Translate

Monday, September 19, 2016

Budak maut dihempap beg udara mengembung

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

BESUT – Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun maut selepas dihempap beg udara yang mengembung selepas kereta dipandu ayahnya terlibat dalam kemalangan melibatkan tiga buah kenderan di Jalan Kampung Gong Kemuntong, Jertih dekat sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 12.30 tengah hari, hentakan kuat beg udara daripada kereta Suzuki Swift  tersebut menyebabkan leher Mohd. Syawal Amsyar Mohd. Fakhruzi patah.

Difahamkan, Mohd. Syawal Amsyar dan ahli keluarganya yang menetap di Subang Jaya, Selangor  berada di negeri ini selepas pulang bercuti di Kampung Baharu Tok Dor, Jertih sempena Hari Raya Aidiladha dan Hari Malaysia.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd. Zamri Mohd. Rowi (gambar kecil) berkata, kemalangan melibatkan kereta dinaiki mang­sa berlaku ketika lalu-lintas sesak dan turut melibatkan dua buah kenderaan lain iaitu Perodua Kelisa dan Proton Iswara.

Beliau berkata, sewaktu kejadian, kereta Suzuki Swift dinaiki Mohd. Syawal Amsyar yang di pandu ayahnya, Mohd. Fakhruzi Sepian @Jusoh, 32, dalam perjalanan menghala ke pekan Jerteh dari Kampung Baharu Tok Dor dekat sini.

“Semasa kejadian mangsa berdiri di tempat duduk penumpang depan dengan memakai tali pinggang keledar manakala ibunya, Norma Mohd., 30, berada di tempat duduk penumpang belakang,” kata beliau kepada Kosmo! di sini semalam.

Menurut beliau, kemalangan itu berpunca daripada kereta di pandu bapa mangsa tidak dapat mengelak sebuah kenderaan lain lalu melanggar belakang kereta Proton Iswara.

“Hentaman tersebut menyebabkan kereta Proton Iswara terlanggar belakang Perodua Kelisa di hadapannya selain menyebabkan beg udara yang ber­ada di dalam papan pemuka kereta Suzuki Swift terbuka dan menghentam mangsa,” kata beliau.

Mohd. Zamri memberitahu, kesan hentakan beg udara tersebut menyebabkan leher Mohd. Syawal Amsyar patah sebelum dia yang tidak sedarkan diri dikejarkan ke Hospital Besut di sini.

“Sebaik tiba ke hospital, pakar perubatan hospital berkenaan mengesahkan mangsa telah me­ninggal dunia akibat kecederaan parah pada leher.

“Kedua-dua pemandu kereta Proton Iswara dan Perodua Kelisa serta kedua ibu bapa kepada mangsa tidak mengalami kece­deraan,” katanya.

Pada 14 Oktober 2015, seorang kanak-kanak perem­puan berusia lapan tahun maut akibat terpelanting apabila beg udara kereta dipandu abangnya mengembung setelah kenderaan itu terlanggar bonggol berhampiran rumahnya di Bandar Utama, Sungai Petani, Kedah.

No comments:

Post a Comment