Translate

Saturday, September 10, 2016

Jaga ditahan bantu siasatan kes samun RM1.14 juta

KUALA TERENGGANU – Seorang pengawal keselamatan ditahan bagi membantu siasatan kes samun dua mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dan tiga peti besi sebuah pasar raya di Kuala Nerus di sini melibatkan kerugian RM1.14 juta pada Ahad lalu.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rosli Ab. Rahman berkata, suspek merupakan salah seorang daripada empat pengawal keselamatan yang diikat penjenayah ketika bertugas pada hari kejadian.

“Penahanan dilakukan selepas siasatan awal mengesyaki kemungkinan dia bertindak sebagai pemberi maklumat kepada kumpulan penjenayah yang dipercayai warga asing.

“Ujian air ken­cing yang dijalankan terhadap lelaki itu juga menunjukkan dia positif dadah,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu di sini semalam.

Kosmo! 5 September lalu melaporkan empat pengawal keselamatan sebuah pasar raya di Kuala Nerus diikat dan dikurung sebelum sekumpulan tujuh penyamun memecah dua buah mesin ATM dan tiga peti besi di dalam premis terbabit.

No comments:

Post a Comment