Translate

Sunday, October 2, 2016

Misteri mayat bertatu I Love U


Oleh MOHD. AZLI ADLAN

BESUT – Penginap sebuah resort di Pulau Perhentian Kecil, Kuala Besut dekat sini gempar de­ngan penemuan satu mayat lelaki dipercayai warga asing di pulau peranginan tersebut kelmarin.

Mayat yang mempunyai tatu bertulis I Love U pada lengan tangan kanan dijumpai terapung di kawasan pantai berhampiran Shari-La Resort dalam keadaan tidak berpakai­an pada pukul 4.39 petang.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd. Zamri Mohd. Rawi berkata, mayat tersebut ditemui seorang penginap resort berkenaan yang sedang beriadah di kawasan pantai berhampiran sebelum memaklumkannya kepada anggota polis bertugas di Pondok Polis Pulau Perhentian.

“Mayat lelaki itu ditemui kira-kira satu kilometer dari Jeti Shari-La Resort dalam kea­daan terlentang di laut.

“Mangsa dipercayai telah mati lebih 48 jam berdasarkan keadaan mayat yang telah kembung sewaktu dijumpai,” katanya kepada Kosmo! Ahad di sini semalam.

Mohd. Zamri berkata, tiada sebarang dokumen pengenalan diri dijumpai pada mayat terbabit.

“Mayat tersebut telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Besut untuk bedah siasat.

“Polis sedang melakukan semakan terutama pelancong asing yang telah dilaporkan hilang bagi mengesan identiti mangsa,” ujarnya.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

No comments:

Post a Comment