Translate

Thursday, December 15, 2016

Maulidur Rasul disambut sederhana seluruh negara

KUALA LUMPUR – Hujan renyai di beberapa kawasan di seluruh negara tidak menghalang sambutan dan perarakan diadakan sempena Maulidur Rasul 1438H yang disambut secara sederhana.

Di Tanjung Malim, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan berangkat ke majlis sambutan peringkat negeri di Dewan Seri Tanjung.

Hadir sama pada majlis yang disertai 2,000 orang itu  ialah Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir.

Sultan Nazrin turut menzahirkan kebimbangan  baginda ekoran begitu banyak perbuatan pecah amanah yang dilaporkan sejak kebelakangan ini.

“Sejarah menunjukkan perbuatan pecah amanah dan rasuah serta nafsu tamak harta dan penggunaan kuasa secara rakus, adalah faktor menyebabkan kejatuhan banyak kerajaan dan sesuatu tamadun,” titah baginda.
Di Shah Alam, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan merasmikan sambutan itu di Stadium Malawati yang dihadiri kira-kira 3,600 orang.

Turut hadir Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.

Di Kuala Terengganu, seramai 2,762 peserta yang mewakili 71 kontinjen daripada jabatan kerajaan negeri dan badan berkanun negeri, agensi swasta serta jabatan persekutuan menyertai sam­butan Maulidur Rasul.

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat ke majlis yang diadakan di Stadium Negeri.

Sultan Mizan dalam titah baginda menyeru rakyat agar mengelak daripada percakaran sesama sendiri dan menjauhi amalan berpuak-puak.
Di Kuantan, kira-kira 1,260 peserta daripada pelbagai agensi kerajaan dan swasta menyertai perarakan di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah.

Ia disempurnakan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bagi mewakili ayahanda ba­ginda, Sultan Ahmad Shah.

Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob.
Di George Town, seramai 2,352 peserta daripada 49 kontinjen daripada agensi kerajaan, badan berkanun dan pertubuhan bukan kerajaan menyertai perarakan dari Padang Kota ke Dewan Sri Pinang.

No comments:

Post a Comment