Translate

Monday, December 19, 2016

Saingan Liga M kurang seri jika Kelantan tarik diri

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

SAINGAN Liga Malaysia (Liga M) 2017 yang bakal bermula bulan depan mungkin hilang seri sekira Kelantan mengambil keputusan muktamad menarik diri.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia Terengganu, Datuk Rozi Mamat (gambar) berkata, sebagai antara pasukan yang sentiasa mempamerkan prestasi cemerlang dalam saingan Liga M, ketiadaan Kelantan menjejaskan sedikit saingan pada musim depan.

“Kalau Kelantan tiada (menarik diri), kurang satu saingan kepada keseluruhan liga pada musim depan kerana seperti kita maklum, pasukan tersebut merupakan antara terbaik dalam Liga M.

“Begitupun, ini masalah dalaman Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) dan kita tidak berniat untuk campur tangan,” katanya mengulas kemungkinan Kelantan menarik diri daripada saingan Liga M musim depan ekoran kekurangan dana.

Rozi memberitahu, Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) bersimpati dengan nasib yang menimpa KAFA dan berharap penyelesaian terbaik dapat dicari menjelang kongres luar biasa persatuan itu akhir bulan ini.

Kosmo! semalam melaporkan KAFA tidak menolak kemungkinan menarik diri daripada Liga M sekiranya gagal mencari dana berjumlah RM14.2 juta dalam tempoh dua minggu.

Pemangku Presiden KAFA, Datuk Seri Afandi Hamzah mendedahkan, pihaknya hanya mempunyai dana berjumlah RM800,000 dan keputusan muktamad sama ada Kelantan menarik diri atau sebaliknya bakal diputuskan pada kongres luar biasa pada 29 Disember ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Rozi berkata, persiapan PBSNT menerusi dua pasukan iaitu Terengganu dan T-Team untuk mengharungi saingan musim depan berjalan lancar.

Katanya, Terengganu yang dibim­bing oleh jurulatih berpengalaman, Irfan Bakti Abu Salim akan beraksi dalam saingan Liga Premier, manakala T-Team kendalian Rahmad Darmawan pula di Liga Super.

“Barisan pemain Terengganu dan T-Team akan diumumkan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman yang juga pemangku Presiden PBSNT dalam masa terdekat,” katanya.

No comments:

Post a Comment