Translate

Monday, September 12, 2016

Kereta ditembak depan rumah

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

BESUT – Seorang penternak ikan terkejut apabila mendapati kereta Toyota Vios miliknya yang diletakkan di hadapan rumah di Kampung Paya Rawa di sini telah ditembak individu tidak dikenali pada Sabtu lalu.

Dalam kejadian pada pukul 2 pagi itu, tiga das tembakan dipercayai telah dilepaskan de­ngan dua daripadanya mengenai kereta tersebut.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd. Zamri Mohd. Rowi berkata, sewaktu kejadian, pemilik kereta Toyota Vios terbabit yang berusia 23 tahun mendakwa terdengar bunyi letupan kuat seperti mercun di hadapan rumahnya.

“Begitu pun penternak ikan tersebut tidak mengendahkan­nya sebaliknya meneruskan tidur.

“Kesan tembakan itu hanya disedari pada pukul 5 petang sewaktu dia mahu menggunakan kereta itu. Berdasarkan pemerhatian, terhadap dua kesan tembakan di bahagian kanan but dan bahagian bawah pintu pemandu kereta Toyota Vios berwarna hitam berkenaan,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Mohd. Zamri berkata, mangsa kemudiannya telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Besut kerana bimbangkan keselamatan diri dan ahli keluarga yang lain.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati suspek melepaskan tembakan dengan menggunakan pistol jenis Revolver .380, namun motif kejadian masih disiasat.

“Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 39 Akta Senjata Api 1960,” katanya.

No comments:

Post a Comment