Translate

Tuesday, December 20, 2016

Rugi RM10 juta kabel komunikasi dicuri

HULU TERENGGANU – Kes kecurian kabel komunikasi termasuk jalur lebar di negara ini membimbangkan kerana ia melibatkan kerugian kira-kira RM10 juta setahun.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari berkata, kes kecurian terbabit merupakan antara kekangan yang perlu dihadapi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam usaha untuk meningkatkan kadar penembusan jalur lebar di seluruh negara.

“Kita kesal dengan kecurian kabel tersebut. Harap dapat kerjasama daripada pihak berkuasa, pihak berkuasa tempatan dan penduduk setempat bagi memastikan kadar kecurian kabel terbabit dapat dikurangkan.

“Pada masa ini, kadar penembusan jalur lebar di seluruh negara ialah 76.8 peratus,” katanya selepas merasmikan Pusat Internet 1Malaysia Kampung Chepu, Hulu Telemong di sini semalam.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri Telemong, Datuk Rozi Mamat.

Jailani berkata, lebih banyak menara telekomunikasi akan dibina terutama di lokasi yang mendapat liputan rendah pada tahun depan dengan menggunakan peruntukan RM1 bilion yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada pembentangan Bajet 2017 baru-baru ini.

No comments:

Post a Comment