Translate

Thursday, December 1, 2016

Pewaris Muda jejak Terengganu

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KEBANYAKAN generasi muda hari ini yang rata-ratanya celik teknologi maklumat sanggup menghabiskan masa berjam-jam sehari dengan mengakses media sosial menerusi komputer peri­badi dan telefon pintar masing-masing.

Begitupun, kebergantungan kepada media sosial semata-mata tanpa interaksi dua hala dengan masyarakat boleh menyebabkan golongan belia berusia 30 tahun ke bawah tersebut tersalah arah dengan mudah mempercayai maklumat yang menjadi viral tanpa memastikan kesahihannya.

Sehubungan itu, Jabatan Penerangan Malaysia mengambil inisiatif menganjurkan Program Pewaris Muda yang bertujuan memberi pendedahan kepada golongan tersebut terutama pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) merasai kehidupan bersama masyarakat terutamanya di luar bandar.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari berkata, Program Pewaris Muda yang diperkenal sejak tahun 2013 itu memberi nilai tambah yang dapat mematangkan pelajar IPT terlibat.

“Program yang turut melibatkan penyertaan penduduk kampung menerusi aktiviti keluarga angkat itu juga mahu menyemarakkan lagi semangat permuafakatan dan perpaduan antara rakyat di negara ini.

“Pada tahun ini, Program Pewaris Muda peringkat kebangsaan diadakan di daerah Hulu Terengganu dengan penglibatan 120 peserta dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak,” katanya selepas merasmikan penutup Program Pewaris Muda dan Alumni Peringkat Kebangsaan di Kampung Payang Kayu, Kuala Berang, Hulu Terengganu kelmarin.

Turut hadir Ketua Pengarah Penerangan Malaysia, Datuk Ibrahim Abdul Rahman dan Ahli Dewan Undangan Negeri Telemong, Datuk Rozi Mamat.
Jailani berkata, kesemua peserta yang berusia antara 18 hingga 22 tahun berkenaan menetap bersama 60 keluarga ang­kat di tiga buah kampung iaitu Kampung Payang Kayu, Kuala Ping dan Bukit Kapah.

Beliau berkata, sepanjang tiga hari program tersebut, peserta telah didedahkan de­ngan kegiatan sosioekonomi dan budaya masyarakat setempat dengan merasai pengalaman kerja ibu bapa angkat seperti mengusahakan kebun dan bertukang kayu.

“Pelbagai aktiviti kemasyarakatan juga diatur seperti demonstrasi membuat emping padi dan laksa Terengganu, senamrobik, sukan rak­yat, kenduri, gotong-royong dan kuliah agama. Mereka juga terlibat dalam aktiviti ‘Titian Kasih’ iaitu menziarahi dan memberi bantuan barangan keperluan asas kepada penduduk kurang berkemampuan di setiap kampung berkenaan,” katanya yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu.

Jailani berkata, para pelajar terbabit turut berpeluang menjamah makanan tradisional Terengganu seperti keropok lekor, nasi dagang, ketupat sotong dan satar.

Sehubungan itu, beliau berharap Program Pewaris Muda dapat memberi input berguna dan pedoman kepada peserta tentang realiti kehidupan masyarakat di negara ini.

“Kita juga mahu hubungan akrab yang telah dibina antara pelajar terbabit dengan keluarga angkat masing-masing dapat terus dipupuk selepas program ini menerusi penggunaan media sosial seperti WhatsApp.

“Semoga para peserta terbabit dapat menjejakkan kaki semula ke kampung-kampung ini untuk menabur bakti selepas berjaya dalam kehidupan masing-masing suatu hari kelak,” katanya.

Sementara itu, Rozi berkata, Program Pewaris Muda turut memberi manfaat besar kepada penduduk kampung berkenaan berkenaan yang terletak di pendalaman iaitu kira-kira 70 kilometer dari bandar raya Kuala Terengganu dan bersempadan dengan Tasik Kenyir.

“Pengalaman bersama pelajar IPT yang pelbagai latar belakang sedikit sebanyak memberi pengkongsian minda dan pengalaman kepada penduduk kampung terbabit,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia Terengganu.

Pahang dipilih sebagai lokasi pertama Program Pewaris Muda pada 2013 diikuti Perak (2014), Negeri Sembilan (2015) dan Terengganu (2016).

No comments:

Post a Comment