Translate

Sunday, September 18, 2016

Mayat mangsa kedua lemas Sungai Getang ditemui

HULU TERENGGANU - Mayat Abdul Hadi Abd. Ghani, 14, yang lemas sewaktu mandi bersama tujuh rakan lain di Sungai Getang, Kuala Berang dekat sini semalam berjaya dijumpai kira-kira 25 jam selepas dia dilaporkan hilang.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang, Mohd. Zamri Omar berkata, mayat pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Telanai, Marang itu ditemui pasukan mencari dan menyelamat selepas timbul di permukaan sungai pada pukul 6.33 petang hari ini.
"Bot pasukan mencari dan menyelamat telah melakukan beberapa kali pusingan di kawasan sekitar lokasi mangsa dilaporkan hilang bagi mewujudkan kocakan air.
"Ia bertujuan menyebabkan pusaran air sebagai pemangkin menolak mayat mangsa yang berada di dasar sungai berkenaan yang sedalam tiga hingga lima meter agar timbul ke permukaan (sungai)," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian di Kampung Sungai Getang, Kuala Berang di sini hari ini.
Dalam perkembangan sama, Mohd. Zamri memberitahu jenazah seorang lagi mangsa, Mohd. Atiqullah Idris, 14, yang telah berjaya dijumpai kelmarin telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pak Madah, Marang pada pukul 11 pagi hari ini.
Kosmo! semalam melaporkan Muhammad Atiqullah dan Abdul Hadi lemas selepas mandi di sungai berkenaan bersama enam rakan lain selepas menghadiri kenduri perkahwinan di Kampung Sungai Getang pada pukul 4 petang. - K! ONLINE

No comments:

Post a Comment