Translate

Tuesday, October 18, 2016

Tukang rumah jadi buruan polis

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Tukang rumah yang diburu bagi membantu siasatan  kes  pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mati akibat ditikam bertubi-tubi di Kompleks Seri Iman di sini ke­lmarin selepas rahsianya sudah bergelar suami orang terbongkar menghilangkan diri dengan menunggang motosikal Honda EX5.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Wan Abd. Aziz Wan Hamzah berkata, lelaki berkenaan, Mohd. Hafiz Mohamad, 29, sebelum itu dikatakan pergi ke Pejabat Agama Islam di Kompleks Seri Iman de­ngan menaiki kereta Honda Civic dipandu rakannya.

Menurut beliau, selepas berlaku pergaduhan dan kejadian bunuh melibatkan pegawai JPJ, Muhamad Shukri Husin, 34, di luar Pejabat Agama Islam, Mohd. Hafiz meninggalkan lokasi kejadian dengan menaiki kereta Honda Civic  sama.

“Sampai di rumah rakannya di Kampung Buluh Gading, Manir dekat sini, Mohd. Hafiz dikatakan melarikan diri dengan menunggang motosikal EX5 milik­nya,” kata beliau kepada Kosmo! di sini semalam. 

Jarak Kompleks Seri Iman dan Kampung Buluh Gading kira-kira 10 kilometer.

Berikutan itu, kata Wan Abd. Aziz, polis memberkas rakan Mohd. Hafiz di rumahnya pada pukul 4.30 petang kelmarin.

Lelaki itu merupakan pemilik kereta Honda Civic.

“Soal siasat ke atas lelaki itu mendapati Mohd. Hafiz sebelum itu meninggalkan motosikal miliknya di rumah rakannya sebelum pergi ke Kompleks Seri Iman,” ujarnya.
Wan Abd. Aziz memberitahu, selepas Mohd. Hafiz melarikan diri dengan motosikal, rakannya itu telah meminta bantuan bapa saudaranya yang berusia 55 tahun untuk menyorokkan kereta Honda Civic miliknya.

“Honda Civic itu kemudian disembunyikan di satu kawasan padang berhampiran kandang lembu di Kampung Dusun Tembakau di Manir,” jelasnya.
Jarak Kampung Dusun Tembakau dan Kampung Buluh Gading kira-kira tiga kilometer.

Lelaki yang menyembunyikan kereta Honda Civic itu turut  ditangkap di Kampung Dusun Tembakau selang 15 minit selepas tangkapan pertama.

Katanya, berdasarkan siasatan terhadap kedua-dua lelaki yang juga bekerja sebagai tukang rumah itu, polis percaya Mohd. Hafiz masih berada di dalam negeri.

Mereka kini direman seminggu bagi membantu siasatan berhubung kes bunuh Muhamad Shukri.
Kosmo! semalam melaporkan pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan Pengkalan Kubor, Kelantan, Muhamad Shukri Husin maut selepas ditikam sebanyak enam kali di bahagian dada dan leher oleh bakal adik iparnya di tempat letak kereta Kompleks Darul Iman.

Suspek berusia 29 tahun yang berhasrat mengahwini adik mangsa, Azlina, 27, bertindak demikian selepas berang rahsia­nya yang merupakan suami orang dibongkar keluarga kekasihnya itu.

No comments:

Post a Comment