Translate

Wednesday, October 26, 2016

Kanak-kanak rahang mereput akhirnya meninggal dunia

BESUT – Perjuangan penuh tabah Muhammad Syafi Mohd. Syahrizan melawan kanser tulang lebih dua tahun berakhir semalam apabila kanak-kanak malang itu meninggal dunia di rumahnya di Kampung Padang Landak, Jertih dekat sini.

Murid tahun satu Sekolah Kebangsaan Nyior Tujuh di sini menghembuskan nafas terakhirnya di sisi ibunya, Norzuriana Madri, 38, dan  bapanya, Mohd.Syahrizan Ibrahim, 39, pada pukul 3 petang.

Norzuriana berkata, tahap kesihatan anak keempatnya daripada lima beradik atau lebih mesra dipanggil Syafi, 7, itu semakin merosot  malam kelmarin.
“Sebelum ini, Syafi sihat terutama selepas rawatan susulan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan pada minggu lalu.

“Namun keadaannya tiba-tiba merosot malam tadi (kelmarin) sebelum Syafi meninggal dunia pada pukul 3 petang ini (semalam),” katanya.

Norzuriana berkata, walaupun berasa sangat hiba namun reda dengan pemergian Syafi yang sudah lebih dua tahun menderita dan terlantar akibat kanser tulang.

Kosmo! 25 September lalu melaporkan kesihatan Syafi semakin merosot sejak Februari lalu dengan rahang kiri mereput sedikit demi sedikit sehingga menampakkan hampir keseluruhan rongga dalam mulutnya termasuk lidah dan tekak.

HUSM mengesahkan kanak-kanak itu menghidap kanser 'Infantile Fobrosarcoma' pada Ogos 2014.

Penderitaan Syafi mendapat perhatian ramai pihak termasuk kerajaan negeri Terengganu yang meluluskan peruntukan segera RM100,000 bagi membiayai kos perubatan kanak-kanak itu.

Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif Abd. Rahman sewaktu melawat Syafi pada 2 Oktober lalu turut menghadiahkan sebuah kereta mainan bagi menceriakan kanak-kanak itu.

No comments:

Post a Comment