Translate

Monday, September 19, 2016

Tukang cat maut dihujani sembilan das tembakan

SETIU - Seorang tukang cat ditemui maut dengan keadaan mengerikan dengan sembilan das tembakan menembusi badan di rumah bapa saudaranya di Kampung Jelapang, Sungai Tong dekat sini hari ini.
Sewaktu kejadian Erdy Alias, 37, hanya berseorangan di dalam rumah kayu tersebut yang terletak di perkampungan sunyi di dalam kebun getah kerana bapa saudaranya, Mohd. Zuki Nor yang juga tukang cat menziarahi ahli keluarganya di Gong Badak, Kuala Nerus sejak Sabtu lalu.
Difahamkan Erdy yang berasal dari Kampung Kepas Dalam, Kampung Raja, Besut baru menumpang rumah Mohd. Zuki untuk bekerja dengan bapa saudaranya itu mulai 9 September lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Wan Abd. Aziz Wan Hamzah berkata, Mohd. Zuki yang juga masih bujang telah menemui mayat anak saudaranya terbaring dengan kesan darah pada bahagian kepala di hadapan pintu rumah sebaik memasuki rumah tersebut pada pukul 4.30 pagi.
"Pada mulanya, dia hairan kerana pintu hadapan terbuka walaupun pada awal pagi sebelum menjumpai mayat anak saudara terbaring secara mengiring di hadapan pintu rumah.
"Dia seterusnya menghubungi polis untuk memaklumkan kejadian berkenaan tidak lama kemudian," katanya kepada Kosmo! di sini hari ini. - K! ONLINE

No comments:

Post a Comment