Translate

Tuesday, September 6, 2016

RM260,000 lesap dalam 3 minit

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

DUNGUN – Perbuatan merompak mesin pengeluaran wang automatik (ATM) semakin menjadi-jadi di Terengganu apabila dua penjenayah bertopeng melarikan wang tunai RM260,000 selepas bertindak meletupkan mesin ATM sebuah bank di Kuala Du­ngun di sini semalam.

Kejadian tersebut merupakan kes kedua rompakan mesin ATM dalam tempoh dua hari di ne­geri itu selepas kejadian di pasar raya Sabasun 2, Gong Badak, Kuala Nerus kelmarin yang me­libatkan kerugian RM1.14 juta.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Ahmad Zailani Yaacob berkata, dua penjenayah bertopeng hanya mengambil masa kira-kira tiga minit untuk meletupkan dan melarikan wang tunai berjumlah RM260,000 dari mesin ATM bank itu yang terletak di Jalan Yahaya Ahmad pada pukul 5.50 pagi.

“Berdasarkan rakaman te­levisyen litar tertutup (CCTV) bank terbabit, dua penjenayah terbabit telah memasuki rua­ngan premis bank yang menempatkan tiga mesin ATM dan dua mesin deposit tunai pada pukul 5.47 pagi.

“Mereka mengumpil lapisan pertama mesin ATM yang terletak paling hampir dengan pintu utama menggunakan peralatan kuku kam­bing sebelum meletakkan objek dipercayai bahan letupan di dalamnya,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian di sini semalam.

Ahmad Zailani berkata, ledakan daripada bahan letupan yang masih belum dikenal pasti kemudiannya berjaya memecahkan lapisan kedua mesin ATM terbabit yang mempunyai ciri-ciri keselamatan.

Menurut beliau, letupan ber­kenaan juga turut merosakkan sebuah CCTV, besi penghadang dan pintu utama bank berkenaan yang diperbuat daripada kaca.

“Kedua-dua penjenayah tersebut yang memakai jaket dan topi kemudian cuba memecahkan lapisan pertama satu lagi mesin ATM dengan menggunakan modus operandi sama tetapi gagal.

“Selepas itu, kerana kesuntukan masa, mereka bergegas melarikan komponen mesin ATM mengandungi wang tunai dianggarkan berjumlah RM260,000 dengan sebuah kenderaan yang sedang dikenal pasti,” katanya.

Ahmad Zailani berkata, sepa­sukan polis bergegas dengan sebuah kereta peronda sebaik siren amaran penggera keselamatan bank tersebut berbunyi akibat gegaran letupan berkenaan namun sebaik tiba di lokasi kejadian beberapa minit kemudian, kesemua penjenayah terbabit didapati telah menghilangkan diri.

Beliau berkata, Unit Pemusnah Bom dan Unit Forensik dari Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun telah diarahkan untuk melakukan siasatan berhubung kejadian samun mesin ATM terbabit.

No comments:

Post a Comment