Translate

Friday, October 28, 2016

Azizulhasni, Fatehah raih penghargaan

DUA atlet berbasikal negara, Azizulhasni Awang serta Fatehah Mustafa meraih penghargaan apabila dilantik sebagai duta Tahun Melawat Terengganu 2017.

Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, pemilihan Azizulhasni serta Fatehah yang masing-masing kelahiran Dungun dan Hulu Terengganu itu mampu mempromosikan negeri tersebut sebagai destinasi pelancongan menarik di peringkat antarabangsa.

“Kita serba maklum Azizulhasni dan Fatehah se­ring menyertai kejohanan di peringkat antarabangsa.

“Mereka dapat mempromosi Tahun Melawat Terengganu 2017 menerusi pemakaian jersi dan pe­ngibaran bendera pada setiap pertandingan (yang disertai) itu,” kata Ahmad Razif selepas menghadiri majlis penyampaian insentif kepada atlet cemerlang Terengganu di Primula Beach Resort, Kuala Terengganu semalam.

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan menyampaikan insentif tersebut kepada atlet-atlet berkenaan yang mencapai kecemerlangan menerusi acara masing-masing pada sepanjang tahun ini termasuk Azizulhasni serta Fatehah.

Ahmad Razif menambah, kedua-dua duta terbabit turut bakal terbabit dalam siri pameran jelajah mempromosi Tahun Melawat Terengganu yang akan dijalankan secara berkala.

Sementara itu, Azizulhasni pula berkata, pemilihan beliau bersama Fatehah sebagai duta Tahun Melawat Terengganu 2017 merupakan penghargaan besar buat mereka.

“Saya sifatkan ia sebagai kerjasama strategik yang bijak oleh kerajaan negeri yang telah banyak membantu kami dalam mengembangkan karier sebagai atlet berbasikal bertaraf dunia.

“Kesempatan ini akan digunakan untuk mempromosi Terengganu sebagai destinasi pelancongan yang mesti dilawati (sepanjang berada) di setiap negara yang saya bertanding dan berlatih seperti Eropah, Australia dan Afrika Selatan,” katanya.

Fatehah pula berkata, beliau juga akan mempromosi pulau-pulau peranginan popular yang terdapat di sekitar negeri itu menerusi media sosial seperti Instagram serta Facebook.

No comments:

Post a Comment