Translate

Monday, October 17, 2016

Maut ditikam bakal adik ipar

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Hanya kerana tembelang status perkahwinannya terbongkar, seorang tukang rumah berusia 29 tahun sanggup menikam bakal abang iparnya hingga mati di pekarangan Kompleks Seri Iman di sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 11.30 pagi itu, suspek bertindak kejam menikam pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dari Pengkalan Kubor, Kelantan, Muhamad Shukri Husin, 34, sebanyak enam kali di bahagian dada dan leher dengan sebilah pisau berukuran kira-kira 15.24 sentimeter.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Wan Abd. Aziz Wan Hamzah berkata, sebelum kejadian, Muhamad Shukri bersama tujuh ahli keluarganya dari Kampung Sungai Renyut, Jeli, Kelantan berkunjung ke Pejabat Agama Islam di sini yang terletak di dalam Kompleks Seri Iman untuk memeriksa status perkahwinan suspek.

“Pemeriksaan itu mendapati bakal adik ipar mang­sa masih dalam status perkahwinan namun suspek mendakwa dia telah bercerai sehingga tercetus perbalahan di tempat letak kereta kompleks berkenaan.

“Suspek secara tiba-tiba telah mengeluarkan sebilah pisau yang disimpan di dalam kereta Honda Civic yang dinaikinya sebelum menikam mangsa bertubi-tubi,” katanya kepada pemberita di sini semalam.
Muhamad Syukri yang bertugas di Stesen Kawalan JPJ Pengkalan Kubor, Kelantan menunggu masa untuk menimang anak pertama yang dijangka lahir pada bulan depan setelah hampir lima tahun berkahwin.

Wan Abd. Aziz berkata, seorang pengawal keselamatan yang menyedari kejadian itu telah bertindak menutup pintu pagar utama kompleks berkenaan namun suspek telah bertindak mengacu pisau terhadapnya dan mengarahkan lelaki itu tidak masuk campur.
Menurut beliau, suspek yang berasal dari Kampung Baloh, Manir dekat sini kemudiannya membuka pintu pagar itu sebelum bertindak melarikan diri dengan kereta Honda Civic berwarna merah yang dipercayai dipandu seorang lelaki yang masih belum dikenal pasti.

Beliau berkata, pemeriksaan polis di lokasi kejadian telah menemui bungkusan surat khabar yang dipercayai digunakan untuk menyembunyikan pisau yang disyaki digunakan dalam pembunuhan terbabit.

“Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini untuk dibedah siasat. Gerakan memburu suspek sedang giat dilakukan. kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

No comments:

Post a Comment