Translate

Sunday, December 4, 2016

Anak-beranak komplot edar dadah

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Sepasang suami isteri bersama anak berusia sembilan tahun diberkas kerana disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah jenis heroin dan methamphetamine, Ahad lalu.

Suami isteri yang berusia 30-an dan anak lelaki mereka ditahan dalam serbuan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Marang di rumah mereka di Bukit Payung, Marang pada pukul 7 pagi.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rosli Ab. Rahman  berkata, pemeriksaan di atas sofa yang terdapat di ruang tamu rumah tersebut telah menjumpai 40 botol plastik yang mengandungi serbuk disyaki dadah jenis heroin.

"Polis juga berjaya merampas 3,168 pil berwarna merah dan hijau dipercayai dadah jenis methamptamine. Serbuk dan pil terbabit masing-masing seberat 202 gram dan 324 gram dan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM56,016," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontijen Terengganu di sini semalam.

Mengulas lanjut, Rosli berkata, sebanyak 10 botol plastik yang mengandungi serbuk disyaki heroin tersebut telah ditemui di dalam bungkusan surat khabar.

Menurut beliau, 30 botol lagi yang mengandungi serbuk sama pula telah dijumpai di dalam sebuah beg hitam.

"Pemeriksaan di dalam beg hitam itu juga menemui 16 paket plastik yang masing-masing mengandungi 196 biji pil merah dan dua pil hijau disyaki pil kuda.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kesemua suspek reman untuk membantu siasatan sehingga Sabtu ini (esok)," katanya.

No comments:

Post a Comment