Translate

Saturday, October 22, 2016

Staf pejabat pertanian maut sakit jantung ketika memandu

KEMAMAN – Seorang kakita­ngan Pejabat Pertanian Daerah Kemaman maut selepas terkena serangan jantung sewaktu memandu kereta di Kilometer 131, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan berhampiran Kampung Titian Berayung, Kijal dekat sini kelmarin.

Kejadian pada pukul 9.10 malam itu menyebabkan kereta Proton Wira yang dipandu mangsa, Che Wan Junaidi Che Wan Ab. Ghani, 40, terbabas ke dalam kawasan semak berhampiran.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superitendan Mohd. Said Ibrahim berkata, sewaktu kejadian, mangsa yang masih bujang baru keluar dari rumahnya di Kampung Titi Berayung yang terletak kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian.

“Mangsa yang mengadu me­ngalami masalah angin dalam badan mahu pergi berurut di sebuah rumah tukang urut tidak jauh dari lokasi kejadian.

“Dia baru keluar dari Hospital Kemaman di sini selepas dirawat akibat penyakit paru-paru berair dan jantung,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Mohd. Said berkata, mayat Che Wan Junaidi yang  merupakan pembantu rendah am di Pejabat Pertanian Daerah Kemaman telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk dibedah siasat.

Menurut beliau, hasil bedah siasat mengesahkan mangsa yang merupakan anak sulung daripada sembilan beradik meninggal dunia akibat serangan jantung.

No comments:

Post a Comment