Translate

Monday, November 7, 2016

Penjenayah tidak berbaju dicekup

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

MARANG – Tindakan jahat tiga lelaki cuba memecah masuk sebuah rumah di Kampung Durian Guling di sini berjaya dipatahkan apabila salah seorang daripada mereka berjaya dicekup penduduk kampung berkenaan semalam. 

Dalam kejadian pada pukul 8.30 pagi itu, lelaki berusia dalam lingkungan 20-an tersebut cuba menyorok di dalam kawasan semak berhampiran manakala dua rakannya berjaya meloloskan diri apabila cubaan mereka untuk menceroboh rumah terbabit disedari salah seorang penduduk kampung.

Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Durian Guling, Ramli Mohamad, 55, menceritakan, sebelum kejadian, pihaknya telah dihubungi oleh salah seorang penduduk yang memaklumkan dia ternampak kelibat suspek bersama dua lelaki lagi dalam keadaan mencurigakan dan cuba menceroboh rumah jirannya yang tidak berpenghuni.

“Tidak lama kemudian beberapa penduduk kampung bertindak mengepung rumah terbabit menyebabkan ketiga-tiga suspek bertindak melarikan diri.

“Dua daripada mereka berjaya melepaskan diri namun salah seorang daripada lelaki itu berjaya diberkas ketika bersembunyi di kawasan semak berhampiran rumah berkenaan,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Ramli berkata, pemeriksaan di rumah terbabit mendapati pintu premis itu telah diumpil dipercayai dilakukan suspek dan rakan-rakannya.

Menurut beliau, sewaktu kejadian, rumah itu tidak berpenghuni kerana pemiliknya bekerja di Paka, Dungun manakala isterinya sedang berkursus di Kuala Lumpur sejak tiga hari lalu.

“Kami telah menyerahkan suspek yang hanya berseluar pendek dan tidak memakai baju kepada anggota polis di Balai Polis Bukit Payung di sini untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd. Suhaimi Ali mengesahkan kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

“Kini polis sedang memburu dua lagi suspek kes cubaan memecah rumah itu,” katanya.

No comments:

Post a Comment