Translate

Monday, October 10, 2016

Suami isteri jual air ketum

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU –Hajat sepasang suami isteri untuk mengaut keuntungan dengan menjual air ketum tidak kesampaian apabila mereka diberkas polis di Kampung Pengkalan Nyerih, Besut pada Rabu lalu.

Serbuan pada pukul 7 petang itu menemui 350 bungkusan cecair disyaki air ketum yang dianggarkan bernilai RM1,050.

Ketua Polis Daerah Besut, Supe­rintendan Mohd. Zamri Mohd. Rowi berkata, sewaktu serbuan kedua-dua suspek yang masing-masing berusia 28 dan 25 tahun sedang berada di dalam sebuah bilik di kediaman mereka.

“Pemeriksaan di dalam bilik ber­kenaan telah menemui sebuah bekas plastik yang mengandungi 50 bungkusan berisi cecair kehijauan disyaki air ketum.

“Tiga peket plastik yang masing-masing berisi 100 bungkusan berisi cecair sama pula ditemui di dalam but kereta Proton Perdana yang diletakkan di belakang premis terbabit,” katanya kepada Kosmo! Ahad di sini semalam.

Mohd. Zamri berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek mengaku memperoleh stok air ketum itu daripada seorang pengedar yang berasal dari Setiu dengan harga RM200.

Menurut beliau, suspek pertama iaitu seorang lelaki yang berasal dari Kampung Pengkalan Nyerih memberitahu, dia bercadang untuk menjual air ketum itu pada harga RM3 sebungkus kepada pelanggannya.

“Ujian urin kedua-dua suspek adalah negatif. Kes disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga empat tahun, denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan,” katanya.

No comments:

Post a Comment