Translate

Sunday, October 16, 2016

Lelaki 221 kg tekad mahu kurus

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Kesukaran seorang lelaki obes seberat 221 kilogram (kg) sehingga tidak mampu berjalan mendapat perhatian pengendali pusat kecergasan dan gimnasium yang menawarkan per­khidmatan jurulatih kecergasan peribadi percuma kepadanya.

Pengendali pusat kecergasan itu, Mohd. Fairuz Nasiruddin berkata, perkhidmatan itu ditawarkan selama setahun kepada Mohamad Faisal Md. Ali, 28.

“Faisal akan mengikuti pelan pengurusan berat badan antaranya meliputi kawalan pemakanan dan aktiviti fizikal dengan sasaran turun sekurang-kurangnya 70 kg dalam tempoh setahun,” katanya selepas menyampaikan peralatan senaman kepada Faisal di rumahnya di Kampung Tanjung Gelam, Mengabang Telipot di sini semalam.

Sementara itu, Faisal berkata, dia bertekad untuk kurus dan dapat menjalani kehidupan se­perti orang lain.

Dia yang kini hanya mampu bergerak dengan alat bantu jalan memberitahu, kehidupannya sebagai individu obes amat perit kerana segala urusan kehidupan termasuk mandi dan makan terpaksa dibantu oleh ibunya, Kamsah Mat Noor, 57.

“Setiap hari sebahagian besar waktu dihabiskan dengan berba­ring sahaja dan terpaksa mengesot untuk bergerak di dalam rumah.

“Jika saya dapat kurus dan berjalan seperti biasa semula, perkara pertama yang akan saya buat ialah keluar bersiar-siar bersama kawan-kawan seperti dulu,” ujarnya.

Menceritakan semula pe­ngalamannya, anak kelima daripada lapan beradik itu memberitahu, berat badannya naik mendadak daripada 170 kg menjadi 221 kg sejak berhenti kerja akibat masalah kesihatan pada dua tahun lalu.

Dia yang sebelum ini merupakan pereka grafik di sebuah syarikat pencetakan batik di Kuala Terengganu berkata, kegemukan melampau itu menyebabkan kakinya lemah dan tidak berdaya untuk berjalan.

Faisal makan empat kali sehari dan makanan kegemaran antaranya, nasi dagang dan pulut panggang.

“Kemuncaknya, keluarga saya terpaksa meminta bantuan Ang­katan Pertahanan Awam Malaysia membawa saya dengan sebuah lori untuk mendapat ra­watan ke hospital pada April lalu.

“Sebelum ini, saya pernah berusaha berdiet dengan inisiatif sendiri selain makan ubat kurus tetapi gagal sehingga saya hampir putus asa,” katanya.

No comments:

Post a Comment