orang daripada 2,770 keluarga di 21 PPS.

Selain itu, di Tumpat, jumlah mangsa dilihat tidak berubah dengan 3,573 orang membabitkan 1,266 keluarga di lapan PPS, manakala di Kota Bharu mencatatkan 37 mangsa dan Pasir Puteh (24 orang).

Paras air di Sungai Golok di Rantau Panjang pula masih melebihi tahap bahaya iaitu 10.20 meter, manakala paras air di beberapa lokasi di Sungai Kelantan khususnya Sungai Galas, Sungai Lebir dan Tangga Krai masih berada pada tahap berjaga-jaga.

Dalam tinjauan Kosmo! di beberapa kawasan mendapati, kebanyakan mangsa mengambil kesempatan cuaca baik sepanjang hari semalam untuk membersihkan rumah masing-masing.

Sunday, December 10, 2017

Vokalis kumpulan rock Panji meninggal dunia

DUNGUN - Vokalis kumpulan rock 90-an, Panji meninggal dunia setelah muntah darah di rumahnya di Jalan Lembah, Kampung Sungai Buaya di sini hari ini.

Norman, 55, atau nama sebenarnya Mohd. Nor Hussin yang popular dengan lagu Semilir dan Sayap Terluka bersama kumpulan Panji menghembuskan nafas terakhir pada pukul 7.45 malam.

Adiknya, Mohd. Shafie, 54, berkata, allahyarham abangnya menderita penyakit misteri yang menyebabkan tubuhnya tiba-tiba tidak bermaya dan kurus mendadak sejak pertengahan tahun lalu.

"Sewaktu kejadian, abang saya yang terbaring di katil tiba-tiba mengadu sakit dada dan meminta anak sulungnya, Haris Haikal, 16, mengurutnya.

"Tidak lama kemudian, dia tiba-tiba muntah darah sebelum tidak sedarkan diri. Saya cuba mengajarnya dua kalimah syahadah, cuma mulutnya dilihat kumat-kamit seketika," katanya kepada kepada Kosmo! di sini hari ini.

Mohd. Shafie berkata, dia yang mendapati tubuh Norman sudah tidak bergerak telah bertindak  memaklumkannya kepada Hospital Dungun di sini.

Dia berkata, pegawai perubatan hospital itu yang tiba di rumah mereka tidak lama kemudiannya mengesahkan abangnya sudah meninggal dunia.

"Jenazah abang saya dijangka akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Syed Yahaya di sini pada pagi esok," katanya. - K! ONLINE

Lelaki obes 286 kg meninggal dunia akibat sesak nafas

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Hajat seorang lelaki obes seberat 286 kilogram (kg) untuk kembali kurus dan menikmati kehidupan normal tidak kesampaian apabila dia meninggal dunia hari ini.

Mohamad Faisal Md. Ali, 29, yang pernah mendapat perkhidmatan jurulatih kecergasan peribadi percuma pada Oktober lalu menghembuskan nafas terakhir di pangkuan ibunya, Kamsah Mat Noor, 57, akibat sesak nafas pada pukul 5 pagi.

Kamsah berkata, Mohamad Faisal baru dibenarkan keluar dari Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu pada Rabu lalu.

"Sebelum ini, dia yang merupakan anak bongsu dari lima beradik telah menjalani rawatan akibat obesiti di hospital itu selama dua bulan sejak September lalu.

"Sejak anak saya itu pulang ke rumah dari hospital, dia kurang selera makan dan hanya minum susu enam kali sehari," katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Mengabang Telipot di sini hari ini.

Dalam pada itu, jenazah Mohamad Faizal selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Mengabang Telipot di sini selepas solat Zuhor.


Jenazah lelaki obes itu diturunkan dengan penakal menerusi bantuan jentolak di dalam liang lahad. - K! ONLINE

Saturday, December 9, 2017

Mangsa banjir Kemaman meningkat 280 orang

Oleh MOHD AZLI ADLAN


KEMAMAN - Mangsa banjir di daerah Kemaman yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara meningkat sedikit kepada 280 orang hari ini.

Pegawai Daerah Kemaman, Mohd. Zahari Md. Azhar berkata, ia penambahan daripada 235 orang pada semalam.

"Setakat ini, semua mangsa ditempatkan di satu-satu pusat pemindahan sementara yang dibuka di daerah ini iaitu Dewan Pusat Latihan Darul Iman, Teluk Kalong di sini.

"Pada waktu ini, hujan lebat yang melanda Kemaman sepanjang semalam telah berhenti dan kita berharap banjir akan surut berikutan cuaca yang baik hari ini," katanya kepada Kosmo! di sini hari ini. - K! ONLINE