Translate

Saturday, November 12, 2016

Pemilik kapal didenda RM12,000

KUALA TERENGGANU – Seorang pemilik kapal tangki didenda RM12,000 oleh Mahkamah Majistret di sini semalam selepas dia mengaku bersalah atas tiga pertuduhan tidak memaklumkan aktiviti perniagaan membawa muatan 81,000 liter diesel kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Majistret Abdul Hayyi Salim memerintahkan Safwatur Rahman Mohammad Syafiie, 32, membayar denda RM10,000 bagi pertuduhan pertama dan denda maksimum RM1,000 masing-masing bagi pertuduhan kedua dan ketiga.

Beliau juga memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara tambahan enam bulan bagi kesalahan pertama dan 14 hari masing-masing bagi kesalahan kedua dan tiga jika gagal membayar denda terbabit.

Safwatur Rahman yang merupakan pemilik kapal tangki MT Aliya Sari membayar denda itu. Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Mohd. Redzuan Hamdan.

Berdasarkan pertuduhan pertama, Safwatur Rahman didakwa memuatkan kapal tangkinya dengan 81,000 liter diesel bernilai RM135,270 bagi tujuan eksport secara tidak sah.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 26(a) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM25,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Safwatur Rahman didakwa gagal melaporkan ketibaan MT Aliya Sari itu di lokasi berkenaan kepada pegawai kastam bertugas mengikut Seksyen 26(1) akta sama.

Pertuduhan ketiga pula dia didakwa tidak mendapat kebenaran pelepasan daripada pihak berkuasa pelabuhan untuk bertolak dari Pelabuhan Kemaman dan merupakan kesalahan di bawah Seksyen 37(1) akta sama.

Kesemua kesalahan tersebut didakwa dilakukan di Jeti MSET Pulau Duyong di sini pada pukul 6.30 petang 26 Oktober lalu.

No comments:

Post a Comment