Translate

Friday, December 23, 2016

Seorang lagi maut di LPT2

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

HULU TERENGGANU – Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) terus meragut nyawa lagi. Kali ini melibatkan seorang staf sebuah pusat penapisan petroleum di Kilometer 380, LPT2 berhampiran Ajil di sini semalam.

Kereta Perodua Viva dipandu Mohd. Hanapi Mohammad, 26, dikatakan hilang kawalan sebelum merempuh belakang sebuah lori membawa muatan kayu pada pukul 7 pagi.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd. Adli Mat Daud berkata, mangsa yang berasal dari Kampung Pengkalan Atap, Batu Rakit, Kuala Nerus meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah pada kepala dan anggota badan.

Katanya, sewaktu kejadian, Mohd. Hanapi dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Kerteh, Kemaman selepas pulang bercuti di rumah keluarganya di Kampung Pengkalan Atap, Batu Rakit, Kuala Terengganu.

Jarak rumah keluarganya ke Kerteh sejauh kira-kira 140 kilometer.

“Sewaktu melalui lokasi kejadian, kereta yang dipandu mangsa bersendirian tiba-tiba hilang kawalan sebelum merempuh belakang sebuah lori membawa muatan kayu yang sedang bergerak,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Menurut Mohd. Adli, pemandu lori berusia 60 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan dan mayat Mohd. Hanapi dibawa ke Hospital Hulu Terengganu untuk bedah siasat.
Mohd. Hanafi merupakan mangsa kemalangan kelapan di LPT2 dalam tempoh 12 hari selepas enam sekeluarga maut ekoran kenderaan pelbagai guna, Hyundai Starex yang dinaiki mereka terbabas sebelum merempuh tembok jejambat susur keluar Plaza Tol Chukai, Kemaman pada 11 Disember lalu.

Sehari kemudian, seorang kelindan lori pula maut selepas lori yang dinaikinya terlibat dalam kemalangan Kilometer 341, LPT2 berhampiran susur masuk Plaza Tol Paka, Dungun.

No comments:

Post a Comment