Translate

Wednesday, October 19, 2016

Irfan perlu masa buat keputusan

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

BEKAS jurulatih Felda United, Irfan Bakti Abu Salim hampir pasti menyertai Terengganu pada kempen Liga Malaysia musim depan.

Menurut Irfan, beliau amat berminat dengan pelawaan Terengganu tetapi masih memerlukan sedikit masa untuk membuat kata putus.

“Saya merupakan jurulatih bola sepak yang suka berhijrah, lagipun keluarga saya suka dengan suasana di Terengganu.

“Tengoklah dalam tempoh seminggu ini, mungkin keputusan dapat dicapai,” kata Irfan kepada pemberita selepas mengadakan rundingan awal dengan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) di Kuala Terengganu semalam.

Irfan bukan asing kepada peminat bola sepak Terengganu kerana beliau pernah melatih skuad tersebut selama tiga musim mulai 1999 dan berjaya membawa Terengganu muncul naib juara Piala Malaysia pada 2011.

Sementara itu, Menteri Besar yang juga Pemangku Presiden PBSNT, Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, buat masa ini mereka belum membuat keputusan muktamad kerana rundingan antara ke­dua-dua belah pihak masih berjalan.

“Buat masa ini kita masih belum boleh memberi keputusan. Apabila semua urusan dapat diselesaikan, baru kita maklumkan,” katanya.

Irfan yang berjaya membawa Felda Uni­ted muncul naib juara Liga Super musim ini membuat keputusan untuk meletak jawatan dengan skuad The Fighters setelah gagal mencapai sasaran untuk menjulang sekurang-kurangnya satu trofi musim ini.

Sasaran tersebut merupakan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) buat Irfan bersama Felda United musim ini dan selepas gagal mencapainya, jurulatih kelahiran Perak itu membuat keputusan untuk melepaskan jawatannya.

Tugasnya dengan Felda United musim depan kini diganti oleh bekas jurulatih Johor Darul Takzim II, Azmi Mohamad.

No comments:

Post a Comment