Translate

Tuesday, December 20, 2016

432,514 calon ambil keputusan PT3

Oleh AZLI ADLAN, NOR SHAFAWATI YUP, TAUFIK SALIMIN dan ABDUL RAZAK IDRIS

KUALA LUMPUR – Seramai 432,514 calon yang menduduki peperiksaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) mengambil keputusan di sekolah masing-masing di seluruh negara semalam.

Namun kali ini, tiada pengumuman rasmi dibuat mengenai prestasi pe­periksaan itu seperti peratusan pelajar mendapat keputusan cemerlang, perbandingan antara negeri, perbandingan antara sekolah bandar dan luar bandar serta perbandingan di antara sekolah-sekolah terbaik se­perti lazimnya.

Ini memandangkan keputusan PT3 adalah sebahagian daripada komponen Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).

Menurut Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM), keputusan PT3 adalah hasil Pentaksiran Pusat dan komponen lain ialah Pentaksiran Sekolah, Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) serta Pentaksiran Psikometrik (PPsi).

Pentaksiran Sekolah melibatkan penilaian akademik oleh guru-guru sewaktu proses pembelajaran dalam kelas secara berterusan dari Tingkatan 1 hingga 3 dengan guru-guru perlu menghantar laporan prestasi itu kepada LPM setiap tahun.

Penglibatan pelajar dalam aktiviti berpersatuan dan sukan pula dinilai dalam PAJSK iaitu mengenal pasti kemahiran kepimpinan dan komunikasi mereka dalam organisasi.

PPsi pula dikendalikan oleh guru-guru kaunseling yang mana satu ujian khas diberi kepada pelajar-pelajar bertujuan mengenal pasti bakat dan kecenderungan mereka terhadap bidang diminati.

Ketua Sektor Pengurusan Dasar dan Perkembangan, Dr. Rahimah Adam berkata, kesemua komponen tersebut merupakan elemen penting kepada pihak sekolah untuk membantu pelajar-pelajar menentukan aliran Sains ataupun Sastera apabila melangkah ke Tingkatan 4.

Rahimah berkata, PT3 hanya merupakan satu daripada elemen dalam PBS dan bukannya berfungsi untuk menggantikan Penilaian Menengah Rendah.
“Di akhir Tingkatan 3, murid akan menerima pelaporan Pentaksiran Sekolah, pelaporan Pentaksiran Psikometrik, pelaporan PAJSK dan pelaporan PT3,” katanya kepada Bernama semalam.

Pun begitu di Kuala Terengganu, Terengganu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan negeri, A. Latiff Awang memberitahu, 1,093 calon PT3 memperoleh semua A.

A.Latif berkata, ia merupakan 5.27 peratus daripada 20,739 calon PT3 negeri yang menduduki peperiksaan itu pada tahun ini.

“Bilangan pelajar yang mendapat semua A telah meningkat mendadak sebanyak 56.37 peratus berbanding 699 calon yang memperoleh keputusan sama pada tahun lalu. Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Dato’ Haji Abbas, Kuala Nerus dan Sekolah Menengah (SM) Imtiaz Yayasan Terengganu muncul dua sekolah terbaik di Terengganu,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

No comments:

Post a Comment