Translate

Saturday, November 19, 2016

4,896 calon dapat semua A dalam UPSR 2016

Oleh ZAID MOHD. NOOR, ZULKIFLI MANZOR, MOHD. AZLI ADLAN, JULIA ISMAIL, NORLIDA AKMAR IDROS, MUHAMMAD AYMAN GHAFFA, MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM, AZHAR AHMAD, NURUL FAIQAH ABD. RAHMAN, RASDAN AHMAD, AHMAD SHAHERMAN SHAMSURI, AFANDI CHE MUHAMAD dan ROSMIZAN RESDI 

PUTRAJAYA – Hanya 4,896 calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2016 berjaya memperoleh keputusan semua A dari­pada 452,721 murid yang  mendaftar menduduki peperiksaan itu pada tahun ini.
 
Ia menyaksikan penurunan yang ketara lebih 87 peratus berbanding keputusan peperiksaan UPSR sebelum ini.

Pada tahun 2015, seramai 38,344 calon mendapat keputusan semua A manakala 36,304 calon mendapat keputusan sama pada tahun 2014. 
  
Bagaimanapun, Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Khair Mohamad Yusof berkata, ibu bapa, pelajar dan pihak luar tidak boleh membandingkan keputusan peperiksaan tahun ini dengan tahun-tahun sebelumnya kerana terdapat perbezaan format yang dilaksanakan.

Menurutnya, calon peperiksaan UPSR pada tahun ini merupakan kohort pertama yang telah mengikuti Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan melalui Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) sejak berada dalam tahun 1 pada 2011.

“Sejajar dengan pelaksanaan KSSR dan melengkapi pelaksanaan PBS di samping membudayakan unsur-unsur Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) yang mene­rapkan elemen baharu me­rangkumi soalan objektif pelbagai bentuk, respons terhad serta terbuka dapat menilai tahap pencapaian calon berdasarkan pertimbangan terhadap kualiti, ketekalan, ketepatan serta keadilan.

“Justeru itu, kita tidak boleh memban­dingkan pencapaian murid pada tahun ini dengan tahun sebelumnya kerana penambahbaikan format baharu ini menjadi pe­nanda aras untuk mempertingkatkan lagi kecemerlangan pelajar,” katanya ketika mengumumkan analisis keputusan UPSR di sini semalam.

Mengulas lanjut katanya, Nilai Gred Purata Nasional (GNP) bagi keseluruhan 452,721 calon yang mengambil peperiksaan tahun ini ialah 2.96 mata.

Daripada jumlah itu, sebanyak 8,345 calon memperoleh maksimum 1B manakala 35,752 calon mendapat minimum 2B bagi keseluruhan mata pelajaran yang diambil.

Namun, beliau tidak mendedahkan analisis berdasarkan jantina dan kaum.
Dalam pada itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turut mengucapkan tahniah kepada murid yang mendapat keputusan cemerlang.
 
“Tahniah kepada yang dapat keputusan cemerlang UPSR 2016. Jangan lupa ucap terima kasih kepada ibu bapa dan guru.

“Jika keputusan kurang memuaskan, usaha lebih lagi,” kata Najib menerusi laman Twitter. 

No comments:

Post a Comment