Translate

Sunday, October 9, 2016

UMNO Terengganu nafi keluar senarai calon PRU-14

KUALA NERUS - UMNO Terengganu menafikan penyebaran kononnya senarai akhir calon Barisan Nasional negeri pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang kini viral di media sosial sejak dua minggu lalu.
Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif Ahmad Rahman berkata, senarai tersebut adalah palsu kerana ia tidak pernah dikeluarkan oleh Badan Perhubungan UMNO negeri.
" Kita (Badan Perhubungan UMNO negeri) belum lagi diminta untuk menghantar senarai calon PRU14 oleh pucuk pimpinan parti.
"Jangankan serahkan nama calon, bincang berhubung isu itu pun belum dilakukan lagi," katanya sebagai mengulas penyebaran kononnya senarai akhir calon BN Terengganu pada PRU-14 di media sosial.
Berdasarkan senarai itu kononnya dua menteri iaitu Ahli Parlimen Besut, Datuk Seri Idris Jusoh dan Ahli Parlimen Kemaman, Datuk Seri Shabery Cheek bakal digugurkan.
Selain itu, Ahmad Razif yang kini merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Seberang Takir didakwa akan berpindah kerusi ke Parlimen Kuala Nerus.
Terdahulu beliau ditemui selepas menghadiri perasmian Himpunan Jentera Penerangan UMNO Terengganu yang disempurnakan Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa di Stadium Tertutup Sultan Mizan, Gong Badak di sini hari ini.
Dalam perkembangan sama, Ahmad Razif menganggap penyebaran senarai palsu itu merupakan tindakan nakal pihak tertentu untuk cuba menggugat keharmonian kerajaan negeri Terengganu.
Sehubungan itu, beliau meminta ahli UMNO negeri agar tidak menghiraukannya kerana BN mempunyai prosedur operasi standard tertentu dalam pemilihan calon pilihan raya.
"Kita tidak perlu cakna (ambil kisah) sangat, tumpukan kepada usaha menguatkan lagi jentera parti agar BN negeri mampu memperolehi kemenangan lebih besar pada PRU-14," katanya. - K! ONLINE

No comments:

Post a Comment