Translate

Tuesday, October 11, 2016

Dua termasuk bekas banduan diberkas edar dadah

HULU TERENGGANU - Dua lelaki termasuk seorang bekas banduan yang baru dibebaskan ditahan kerana disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah di Kampung Pauh, Kuala Berang di sini semalam.
Kedua-dua suspek yang masing-masing berusia 31 dan 37 tahun ditahan sewaktu dipercayai sedang menunggu pelanggan untuk melakukan urus niaga dadah di belakang sebuah rumah pada pukul 8.30 malam.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd. Adli Mat Daud berkata, pemeriksaan pada beg pinggang berwarna hitam milik suspek berusia 31 tahun menjumpai tujuh botol, lima plastik, 15 foil aluminium dan dua tiub straw yang disyaki mengandungi dadah jenis heroin, syabu, Eramin 5 dan pil kuda.
"Kesemua dadah terbabit dianggarkan bernilai RM17,220.
"Siasatan awal mendapati suspek berusia 31 tahun mengaku baru memperoleh bekalan dadah tersebut beberapa jam sebelum diberkas," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Daerah Hulu Terengganu di sini hari ini. - K! ONLINE

No comments:

Post a Comment