Translate

Thursday, December 1, 2016

Banjir di Terengganu mula surut

Oleh MOHD. AZLI ADLAN dan MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN – Banjir kilat yang melanda Terengganu termasuk di daerah ini kelmarin semakin pulih dengan semua mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sudah pulang ke rumah masing-masing.

Pegawai Daerah Kemaman, Rosman Roslan berkata, kebanyakan 295 mangsa yang ditempatkan di tiga pusat pemin­dahan di daerah ini sudah mula pulang ke rumah masing-masing semalam untuk melakukan kerja-kerja pembersihan.

“Banjir kilat yang me­landa beberapa kawasan di Kemasik dan Kijal dekat sini mulai surut selepas hujan lebat berhenti sepenuhnya pada pukul 7.30 malam semalam (kelmarin).

“Cuaca juga agak cerah hari ini (semalam) dan kesemua pusat pemindahan terlibat sudah ditutup,” katanya ketika ditemui selepas melawat mangsa banjir di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Badrul Alam Shah, Kemasik dekat sini semalam.

Seramai 256 mangsa termasuk enam orang daripada golongan kelainan upaya (OKU) dari empat buah kampung berhampiran masih ditempatkan di pusat pemindahan terbabit.

Rosman berkata, pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Teluk Kalong dan Balai Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Titian Berayun masing-masing menempatkan 34 dan lima mangsa.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana daerah berkata, pihaknya tetap bersiap sedia kemungkinan gelombang banjir fasa kedua yang boleh berlaku pada bila-bila masa memandangkan fenomena air pasang setinggi 3.2 meter di perairan Kemaman dijangka berterusan sehingga minggu hadapan.
Sementara itu, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Terengganu, Che Adam A. Rahman memberitahu, ketiga-tiga jalan yang ditutup untuk kegunaan kenderaan ringan iaitu Jalan Kemasik-Air Jernih di sini, Jalan Batu Burok, Kuala Terengganu dan Jalan Seranting-Merchang, Marang telah dibuka mulai awal pagi semalam.

Beliau berkata,  tujuh mangsa bagaimanapun masih lagi ditempatkan di pusat pemindahan di SK Gong Tok Nasek, Kuala Terengganu.
Sementara itu, seorang penduduk, Ahmad Murni  Muda, 53, berkata, rumahnya yang terletak di Kampung Lubuk Kawah, Kemasik dekat sini mula dinaiki air pada pukul 8.30 pagi kelmarin.

Pemandu lori itu berkata, mereka sekeluarga termasuk iste­rinya, Zamrah Abdullah, 47, yang mengalami kesukaran berjalan selepas sebahagian kaki kirinya telah dipotong akibat diabetes mula cemas apabila rumahnya mula ditenggelami air pada paras pinggang pukul 3 petang.
“Mujur kami sembilan sekeluarga termasuk seorang cucu perempuan berusia dua tahun telah dibantu berpindah di pusat pemindahan, SMK Badrul Alam Shah oleh anggota APM de­ngan menaiki kenderaan pacuan empat roda, Toyota Hilux pada pukul 5.30 petang (kelmarin).

“Kami memutuskan untuk pulang ke rumah setelah air surut sepenuhnya pada pukul 3 petang tadi (semalam),” katanya.

No comments:

Post a Comment